RAKYAT rata-rata berasa lega kerana Belanjawan 2023 telah pun dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu. Ia merupakan belanjawan negara pertama kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali ini, peruntukan tahunan RM388.1 bilion merupakan jumlah terbesar dalam sejarah negara. RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja pengurusan dan RM97 bilion bagi pembangunan, dan RM2 bilion sebagai simpanan untuk keperluan luar jangka. Tahun ini, kerajaan meneruskan dasar belanjawan defisit. Kerajaan perlu meminjam dana untuk menampung belanjawan negara kerana pendapatan cukai semasa kurang daripada jumlah perbelanjaan. Kadar defisit Belanjawan 2023 ialah lima peratus.
Masyarakat umum mendapati Belanjawan 2023 mengekalkan model belanjawan diamalkan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu dan tidak membawa banyak pembaharuan. Namun, kali ini kerajaan kelihatan cuba melakukan sesuatu pengagihan lebih rasional dan mempertingkatkan kecekapan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.
Kerajaan masih terus mengekalkan program bantuan saraan rakyat seperti kerajaan terdahulu. Program itu diberi nama baharu, Sumbangan Tunai Rahmah. Setiap isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan setinggi RM2,500 bergantung kepada bilangan anak dalam sesebuah keluarga.
Di samping itu, kerajaan memperuntukkan RM500 sebagai caruman tambahan untuk ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mana baki simpanan dalam Akaun 1 KWSP mereka berada di paras kurang daripada RM10,000.
Inisiatif ini amat dipuji, namun bantuan sekali beri mungkin tidak mencukupi kerana baki simpanan kebanyakan pencarum telah banyak dikeluarkan dalam tempoh pandemik Covid-19. Baki yang tertinggal mungkin tidak memampukan pencarum menjalani kehidupan munasabah apabila mereka menjangkau usia tua nanti.
Satu kelemahan jelas dalam Belanjawan 2023 ialah beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk barangan daripada bahan api sehingga ke makanan masih berat. Selain itu, tanggungan dan perbelanjaan tahunan untuk sektor awam juga didapati masih membebankan.
Perlu diingatkan, tidak kira siapa memerintah, kerajaan tidak boleh lagi bergantung kepada pinjaman negara semata-mata untuk menanggung belanjawan tahunan. Sehingga 2022, hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trilion. Jika liabiliti dan komitmen jaminan dimasukkan sekali, ia sudah mengatasi RM1.5 trilion. Jumlah setinggi 81 peratus daripada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu merupakan satu paras kritikal bagi sebuah ekonomi kecil seperti Malaysia.
Difahamkan, hutang negara banyak meningkat sepanjang pandemik Covid-19 dua tiga tahun lalu. Hampir separuh daripada pinjaman diperuntukkan bagi aktiviti-aktiviti mengawal pandemik dan penjanaan ekonomi bagi membantu syarikat-syarikat yang terpengaruh.
FDI
Sepanjang 2019 hingga 2023, beban membayar balik hutang negara tahunan meningkat daripada RM14.2 bilion (2019) kepada RM46 bilion (2023). Tanggungan meningkat sebanyak 8.9 peratus setiap tahun.
Setinggi 16 peratus daripada keseluruhan hasil cukai pungutan kerajaan terpaksa dibelanjakan untuk menanggung kos pinjaman negara. Dengan lain kata, setiap RM1 cukai yang dikutip oleh kerajaan, 16 sen perlu dibelanjakan untuk menjelaskan faedah pinjaman.
Sesungguhnya, struktur ekonomi negara masih tidak jauh berubah berbanding masa dahulu. Kita masih banyak bergantung kepada hasil petroleum dan komoditi utama lain seperti minyak kelapa sawit sebagai hasil pendapatan utama negara. Hasil daripada sektor perindustrian seperti alat komponen elektronik pula sering berhadapan persaingan amat hebat di pasaran dunia.
Oleh demikian, untuk memperbaiki kedudukan belanjawan negara, kerajaan perlulah lebih berwaspada semasa membuat sebarang pinjaman baharu. Kerajaan juga perlu membuat perancangan dan pengurusan kewangan yang lebih terapi dan bervisi jauh.
Yang penting sekali, kerajaan perlu betul-betul sanggup menarik aliran masuk pelaburan langsung (FDI) baharu daripada ekonomi lebih maju demi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat.
Dalam pada itu, rakyat juga perlu menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam mencipta perniagaan dan perkhidmatan baharu yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada hakikatnya, Malaysia memerlukan transformasi segera ke arah pembentukan ekonomi moden untuk menambah pendapatan per kapita rakyat dan mengecapi taraf hidup lebih baik.
Di samping itu, kerajaan tidak boleh tidak, mengutamakan pemberian subsidi lebih bersasar dan cekap pengagihannya agar bantuan kerajaan hanya menjurus kepada golongan betul-betul memerlukan. Dengan ini, kita mungkin boleh menjimatkan RM5 billion daripada subsidi bahan api.
Sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mungkin boleh diperkenalkan semula.
Rakyat sebenarnya agak memahami rasional pengenalan GST dan tidak terlalu membantah implementasinya. Apa yang dipertikaikan ialah pungutan cukai itu dibelanjakan secara telus dan tepat pada tempatnya tanpa ketirisan dan korupsi.
Rakyat sangat mengharapkan kerajaan mewujudkan satu persekitaran niaga yang dapat merangsangkan pertumbuhan ekonomi. Kini, ekonomi negara sedang dilanda masa depan malap kerana baik soal konflik Russia-Ukraine, ketegangan dagang China-Amerika Syarikat mahupun cabaran pasca Covid-19 mungkin meninggalkan kesan negatif kepada perkembangan ekonomi Malaysia.
Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas barangan mewah dan kadar cukai lebih tinggi ke atas golongan T20 dilihat sebagai usaha untuk menangani ketidaksaksamaan pendapatan dan mengagihkan semula kekayaan. Itu dianggap positif untuk membawa kesejahteraan yang lebih meluas kepada masyarakat Malaysia. – UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaysia.











