MENJAGA kebajikan rakyat adalah tanggungjawab paling asas setiap pemimpin dan kerajaan memerintah. Ironinya, tidak boleh ada sebarang kepincangan mahupun kompromi dalam soal kebajikan khususnya dalam bab menjaga perut rakyat. Jujurnya, harapan setiap individu ialah sentiasa mempunyai makanan di atas meja untuk diri dan keluarga.
Justeru, beberapa inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah program Payung Rahmah dilihat cukup menarik dan sangat signifikan dalam memperkasa kebajikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Program Payung Rahmah merangkumi inisiatif penyediaan bakul makanan, pakej barangan, menu dan kafe adalah langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan rentan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Antara inisiatif pertama dilancarkan dan mula menarik perhatian masyarakat ialah Menu Rahmah di mana hampir 15,000 premis menjual makanan siap masak pada harga RM5 dan ke bawah. Beberapa pemain industri utama sudah pun menyatakan persetujuan untuk menyertai projek kebajikan khas ini seperti Mydin, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.
Lebih menarik, Menu Rahmah yang asalnya hanya merangkumi hidangan nasi, ayam atau ikan dan sayur, namun kini dilaporkan ada pengusaha makanan lebih kreatif menghasilkan menu lain dengan harga RM5 ke bawah seperti nasi paprik, rojak, roti John dan shawarma.
Bagi golongan pekerja B40 misalnya yang terpaksa meneruskan kehidupan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana tersepit dengan bencana kenaikan mendadak kos sara hidup, inisiatif seumpama ini sangat melegakan. Sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati hidangan makanan berkhasiat dengan harga sangat mampu setiap hari, seterusnya menjimatkan kos perbelanjaan harian. Sudah tentu duit yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk pelbagai perbelanjaan keluarga lain.
Selain itu, inisiatif Bakul Rahmah yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi juga dilihat boleh membantu memastikan dapur golongan rentan terus berasap setiap hari. Kita tidak mahu ada lagi masyarakat hidup daif dan melarat sehingga pernah dilaporkan terpaksa makan nasi berlauk garam atau catu makanan untuk beberapa hari.
DISKAUN 50 PERATUS
Program Bakul Rahmah berkonsepkan kongsi rezeki bukan bersifat sekali beri sebaliknya secara bulanan. Inisiatif di bawah KPDN itu adalah bantuan berupa barangan keperluan asas antaranya minyak masak, tepung, gula dan beras yang akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pemain industri peruncitan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini melaporkan akan berbincang secara teliti dengan pemegang taruh seperti Speedmart, Mydin, NSK, Giant bagi menyelaras dan sepadankan Bakul Rahmah dengan program kebajikan yang mereka laksanakan selama ini.
Pemberian bantuan barangan keperluan asas seperti ini secara tetap kepada golongan sasar yang terkesan pada setiap bulan dilihat sangat signifikan dan dapat mengurangkan beban besar mereka kerana tidak perlu lagi memikirkan soal makanan seisi keluarga. Ini sudah semestinya dapat memperkasa kebajikan mereka secara langsung.
Inisiatif seterusnya ialah Pakej Rahmah membabitkan penjualan 12 jenis barangan asas yang boleh dibeli di bawah harga ditetapkan. Melalui inisiatif ini, kita menjangkakan golongan B40 dan miskin tegar dapat mengurangkan beban kos sara hidup membabitkan perbelanjaan harian secara lebih menyeluruh.
Jika kita buat simulasi, secara keseluruhannya di bawah program Payung Rahmah, seorang pekerja di bandar dari kategori miskin tegar atau B40 misalnya akan dapat menikmati makan tengah hari pada kos bawah RM5, kemudian dapat bantuan barangan secara bulanan di bawah inisiatif Bakul Rahmah, selain dapat pula membeli 12 jenis barangan keperluan pada kadar harga lebih rendah. Sudah tentu rangkuman pelbagai inisiatif ini mampu meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat yang terkesan selama ini.
Ini ditambah pembukaan Kafe Rahmah di universiti tempatan sekitar Kuala Lumpur sebagai permulaan yang akan menyediakan sarapan dan makan tengah hari secara percuma serta makan malam dengan kadar diskaun sehingga 50 peratus.
Jadi, kita berharap golongan sasar dapat merebut peluang dan kemudahan disediakan untuk meningkatkan kebajikan masing-masing.
Semoga semua kementerian dan agensi terlibat dapat menyelaras dan mempermudahkan pelaksanaan inisiatif tersebut. Misalnya, kita perlu ada data yang betul dan tepat berkaitan maklumat golongan sasar supaya bantuan dapat diagihkan dengan segera secara cekap dan efisien. Elak juga sebarang bentuk karenah birokrasi dalam proses agihan bantuan tersebut.
Di samping itu, kementerian dan agensi kerajaan lain juga diharap dapat memperkenalkan pelbagai pendekatan dan inisiatif mengikut skop dan bidang tugas masing-masing bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat. Sewajarnya setiap agensi ada penetapan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan berfokus untuk membantu golongan sasar melalui perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang teratur dan bersistematik.
Jadikan dua rukun utama Malaysia Madani, iaitu kesejahteraan dan ihsan sebagai paksi utama dalam kita menyediakan bantuan kepada rakyat. Pada akhirnya, kita berharap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu memperkasa dan meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalis isu semasa.










