Nak kritik sekalipun, biarlah enak didengar

Nak kritik sekalipun, biarlah enak didengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPURNAMA yang lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan agenda Malaysia Madani sebagai kerangka pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan beliau. Sudah pastinya sebagai peneraju kepimpinan baharu, beliau mempunyai hasrat dan harapan yang ingin dikongsikan bersama rakyat.

Sejak beberapa tahun ini, rakyat sudah agak ‘letih’ kerana terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Akibat daripada Covid-19, ekonomi negara merudum begitu ketara berbanding sebelumnya. Sejak Julai 2020, sembilan syarikat multinasional yang terlibat dalam sektor tekstil, jentera dan besi, pembinaan, elektrik dan elektronik di negara ini terpaksa gulung tikar.

Dalam 2020 sahaja, dilaporkan lebih 70 peratus perusahan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa menamatkan operasi mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 19 peratus mencatatkan kerugian lebih RM100,000 (SME Corp, 2021).

Dalam tempoh dua tahun sahaja, wabak Covid-19 meragut ribuan nyawa rakyat Malaysia. Setiap keluarga merasai kehilangan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Kehidupan rakyat juga terjejas teruk dengan kehilangan sumber pendapatan dan kehilangan mata pencarian, ekoran langkah PKP dan penutupan sempadan dalam membendung penularan Covid-19.

Ketegangan situasi ini diburukkan lagi dengan percaturan politik dalaman yang tidak kunjung padam. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertukar tiga kali walaupun tidak sampai satu penggal pun. Dalam tempoh tersebut, banyak episod antara pemain-pemain politik menyebabkan rakyat agak terkesima dengan apa yang sedang berlaku dalam negara.

Dengan berakhirnya PRU15 tahun lalu, secara amnya masyarakat mahu melihat apa yang dapat ditawarkan oleh kerajaan baharu dalam mengekalkan kestabilan ekonomi sekali gus menjamin kesejahteraan dan kebajikan mereka.

Apabila pengumuman dibuat tentang Malaysia Madani, kita perlu lihat bahawa konsep ini bukanlah sesuatu yang retorik. Ataupun sebagai satu alat hanya untuk menjenamakan sesebuah pentadbiran atau pemerintahan semata-mata. Tetapi konsep Malaysia Madani merupakan gambaran kasar tentang keterangkuman idea dan hasrat ingin dipancarkan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Enam elemen utama yang terangkum dalam Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan mempunyai kekuatannya tersendiri. Setiap elemen insaniah tersebut menterjemahkan bagaimana sebuah masyarakat ideal dapat dibina menerusinya. Masyarakat yang memiliki nilai-nilai progresif, berakhlak mulia, bertanggungjawab, bertoleransi, ikhlas dan jati diri tinggi mampu melahirkan warganegara yang cukup sifatnya seiring tuntutan Perlembagaan Persekutuan. Inilah yang dihasratkan melalui konsep Malaysia Madani.

HARI GURU

Dalam pada itu, kerajaan di bawah kepimpinan Anwar turut melaksanakan pelbagai usaha dalam merealisasikan inti pati yang terkandung dalam Malaysia Madani. Sebagai contoh, baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek mengumumkan tujuh langkah segera ke arah kesejahteraan guru dalam usaha mengurangkan beban tugas di sekolah.

Antaranya memansuhkan sebarang pertandingan atau sambutan yang tidak memberikan impak besar kepada pembelajaran murid; semakan elemen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia setahun sekali; waktu mengisi data kehadiran murid dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dilanjutkan; sambutan Hari Guru dihadkan di peringkat sekolah dan kebangsaan sahaja; pelantikan pengawas peperiksaan awam dibuka kepada individu selain guru; penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang lebih ringkas kepada objektif, pengajaran dan refleksi dan akhir sekali, pengukuhan autonomi guru dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Tindakan pantas Menteri Pendidikan ini mendapat sambutan baik daripada warga sekolah yang sekian lama terbeban dengan tugas-tugas tambahan.

Begitu juga dengan Menu Rahmah yang menjadi sebutan sejak kebelakangan ini. Atas inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), lebih 15,000 premis makanan di seluruh negara menawarkan menu makanan dengan harga serendah RM5 dalam meringankan beban golongan B40. Ternyata usaha kerajaan sangat berbaloi dan mendorong pihak-pihak lain terutama peniaga untuk mengurangkan kadar harga makanan.

Namun begitu, ada juga segelintir pihak yang masih terus mempersoalkan usaha-usaha yang diambil. Banyak juga hantaran dan ciapan di pelantar media sosial yang mengecam usaha-usaha tersebut secara terbuka. Segala yang dibuat, ada sahaja tidak kena pada pandangan mereka. Ini ditambah dengan puluhan komen berbaur negatif.

Dalam mewujudkan sebuah masyarakat madani yang kaya dengan norma-norma budaya ketimuran, kita perlu menerima sebarang usaha atau dasar baharu dengan tangan terbuka, dengan pemikiran positif. Jika tidak bersetuju sekalipun, berilah kritikan membina dengan kata-kata yang enak didengar dan bersesuaian dengan nilai budaya kita.

Pendek kata, Malaysia Madani sudah pun mengorak langkah untuk memimpin masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dengan perbezaan agama, budaya, geografi dan sejarah ke arah kemajuan dan pembangunan yang lebih mampan dalam menongkah arus globalisasi. Sebagai warganegara berjati diri tinggi, marilah kita bersatu dan menyokong usaha-usaha yang digembleng untuk kebaikan bersama. – UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×