Mampukah kita garap pendidikan terbaik dunia?

Mampukah kita garap pendidikan terbaik dunia?

GURU sepatutnya menjadi rakan akrab kepada pelajar bertujuan melahirkan insan sejahtera dalam hidup dan kemenjadiannya. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM membandingkan pendidikan seluruh dunia, Finland merupakan aras tanda tiada tolok bandingannya. Mengatasi semua, tidak kira di peringkat apa. Baik bandar atau desa di pelosok negara yang sering bersalji itu. Kalau adapun berbeza antara satu sama lain, ia dilaporkan tidak melebihi lima peratus keseluruhannya termasuk prasarana sekalipun.

Ibu bapa dan waris tidak perlu ‘meminjam-minjam’ alamat untuk mendapat tempat di sekolah terbaik. Tidak juga ada sekolah swasta atau pelbagai aliran, itu dan ini. Finland berazam bersepadu, menyeluruh dan berterusan dalam kelangsungan pendidikan selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Cukup aneh. Apatah lagi Malaysia tidak mencontohi falsafahnya tersendiri sepertimana Finland.

Ekoran ini, Finland mempunyai beberapa kelebihan ketara. Antaranya mereka tidak utamakan persaingan atau perlumbaan. Pendidikan bukan seperti larian 100 meter untuk merebut pingat emas, perak dan gangsa atau mendapatkan nombor tertentu sebagai tanda kejayaan.

Finland tidak mengejar penarafan oleh sesiapa. Ia yakin dengan dirinya sendiri untuk menempa yang terbaik di dunia. Sebaliknya yang digalakkan adalah bekerjasama, bermuafakat dalam meraih ilmu untuk dikongsi bersama.

Ini sekali gus melatih keperibadian ilmuwan yang suka saling membantu dan bersefahaman. Tidak bakhil ilmu. Sebab itu kerja berpasukan serta berganding bahu menjadi tanda mercu pendidikan Finland segenap lapisan. Masyarakatnya sederhana dan tidak gemar menunjuk-nunjuk. Hatta tekanan hidup terkawal dan silaturahim dipelihara dengan baik. Semua ini limpahan daripada pendidikan insani atas pegangan bahawa ‘kejayaan sebenarnya tidak berpaksi kepada persaingan.’

Asasnya adalah nilai saling mempercayai antara satu sama lain tanpa rasa curiga. Ia dibudayakan sejak bangku sekolah lagi sehinggalah di tempat-tempat kerja. Kemesraan terpupuk dengan sendirinya merentasi kelompok dan masyarakat serta individu. Dengan kata lain, tugas dan urusan yang dipikul diselesaikan tanpa banyak karenah. Maka tugasan atau kerja rumah hampir tidak diamalkan dan menjadikan Finland antara negara paling sedikit membawa beban kerja untuk dihabiskan di rumah. Seiring amalan tersebut, ujian atau peperiksaan bukan sesuatu yang digalakkan.

Jika apapun ia tidak berbentuk standard atau piawaian untuk tujuan umum. Ia lebih berbentuk persendirian yang dikendali secara sendirian oleh guru masing-masing. Namun, mutu hidup terus meningkat dan kesejahteraan merata. Inilah sebenarnya faktor yang menceriakan proses pembelajaran Finland apabila ketidakseimbangan dapat disamaratakan dengan kepedulian kepada kelihatan, pemakanan, penasihatan/kaunseling serta bimbingan secara kolektif atau berkelompok. Tiada yang tercicir.

Dari segi pelaksanaan pula, jurang masa pembelajaran terhad kepada sembilan tahun atau pada usia mencecah 16 tahun. Mereka mula bersekolah pada usia tujuh tahun supaya umur kekanak-kanakan tidak disia-siakan dengan mewajibkan persekolahan pada usia lebih muda.

Pun begitu, waktu sekolah bermula jam 9 pagi sehinggalah 2 petang.

Tujuannya memberi lebih keselesaan pembelajaran yang lebih menyeluruh. Dasar ini diperkukuh dengan amalan mengekalkan seseorang guru untuk selama enam tahun bagi seorang pelajar yang sama agar dapat mengasuhnya lebih dari setahun seperti lazim dilakukan. Guru tersebut kemudian dianggap seolah-olah rakan dan kenalan keluarga yang begitu akrab. Dengan cara ini merapatkan lagi hubungan dunia pendidikan pelajar yang lebih luas untuk jangka panjang, berkesudahan menjadikan seorang insan sejahtera terhadap hidup dan kemenjadiannya.

TIDAK TAASUB

Markah dan angka sebagai penunjuk atau tafsiran kejayaan tidak menjadi ketabsuban mengikut apa sahaja yang dihamburkan oleh pihak berkepentingan tertentu. Malah, kayu ukuran yang mereka gunakan adalah lebih ketat lagi. Bukan sahaja aspek perguruan yang profesional lagi ilmiah, malah mesti memperoleh ijazah sarjana perguruan paling minimum selain keluasan pelbagai ilmu termasuk kepemimpinan, perhubungan luar dan komunikasi umpamanya kerana mereka juga dikehendaki memaparkan kemahiran sosial yang tinggi dalam memupuk jaringan setiakawan perguruan di peringkat antarabangsa sekalipun.

Hasratnya adalah untuk meluaskan lagi pertukaran maklumat serta pengalaman dengan rakan sejawat dalam mencari amalan terbaik seantero demi meningkatkan lagi keprofesionalan masing-masing. Tambahan daripada itu, mereka juga dikehendaki mempamerkan keupayaan membuat keputusan. Satu lagi tuntutan yang dipentingkan bagi semua bakal guru.

Maka tidak syak lagi mengapa pendidikan Finland dianggap terbaik di dunia oleh pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO).

Sistemnya tersusun rapi dengan tujuan mendalam untuk menzahirkan bakat insan sejahtera dengan mendahului nilai-nilai insani dari pasaran yang kini menjadi tonggak utama yang kontang rohnya.

Tidak hairanlah oleh itu yang perguruan Finland amat dihormati, terbukti dengan ribuan permohonan menjadi guru tetapi hanya segelintir layak diterima masuk. Ia bukan suatu pasaran lambakan murahan. Hatta, Malaysia akan turut terangkum antara terbaik jika bukti yang sama juga dapat ditonjolkan kepada mata dunia merentasi Malaysia. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN