SUDAH hampir sebulan sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gagasan baharu Malaysia Madani. Malaysia Madani sememangnya satu gagasan amat baik yang sukar ditolak oleh mana-mana pihak kerana seperti dijelaskan dalam majlis pengumuman itu, muasa inspirasi kepada madani adalah cukup kuat sekali.
Ia diambil daripada tradisi Islam, iaitu tata kelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam di Madinah dipimpin Nabi Muhammad SAW dan didukung oleh warga berbilang kaum dan agama, iaitu masyarakat yang mengacu dasar-dasar disebut al-khayr dan tradisi Barat, iaitu tadbir urus demokrasi.
Usul asas yang membingkainya pula ialah konsep maruah manusia – the dignity of man bersifat sejagat kerana dalam tradisi Islam, ia dikaitkan dengan ulama terkenal Abbasiyah Ibn Qutaiba dalam Khalq al-Insan.
Dalam tradisi Barat pula, ia dikaitkan dengan humanis Zaman Pembaharuan Itali, Pico della Mirandola.
Naratif madani seperti tercatat dalam buku Membangun Negara MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi nukilan Perdana Menteri juga jelas. “Matlamat kita adalah untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain. Kata kunci visi ini adalah madani, yang pada asasnya merupakan kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama.” (Muka surat 29)
Malangnya, di saat sambutan terhadap gagasan ini begitu kuat sekali, ada pula dalam kalangan pemimpin pembangkang yang takut dengan kejayaannya. Dengan secara konsisten, gagasan ini cuba diperlekehkan tanpa cuba diperbahaskan sama sekali inti pati sebenar buku berkenaan.
Inilah yang dilakukan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan empat tulisan bagi memburukkan Malaysia Madani. Pada 26 Januari, Abdul Hadi memetik nama ilmuwan Islam, Al-Farabi mendakwa, “Dalam usaha melakukan perubahan untuk menjadi negara berkonsep madani tidak boleh dijayakan dengan gejala rasuah, salah laku, salah urus, zalim, pengabaian integriti dan lain-lain.”
Tambah beliau, “Acuan madani yang tidak berasaskan acuan Allah SWT dan Rasulullah SAW pasti akan menuju kegagalan yang sama seperti mana tamadun sebelumnya dan tamadun moden yang sedang membakar dirinya sekarang.”
Pada 29 Januari lalu, Abdul Hadi sekali lagi membayangkan kegagalan Malaysia Madani dengan sindiran, “Pelaksanaan tasawur negara madani yang sebenar daripada petunjuk kitab Allah (al-Quran) sahaja yang berjaya dalam sejarahnya.”
GEJALA NYANYUK
Memetik nama seorang lagi ilmuwan Islam, Ibn Khaldun, Abdul Hadi mendakwa, “Perubahan yang berkonsepkan madani secara islah dan tajdid bagi membetulkan negara tidak boleh dijayakan dengan gejala nyanyuk yang menjadi penyakit kepada kerajaan lama dan masih berterusan sehingga kini.”
Pada 4 Februari, Abdul Hadi mendakwa, “Rakyat berada dalam kebingungan apabila menerima satu tema baharu yang dimasukkan perkataan ‘madani.’ Saya tidak tahu pencipta tema baharu ini mengambil rujukan daripada siapa atau dari mana, sama ada dari Timur atau Barat, daripada Islam atau tidak.”
Lebih mutakhir, pada 13 Februari bertajuk Kerajaan Campuran Pakatan Harapan Yang Tidak Madani, Abdul Hadi mempertikaikan mereka yang mahu melaksanakannya dengan menyebut “bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi”, “disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya” dan “mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani.”
Sebenarnya rakyat tidak bingung dengan Malaysia Madani tetapi yang bingung adalah pemimpin pembangkang. Sebab itulah mereka membangkangnya menggunakan emosi tanpa menelaah dahulu buku setebal 213 muka yang menjelaskan gagasan itu.
Ia tidak lari daripada konsep madani Al-Farabi dan Ibn Khaldun malah tidak menyimpang daripada acuan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Pada muka surat 31 juga jelas dinyatakan enam rukun utama madani – kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan – merupakan cerakinan daripada perintah Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran serta cerminan keperibadian dan ketokohan Nabi Muhammad SAW.
Sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, antara perkara paling lantang dan kerap dinyatakan oleh Anwar ialah penghapusan gejala rasuah, salah laku, salah urus, zalim, pengabaian integriti dan lain-lain yang disinggung oleh Abdul Hadi.
Dalam buku ini juga dibincangkan secara terperinci dasar yang perlu dirangka untuk memenuhi visi khusus setiap enam rukun utama madani. Begitu juga persoalan-persoalan penting seperti kerumitan, percanggahan, kekacauan, keserentakan, masa hadapan dan perubahan, pemantauan dan institusi pemberdayaan ke atas dasar semuanya ditaakul.
Perkara-perkara beginilah sepatutnya diperdebatkan tetapi ini tidak mampu dilakukan tanpa membaca dan memahami isi. Cara paling mudah jika tidak boleh ditolak isi ialah dengan mendatangkan keraguan kepada mereka yang merancang atau mahu melaksanakannya.
Semua ini sepertinya dilakukan atas hasrat mahu melunaskan dendam semata-mata dan bukan atas niat ikhlas untuk membantu rakyat dan memajukan negara. Sedangkan jika diteliti, apakah madani yang disebutkan itu ada di negeri-negeri yang mereka perintah?
Apa pun, kritikan pembangkang ke atas gagasan ini tidak lebih daripada menunjukkan ketakutan mereka ke atas penerimaan rakyat terhadapnya sahaja. – UTUSAN
Datuk Ir. Shaari Hassan ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanah Merah dan bekas Ahli Parlimen Tanah Merah.










