‘Kami tak mahu dilihat macam pengemis’

‘Kami tak mahu dilihat macam pengemis’

ONG SHIN RUENN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MALAYSIA bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia Keempat, September ini.

Namun, sehingga kini, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) masih berhempas-pulas mencari tajaan bagi menjayakannya.

Presiden MSDeaf, ONG SHIN RUENN ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Kuala Lumpur, kelmarin, ternyata kecewa dengan situasi tersebut.

Katanya, dalam banyak perkara, sukan orang pekak di negara ini seolah-olah tidak diiktiraf dan dihormati termasuklah insentif diterima atlet pekak yang tidak setara dengan atlet paralimpik meskipun dalam perlembagaan negara, MSDeaf setaraf Majlis Paralimpik Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menerusi jurubahasa isyarat, FATHIN NORISHAH ABDULLAH, Shin Ruenn meluahkan isi hati serta harapannya terhadap masa depan sukan orang pekak kepada wartawan, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan jurufoto, FAUZI BAHARUDIN.

UTUSAN: Malaysia akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia Keempat pada September ini. Difahamkan, kita masih kekurangan bajet untuk menganjurkannya. Benarkah?
SHIN RUENN: Betul. Kami di MSDeaf bukan menjaga satu jenis sukan sahaja kerana kami merupakan badan kebangsaan yang mengendalikan pelbagai jenis sukan seperti bola sepak, olahraga, boling dan badminton.

Kami tidak seperti MOM yang mempunyai persatuan-persatuan sukan kebangsaan di bawahnya seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan sebagainya. Jadi, sebab itu kami mempunyai banyak tanggungan.

Berapa banyak negara mengambil bahagian? Status persiapan setakat ini?
Ada 24 negara yang mewakili pasukan lelaki dan 10 negara mewakili pasukan wanita. MSDeaf berjaya menjadi tuan rumah secara bidaan melalui Jawatankuasa Sukan untuk Orang Pekak Antarabangsa (ICSD) dan Persatuan Bola Sepak Pekak Antarabangsa (DIFA).

Buat masa ini, kami sudah memulakan kerja-kerja sekretariat untuk perancangan bagi latihan pusat pasukan negara dan juga tempahan-tempahan penginapan untuk kejohanan itu nanti.

Jadi, buat masa sekarang baru sekitar 50 peratus sahaja persiapan. Kami juga akan mula memanggil jawatankuasa penganjuran dari agensi-agensi kerajaan terlibat untuk mesyuarat penyelarasan.

Apa lagi diperlukan?

Cabaran yang kami hadapi sekarang adalah mencari bajet dan penaja daripada syarikat-syarikat swasta. Kami juga sedang berusaha untuk mempromosi penjenamaan (branding) syarikat-syarikat swasta sekiranya mendapat penajaan daripada mereka.

Adakah sukar mendapat kerjasama dan tajaan?
Sejujurnya, anggaran untuk menganjurkan kejohanan ini adalah sekitar RM6 juta dan susah bagi kami mendapat kerjasama adalah kerana kejohanan ini tidak termasuk dalam kalendar (takwim) kerajaan. Jadi, ia juga merupakan cabaran untuk bekerjasama sedikit dengan pihak kerajaan dan agak susah sikit untuk mencari bajet dari situ.

Tidak seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). FIFA sangat terkenal. Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia ini setaraf dengan FIFA. Cuma kami agak tidak terkenal kerana kami tidak mempunyai brand (jenama) untuk dijual. Contohnya, FIFA ada jenama untuk dijual melalui tiket penjualan bola sepak.

Berapa lagi jumlah diperlukan? Pernah ajukan masalah ini pada Kementerian Belia dan Sukan (KBS)?
Untuk makluman, kami telah mendapat kelulusan penganjuran daripada kementerian tapi dengan syarat tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kerajaan. Jadi, kami bergantung dengan mencari bajet daripada syarikat-syarikat swasta di luar sana.

Separuhnya (50 peratus) kami kumpul daripada yuran penyertaan negara-negara peserta. 50 peratus lagi kami kena cari sendiri. Jadi, RM3 juta kami dapat daripada yuran penyertaan. Kami perlu mencari selebihnya untuk mencukupkan kos penganjuran termasuk makan minum, penginapan dan sebagainya.

Di Malaysia, bagaimana sambutan terhadap sukan bola sepak orang pekak?
Ramai golongan pekak yang suka dengan sukan ini. Kami mempunyai dua pasukan, iaitu elit dan pelapis. Kami akan mulakan latihan pusat sepenuh masa selepas bulan puasa nanti.

Buat masa sekarang, mereka ada latihan kecergasan masing-masing dan untuk April ini, masuk kem latihan pusat sepenuh masa dan itu juga ada kekangan bajet di situ kerana untuk pasukan itu sendiri, elaun dan penginapan kita kena sediakan.

MSDeaf mungkin nak buat rayuan pada kerajaan bagi atasi masalah ini?
Buat masa sekarang, kami amat amat berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meluluskan bajet yang kami telah bentangkan dan hantar kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dimasukkan dalam Bajet 2023 (bakal dibentangkan 24 Februari ini) bagi merangka latihan pusat MSDeaf.

Difahamkan insentif atlet pekak berbanding atlet persatuan-persatuan sukan lain tidak sama, seolah-olah ada diskriminasi. Komen?
Ada betulnya kerana kami, MSDeaf telah ada dalam Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 (Akta A1570) dalam perlembagaan negara yang menyatakan MSDeaf adalah setaraf dengan Majlis Paralimpik Malaysia dan MOM.

Cuma di situ sahaja setaraf. Namun, apa yang tidak sama atau tiada kesamarataan adalah sebagai contoh, atlet berkebolehan (able sport) dan atlet paralimpik, mereka dapat insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sebanyak RM1 juta tapi tidak sama dengan atlet pekak kami. Contohnya, atlet pekak kami yang menang pingat emas mendapat RM80,000 tapi untuk atlet berkebolehan dan atlet paralimpik dapat RM1 juta. Dalam akta sahaja setaraf.

Kenapa perkara ini berlaku?
Mungkin pada saya, pertama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) pernah berkata, orang pekak punya fizikal, okey. Jadi, boleh masuk atau sertai semua jenis sukan berkebolehan tapi sebenarnya ada kekurangan. Contohnya, sukan olahraga. Kalau kami bertanding dengan atlet berkebolehan yang lain, mereka guna pistol (pelepasan) semasa di garis permulaan. Jadi, atlet berkebolehan bergerak dahulu, kemudian baru atlet pekak ikut. Jadi, ada kekurangan di situ.

Kedua, keperluan jurubahasa isyarat. Jadi, macam mana kami nak bersama-sama dengan atlet berkebolehan yang boleh mendengar dan bercakap dengan yang lain? Jadi, ada sedikit masalah atau ada ‘tarik tali’ di situ.

Masalah sama turut dihadapi atlet pekak di seluruh dunia?
Tidak, hanya di Malaysia. Di negara-negara luar, semua okey. Sebagai contoh, di Russia, Ukraine dan beberapa negara lain, mereka iktiraf sukan orang pekak, mereka hormati sukan orang pekak dan keberadaan sukan orang pekak.

Kami mempunyai sukan tertinggi kami sendiri, iaitu Olimpik Orang Pekak atau Deaflympic. Macam atlet berkebolehan ada Olimpik. Atlet paralimpik ada Paralimpik. Jadi, semuanya adalah setaraf dan mereka hormati sukan itu sendiri tapi tidak di Malaysia.

MSDeaf ada berapa ramai atlet dan berapa jenis sukan?
Anggaran atlet kebangsaan adalah 1,000 orang. Setelah Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) akan naik ke peringkat Asia dan tertinggi, Deaflympic, 20 orang. Atlet kita ramai tapi yang terpilih ke Deaflympic adalah 20 orang sahaja.

Kita ada enam jenis sukan iaitu badminton, olahraga, boling, karate, basikal dan bola sepak. Demikian struktur sukan MSDeaf.

Kejayaan dan pencapaian terbaik MSDeaf?
Pada Mei lalu, kita berjaya merangkul pingat emas kedua di Deaflympic selepas penantian selama 21 tahun menerusi beregu badminton wanita, Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung di Brazil.

Pingat emas pertama negara dalam Deaflympic disumbangkan oleh Zana Azizul Ujang pada 2001 di Rom, Itali dalam acara 110 meter berpagar. Zana juga adalah atlet pekak negara pertama mendapat pingat emas.

Malaysia berada pada kedudukan ke-18 dalam ranking Deaflympic.

JIka dibandingkan dengan rantau ini?
Di Asia Tenggara, Malaysia di kedudukan pertama kerana kami anjurkan Sukan Orang Pekak ASEAN yang pertama di Kuala Lumpur pada Oktober lalu. Julung-julung kali diadakan dan kita hos.
Untuk Sukan Orang Pekak Asia Pasifik, belum ada kejohanan lagi setakat ini. Sebelum ini banyak kejohanan dibatalkan. Kena tunggu 2024. Terakhir diadakan di Taiwan pada 2015.

Bagaimana pencapaian di Sopma?
Terakhir dianjurkan pada 2018 di Perak. Kami di MSDeaf nak ucapkan berbanyak terima kasih pada Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

Sejujurnya, Sopma ada banyak cerita hitam buat MSDeaf.

Pada 2018, kami dapat dana daripada KBS sebanyak RM70,000 untuk anjur Sopma. Tapi kami dalam keadaan terdesak sebab bajet itu tidak mencukupi. Jadi, kami jumpa Menteri Besar Perak dan mohon. Kami bercerita tentang isu yang kami hadapi. Jadi, beliau meminta agensi-agensi kerajaan Perak membantu kami. Beliau sendiri menaja dengan memberi sumbangan kepada kami sebanyak RM300,000 untuk anjurkan Sopma. Itu adalah Sopma terbaik dalam sejarah sepanjang masa ini.

Tapi Sopma akan datang, kami masih menunggu kata putus daripada MSN. Mereka pun pada masa sama tunggu pembentangan Bajet 2023. Lokasi penganjuran di Kuala Lumpur tapi macam tergantung, belum ada dalam ‘radar’ lagi.

Kami pun tidak mahu kelihatan seperti pengemis untuk meminta-minta dan sebagainya. Kalau dapat masuk dalam kalendar atau takwim kerajaan, mungkin lagi memudahkan ahli gabungan negeri kami yang lain untuk mohon bantuan daripada kerajaan negeri masing-masing.

Harapan MSDeaf demi masa depan lebih baik buat sukan orang pekak di negara ini?
Pertama, saya dan MSDdeaf amat berharap dengan kerajaan baharu sekarang untuk bekerjasama bagi memberikan nafas baharu kepada komuniti sukan orang pekak khususnya dan mendapat kesamarataan dalam sukan di negara sendiri.

Kedua, kami berharap untuk mendapat bajet atau peruntukan daripada kerajaan untuk sukan orang pekak di negara ini, juga bagi (melancarkan) operasi kami, pentadbiran kami sendiri.

Kami sudah hantar surat permohonan untuk temu janji dengan Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) tapi masih belum dapat tarikh sesuai daripada pejabat menteri.

Berapa bajet yang diberikan kerajaan untuk kos pentadbiran MSDeaf termasuk gaji kakitangan?
Kami dapat geran pentadbiran daripada MSN sebanyak RM50,000 untuk setahun bagi pembangunan sukan dan atlet orang pekak. Ini tidak termasuk bayaran (gaji) untuk staf. Untuk staf, kami mohon sendiri melalui syarikat-syarikat swasta dan penaja.

Kami sudah mohon peruntukan tambahan sehingga RM100,000 setahun tapi masih tidak dapat jawapan. Sudah lama minta dan selalu minta (daripada MSN) tapi had diberi RM50,000 sahaja.

Dengan RM50,000 inilah digunakan setahun untuk kos pentadbiran persatuan. Mana cukup. Kos pentadbiran termasuk bayaran bil-bil utiliti dan lain-lain sahaja sudah RM400,000 setahun.

Bajet untuk 2023 sudah dapat?
Belum. Gaji staf untuk Januari pun belum bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN