TANGGAL 19 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gagasan baharu yang akan memandu seluruh jentera kerajaan serta rakyat. Ujar beliau, negara dan peradaban yang kita citakan dan dibangunkan kelak haruslah madani – mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan.
Disebutkan dalam ucapan beliau bahawa istilah madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam di Madinah dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW dan didukung oleh warganya yang berbilang kaum dan agama disebut al-khayr.
Pada masa sama, istilah madani ini juga dikaitkan dengan tadbir urus demokrasi dan dibingkai dengan konsep maruah manusia sebagai usul asasnya. Konsep ini pula dinyatakan sebagai bersifat sejagat, diwacanakan oleh ulama terkenal, Abbasiyah Ibn Qutaiba selain humanist renaissance Itali, Pico della Mirandola dan William Shakespeare.
Dari sudut ekonomi, Malaysia Madani memerlukan pertumbuhan dan pengembangan dicapai dalam konteks lebih luas, yakni ekonomi manusiawi yang mengutamakan keperluan rakyat, khususnya miskin dan terpinggir yang membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme tidak terkawal.
Menjadi tunjang kepada konsep ekonomi manusiawi ini pula ialah prinsip keadilan sosial di mana pada 1997, Anwar menukil dalam buku The Asian Renaissance, “Asas ekonomi manusiawi ialah falsafah pembangunan yang holistik, berpandukan keprihatinan etika dan sosial serta berasaskan prinsip keadilan dan kebajikan al-‘adl wa ‘lihsan.”
Malangnya, ada pula yang memandang sinis gagasan ini dengan memperolok-olokkan kependekan madani (sedangkan ia adalah terjemahan kepada kependekan script – sustainability, care & compassion, respect, innovation, prosperity, trust atau menolaknya sebagai slogan kosong tanpa isi yang dimunculkan secara tiba-tiba untuk menjadi jenama pelaris sementara waktu.
Pandangan sinis ini nyata tidak benar sama sekali. Berbanding konsep-konsep lain yang dibawa oleh sesetengah Perdana Menteri terdahulu yang tidak mempunyai akar umbi dan unjap yang kuat, gagasan Malaysia Madani ini telah sekian lama dibawa oleh Anwar dan sudah dibincangkan selumat-lumatnya.
Sejak 26 September 1995 lagi sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar telah mempopularkan istilah masyarakat madani dengan menyampaikan satu syarahan bertajuk Islam dan Pembentukan Masyarakat Madani di Festival Istiqlal, Jakarta, Indonesia.
Di waktu ini lagi sudah dicitrakan masyarakat madani sebagai cita-cita. Antara lainnya disebut waktu itu: “Justeru, sementara kita berusaha membina institusi untuk melaksanakan cita-cita masyarakat madani, kita juga perlu memperdalamkan komitmen prinsip dan idea yang mendasari masyarakat madani, iaitu prinsip moral, keadilan, kesaksamaan dan musyawarah.”
Lebih menonjolkan iltizam ini ialah penganjuran Konvensyen Masyarakat Madani dari 19 hingga 21 September 1996 di Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyaksikan tokoh-tokoh cendekiawan tersohor negara seperti Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas, Profesor Dr. Siddiq Fadhil, Profesor Dr. Osman Bakar dan Profesor Dr. Mohammad Kamal Hassan membentangkan kertas kerja.
Setelah peristiwa hitam 2 September 1998, gagasan Malaysia Madani ini dikumandangkan pula melalui Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998 yang melancarkan gerakan reformasi dan menyenaraikan tujuh agenda reformasi selaras dengan gesaan al-Quran yang bermaksud: “… tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.”
Ditegaskan juga bahawa “Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.” Dan berdasarkan kepada penegasan inilah maka Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya ditransformasi menjadi PKR menyertai dengan sabar dan cekalnya setiap pilihan raya umum (PRU).
Manifesto PKR pada PRU 2008 bertajuk Harapan Baharu Untuk Malaysia umpamanya telah mengangkat tema Negara Madani Untuk Semua mempertahankan perpaduan, hak asasi dan integriti sebagai salah satu daripada lima teras utama yang perlu dilaksanakan bagi membawa negara ini yang berada di persimpangan kembali ke landasan betul.
Seperti dijelaskan oleh Anwar dalam buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi dan SCRIPT For a Better Malaysia, kerangka madani merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya.
Gagasan Malaysia Madani yang terzahir di dalam buku dan diumumkan pada 19 Januari lalu adalah hasil tungkus-lumus bersama lebih setahun antara Anwar dengan para pemikir, perancang strategi, pakar ekonomi, pakar undang-undang, sarjana sains politik dan pemikir masa hadapan melalui siri bengkel dan pemukiman susulan PRU14.
Gagasan Malaysia Madani adalah sesuatu yang telah dirancang dengan paling teliti.
Terbukti gagasan ini lahir semenjak awal gerakan reformasi tercetus. Anwar konsisten, persisten dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk merealisasikannya. Ia tidak pernah dilupakan dan sekarang adalah masa pelaksanaan. Untuk itu, semua aktivis, pendukung, penyokong dan perintis gerakan reformasi mesti beriltizam untuk menjayakannya. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah doktor falsafah jurusan sains politik di Universiti Utara Malaysia (UUM); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau; bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah; dan bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR.











