BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan slogan baharu, Malaysia Madani dalam usaha membina semula martabat negara yang makmur dan dikenali pada masa depan. Agenda merealisasikan kerangka dasar baharu pembangunan negara tidak akan berjaya tanpa penglibatan modal insan yang secukupnya mencakupi pelbagai kategori kemahiran sepadan dengan permintaan industri dalam pelbagai sektor. Justeru, usaha pembangunan kapasiti modal insan menitikberatkan aspek kualiti dan kuantiti yang sedang diambil oleh kerajaan adalah langkah tepat.
Usaha-usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja menerusi pelbagai program latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan lain-lain bidang pengajian diperlukan oleh industri adalah antara aspek kualiti modal insan yang diberikan penekanan oleh kerajaan. Penambahbaikan terhadap gaji, kemudahan dan faedah lain yang disediakan kepada golongan pekerja juga merupakan antara aspek kualiti boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti kerja.
Dasar gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan 1 Mei 2022 (penangguhan sehingga 1 Julai 2023) adalah salah satu langkah menambah baik taraf hidup dan kesejahteraan golongan pekerja. Selain itu, pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 bermula 1 Januari lalu memperlihatkan penambahbaikan ke atas pelbagai kemudahan yang disediakan kepada pekerja sektor swasta berjumlah hampir 13 juta orang.
Kerajaan telah mengambil beberapa langkah drastik dalam tempoh masa singkat untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja asing. Terbaru, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dengan kadar serta-merta bagi menyelesaikan permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing di sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan bagi restoran sahaja.
Menerusi pelan tersebut, majikan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota. Media melaporkan, sebanyak 2,000 permohonan daripada majikan melibatkan keperluan 156,621 pekerja asing diterima sehingga 26 Januari lalu. Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan meluluskan kemasukan seramai 500,000 pekerja asing di bawah program ini.
Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 selama setahun mulai 27 Januari lalu dalam pada itu dilihat sebagai pelengkap terhadap usaha-usaha mengatasi kekurangan tenaga kerja asing dalam sektor-sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar). Ini merupakan program khas untuk menjadikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan oleh majikan yang layak melibatkan lapan sektor termasuk pembantu rumah. Menteri Dalam Negeri sebelum ini melaporkan terdapat 1.4 juta pekerja asing berdaftar setakat 31 Disember 2022.
Susulan langkah-langkah ini, kita juga perlu cakna terhadap beberapa cabaran mendatang khususnya berkaitan modal insan. Pertama, perhubungan industri yang merujuk kepada hubungan antara majikan dengan pekerja dalam sesuatu persekitaran kerja mungkin perlu diberikan perhatian dalam tempoh masa terdekat.
RINTIHAN
Kita sering mendengar rintihan dan rungutan dalam kalangan pekerja bahawa terdapat segelintir majikan tidak melaksanakan dasar gaji minimum dan pindaan Akta Kerja 1955 secara menyeluruh. Audit berkala dan mengejut ke atas majikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) sangat penting dalam hal ini dan pekerja perlu dimaklumkan proses dan prosedur untuk melaporkan sebarang penafian ke atas hak mereka seperti termaktub dalam akta.
Kedua, isu kebajikan pekerja asing dari segi keselamatan dan kesihatan perlu diberikan perhatian. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan laporan berita mengenai keadaan penginapan pekerja asing yang sangat daif hasil penemuan operasi pemeriksaan oleh KSM ke atas tiga premis dalam sektor pembuatan.
Selain itu, syarat penggajian terutama penghapusan kelayakan kuota, penglibatan pihak ketiga seperti individu atau ejen pengambilan pekerja asing perlu dipantau rapi agar tidak berlaku sebarang cubaan memanipulasi kelonggaran yang disediakan untuk tujuan mengaut keuntungan seperti aktiviti pemerdagangan manusia. Implikasinya sangat besar dan boleh menyebabkan negara sumber menghentikan penghantaran pekerja asing ke negara ini.
Ketiga, hak dan kepentingan rakyat tempatan perlu sentiasa dilindungi susulan kemasukan pekerja asing dalam jumlah besar. Ini termasuk peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan terutama dalam sektor pembuatan yang kerap menjadi pilihan dalam kalangan rakyat.
Keempat, penghijrahan atau migrasi berterusan pekerja-pekerja tempatan terutama berkemahiran tinggi ke luar negara juga boleh merencatkan usaha-usaha membangunkan kapasiti modal insan bertunjangkan pekerja tempatan dalam memacu pemulihan ekonomi berintensifkan pengetahuan. Lebih dua juta rakyat Malaysia dianggarkan tinggal dan bekerja di luar negara termasuk hampir 500,000 golongan profesional berkemahiran tinggi.
Kekurangan tenaga kerja mahir adalah paling kritikal buat masa ini dan boleh menjejaskan pemulihan industri berteknologi tinggi seperti industri pembuatan elektrik dan elektronik. Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyatakan negara memerlukan sekurang-kurangnya 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi untuk membolehkannya bersaing dengan negara-negara maju lain.
Kelima, kemasukan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan mungkin tidak berlaku secara mendadak dalam tempoh masa singkat mengambil kira perubahan terkini dari segi kelonggaran diberikan untuk menggaji mereka. Negara sumber perlu dimaklumkan perubahan yang berlaku dan kemungkinan proses dan prosedur pengambilan pekerja perlu dikemaskini di pihak mereka agar selaras dengan peruntukan undang-undang buruh di negara masing-masing.
Adalah diharapkan segala permasalahan yang mungkin timbul dalam usaha membangunkan modal insan untuk memulihkan ekonomi negara dapat diatasi segera agar aspirasi untuk membangun negara madani berada pada landasan betul. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. S.R. Subramaniam ialah Pensyarah Pengurusan & Gelagat Organisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.










