ALLAH SWT mengingatkan kita bahawa kebinasaan yang berlaku di atas muka bumi amat berkait rapat dengan perbuatan manusia. Ayat ke-41 surah Ar-Rum menyatakan: “Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian supaya Allah mengkehendaki kepada mereka terhadap kerosakan yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.”
Nyata, kadar bencana alam yang meningkat saban tahun adalah hasil pencabulan secara besar-besaran ke atas khazanah alam dan kepelbagaian ekosistem sedia terpelihara selama ratusan abad lamanya. Selain membincangkan kedudukan geografi, permukaan bumi, dan struktur iklim yang menyumbang kepada kejadian bencana alam, jangan kita lupakan tangan-tangan manusia juga menjadi faktor utama berlaku banjir kilat, tanah runtuh dan ribut petir terutama apabila menjelang musim tengkujuh.
Laporan Penilaian Panel Antara Kerajaan berkaitan Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan impak perubahan iklim yang lebih ketara dalam 20 tahun akan datang seperti bencana alam adalah lebih ekstrem. Malaysia bakal menerima nasib sama sekiranya kejadian ‘misteri’ seperti penggondolan bukit-bukau dan gunung-ganang, pembalakan dan penerokaan tanah secara haram atau pelepasan sisa kimia dan bahan terlarang ke tasik, sungai hinggalah ke laut tidak dikekang secara agresif.
Kajian menunjukkan pembukaan tanah atau penebangan hutan akan menghasilkan cerun di mana air hujan boleh menyebabkan perangkap terbentuk dan akhirnya hakisan serta tanah runtuh.
Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada hujung tahun lalu sewajarnya membuka mata rakyat untuk terus cakna terhadap isu pencemaran alam sekitar yang semakin membimbangkan. Geofizikal dan topografi kawasan tersebut yang berbukit-bukau menyebabkan struktur tanah mudah terhakis tatkala turunnya hujan secara berterusan.
Perkara ini perlu diambil kira oleh pengusaha tapak perkhemahan tersebut, namun nasi sudah menjadi bubur kerana terbukti mereka tidak memiliki lesen sah untuk menyelia aktviti berkenaan malah meneruskan operasi tanpa sebarang syak wasangka serta tanpa sebarang tindakan undang-undang dikenakan sedari 2020.
Selain itu, negara direkodkan kerugian RM6.1 bilion disebabkan banjir pada 2021 dan awal tahun lalu berikutan perubahan iklim yang menyebabkan corak bencana alam berubah terutama di kawasan Pantai Timur.
Tambahan pula, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kejadian banjir yang kerap berlaku di negeri itu sepanjang tahun lepas dipercayai berpunca daripada faktor cuaca hujan lebat dan sistem perparitan tersumbat dengan sampah sarap dan sisa pepejal.
Apabila dicatatkan kes kematian atau kerosakan harta benda melibatkan puluhan mangsa, maka bermulalah episod menuding jari ke arah semua pihak terlibat baik secara langsung atau tidak. Semua ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya setiap individu tidak mengambil iktibar daripada perbuatan fasad yang semakin kerap dilakukan ke atas alam sekitar. Keinsafan yang terbit dalam sanubari tatkala berita tragis berkaitan kerosakan alam diputar melalui media massa tidak mampu menyelamatkan alam sekitar jika ia sekadar bersifat sementara.
MENEBAS, MENEBANG
Justeru, kerajaan dan agensi bertanggungjawab dalam mengurus kelestarian alam semula jadi tidak boleh berterusan membiarkan mana-mana pihak terus menerus memakan hasil bumi serta mengaut keuntungan atas kesengsaraan rakyat hari demi hari. Bukannya tiada langsung sistem perundangan dan penguatkuasaan ditubuhkan bagi membanteras kebejatan alam ini. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Akta 385), Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), antara lain digubal dan dipinda secara berperingkat bagi mengawal selia dan membaiki alam sekitar dengan menetapkan beberapa garis panduan dan pematuhan kendiri supaya orang awam dan penggiat industri akur serta patuh kepada ketetapan sedia ada.
Sebagai contoh, Akta 56 menghalang mana-mana orang daripada memasuki, menebas, menebang, menggali, menanam dan lain-lain di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri dan tidak mendapat kelulusan Permohonan Tanah dan Geran Tanah (Suratan Hak Milik). Penerokaan tanah kerajaan secara haram yang berlaku di kawasan hutan simpan kekal pula boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta 313 dengan denda maksimum RM10,000 dan/atau dipenjarakan maksimum tiga tahun.
Malah, Akta 385 memperuntukkan tatacara pengeluaran tanah dari kawasan bukit yang diwartakan di bawah Seksyen 3 agar permohonan tersebut dibuat oleh pemilik tanah berdaftar atau pihak-pihak lain yang diberi kuasa sahaja. Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditubuhkan bagi mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan memperbaiki alam sekeliling, selaras dengan maksud Akta 127. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mengendali isu berkaitan tebatan banjir, pengurusan sungai, saliran bandar dan empangan.
Tuntasnya, kita perlu mengkaji keberkesanan usaha sedia ada serta menilai semula dasar dan strategi pengurusan risiko selain menimbulkan kesedaran secara efektif dalam kalangan masyarakat di semua peringkat umur. Cadangan oleh ahli Parlimen sebelum ini bagi menyediakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir turut perlu diteliti secara komprehensif agar undang-undang tersebut berfungsi sepenuhnya dan bukan menjadi sekadar dokumen bertulis yang layak direnyuk kertasnya apabila tidak digunakan.
Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Dunia ini hijau dan cantik dan sesungguhnya Allah telah melantik kamu sebagai pengurusnya, Dia melihat apa yang kamu lakukan.” – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; aktivis hak asasi manusia, Setiausaha Kehormat Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Pengarah Komunikasi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dalam Proses Semakan Sejagat (UPR).










