UMNO tak boleh lagi berpecah - Utusan Malaysia

UMNO tak boleh lagi berpecah

Usul tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang didakwa dibuat tidak mengikut tatacara yang betul. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam tempoh lima tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), UMNO cukup teruk diserang, ditekan dan dikhianati, baik oleh musuh di luar dan juga orang dalam. Sudahlah kalah teruk pada 2018, UMNO pula dijadikan bahan ugutan ke atas pucuk pimpinan mereka oleh seteru yang cukup galak untuk melihat parti keramat Melayu itu terus berkubur.
Lebih memalukan lagi apabila ada pemimpin UMNO sendiri yang menjadi broker untuk memujuk ahli-ahli Parlimen UMNO yang menang ketika itu untuk melompat masuk Bersatu dan menyokong Kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU14.
Dek kerana parti yang tak pernah kalah sejak 70 tahun lalu, maka pastinya banyak musuh bersorak gembira dan menunggu peluang untuk melanyak UMNO yang sudah tidak memiliki apa-apa kuasa.
Namun Presiden, Timbalan Presiden dan kepimpinan tertinggi UMNO ketika itu tidak mudah mengalah. Mereka cekal berdepan dengan segala cabaran dan dugaan untuk memastikan parti kembali bangkit secara perlahan-lahan. Bukan sedikit dugaan dihadapi oleh pucuk pimpinan. Biarpun menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu selepas kejatuhan Kerajaan PH pada 2020, UMNO sedikit dipinggirkan dan tak kurang juga menjadi mangsa permainan politik licik Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Biarpun wakil UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi Perdana Menteri Kesembilan selepas kegagalan Muhyiddin, namun nasib parti ini tak banyak berubah. Saya percaya, permainan politik Muhyiddin itu tidak akan berhasil jika beliau tidak mendapat sokongan daripada orang dalam UMNO. Musang berbulu ayam atau api dalam sekam terus memainkan watak masing-masing untuk memporak-perandakan UMNO dari dalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyedari perkara ini sejak dari awal lagi. Tapi beliau sentiasa mengambil pendekatan secara berhemah dalam menangani isu musuh dalam selimut ini. Ahmad Zahid tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru untuk terus menghukum pemimpin UMNO yang mengkhianati parti dan beliau sendiri.
Ketika itu, kebanyakan pemimpin atasan UMNO termasuk Presiden lebih memikirkan untuk menjaga perpaduan dan fokus kepada memulihkan parti daripada mengambil tindakan yang boleh melemahkan parti.
Hasil kecekalan dan ketabahan pucuk pimpinan membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO, menyaksikan BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor. Rakyat kembali meyakini kemampuan UMNO sebagai parti yang membela rakyat. Selepas kemenangan bergaya di PRN Johor, majoriti ahli UMNO mahu PRU15 diadakan segera ketika mood rakyat menyokong BN sudah kembali. Banyak suara yang mendesak supaya Parlimen dibubarkan segera dalam keadaan musuh politik UMNO seperti DAP, Pas dan Bersatu dalam keadaan goyah dan ditolak rakyat. Namun apakan daya, kuasa membubarkan Parlimen bukan terletak kepada Presiden UMNO tapi terletak kepada Naib Presiden yang juga Perdana Menteri ketika itu. Hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan berganti bulan, Ismail Sabri masih tak mahu membubarkan Parlimen biarpun ada desakan. Sehingga akhirnya luang masa itu memberikan kesempatan kepada pihak lawan membuat persediaan dari segi kekuatan dan kewangan.
Maka, apabila PRU15 diadakan lewat lima bulan dari jangka masa sepatutnya. UMNO tewas lagi! Perikatan Nasional dan PH jauh mendahului UMNO apabila kempen fitnah, beli undi serta propaganda melalui media sosial mengubah persepsi rakyat terhadap UMNO.
Apabila UMNO tewas sekali lagi, maka mulut-mulut jahat pun bersuara, desak Presiden letak jawatan. Mereka menyalahkan Presiden semata-mata tanpa masing-masing mahu mengakui kelemahan diri sendiri juga sehingga UMNO menerima nasib buruk itu. Ini semuanya adalah mainan politik puak pengkhianat dan broker dalam UMNO sendiri dalam mahu menangguk di air keruh. Apatah lagi apabila hasrat mereka untuk menyokong secara pintu belakang kepada PN menjadi kerajaan berjaya dipatahkan oleh Presiden UMNO. Mereka mahu mengambil alih UMNO dengan harapan dapat membawa parti ini untuk bersama PN dan Pas menubuhkan kerajaan. Ada yang bercita-cita tinggi mahu mewarisi takhta Perdana Menteri dan ada masih kemaruk mahu menyambung jawatan PM bagi penggal kedua. Bagi menjayakan plot mereka itu, pemilihan agung UMNO menjadi sasaran mereka. Terutamanya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang mereka desak supaya dipertandingkan kononnya untuk memberi nafas baharu kepada parti.
Seperti yang saya tegaskan, saya tidak pernah menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan. Tetapi seelok-eloknya tak usahlah kedudukan nombor satu dan dua itu dicabar. Semuanya adalah demi kepentingan, perpaduan parti. Ini kerana saya percaya, jika berlaku pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan, perpecahan dalam UMNO pasti akan lebih parah. Sejarah panjang parti itu cukup membuktikan apabila empat kali pertandingan diadakan, empat kali jugalah UMNO berpecah. Sudahlah UMNO pernah berpecah tiga kali dek angkara Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menubuhkan Semangat 46, Anwar Ibrahim mewujudkan PKR dan Mahathir serta Muhyiddin membentuk Bersatu. UMNO tidak mampu untuk terima perpecahan kali keempat dan jika ia terjadi juga tak mustahil UMNO akan rebah selama-lamanya.
Ketika ini semua ahli UMNO mesti menerima hakikat landskap politik negara sudah berubah lagi. UMNO tak mampu untuk menarik sokongan undi bukan Melayu, manakala undi Melayu pula berpecah tiga. Kita semua kena terima hakikat, hala tuju politik UMNO kini mesti menjurus ke arah kerjasama yang lebih kompleks iaitu mewujudkan situasi menang-menang bersama PH. Kita sudah kena buang sikap prejudis antara satu sama lain dan UMNO, PKR serta DAP perlu menunjukkan keikhlasan demi kelangsungan masa depan politik.
Oleh itu, saya minta seluruh ahli UMNO berfikirlah mengikut rasional bukannya nafsu. Pengukuhan dan perpaduan UMNO lebih penting. Berilah peluang dan masa kepada Ahmad Zahid dan Tok Mat Hassan membina kembali kewibawaan UMNO dan menarik semula sokongan rakyat.

Datuk Nur Jazlan Mohamed ialah Timbalan Pengerusi UMNO Johor dan Ketua UMNO Bahagian Pulai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.