‘UMNO sudah banyak bersabar dengan gelagat mereka’

‘UMNO sudah banyak bersabar dengan gelagat mereka’

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

“BERAPA lama ahli-ahli UMNO mahu bertahan dengan tindak tanduk personaliti-personaliti ini?”

Demikian reaksi spontan Naib Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN ketika ditanya wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam berhubung pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diperbualkan ramai.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu itu lagi, “UMNO tidak berselindung siapa buat apa. Tidak mungkin kita dikenakan tindakan disiplin kalau tidak buat apa.”

Berikut inti pati temu bual dengan beliau:

UTUSAN: Ada pihak melihat tindakan pemecatan dan penggantungan terhadap beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini sebagai kurang cerdik, tidak kurang juga mengatakan ‘tidak berhati perut’?
MOHAMED KHALED: Sudah lama ahli parti daripada pucuk pimpinan hingga ke ahli biasa resah, gundah-gulana seolah-olah parti tidak dapat mengawal tindak tanduk sebilangan mereka ini yang tidak tahu menjaga parti yang besar ini.

Sejak UMNO kalah pada 2018, dengan wakil rakyatnya lompat (parti), ahli meninggalkan parti, sabotaj pilihan raya (November 2022), semuanya berkait soal disiplin yang tidak tahu lagi menjaga disiplin diri dan parti.

Takkanlah hendak berterusan begini. Takkanlah kepimpinan tidak tahu uruskan parti. Soal disiplin perlu diuruskan segera kerana kalau tidak ia akan menjadi tenaga destruktif yang boleh meletupkan parti jadi berkecai. Inilah meresahkan ahli-ahli parti yang menantikan pengakhirannya.

Mereka yang dipecat dan digantung ini mungkin mangsa kemarahan hierarki di atas?
Mereka tidak boleh mendakwa kononnya menjadi `mangsa yang tidak bersalah’. Soal mendisiplinkan ahli perkara biasa, tetapi kali ini melibatkan nama-nama besar. Kalau gagal mendisiplinkan ahli, parti mungkin parah. Tindakan lembaga disiplin bukan diambil sesedap rasa atau semberono. Kepimpinan parti tentu ada perkara-perkara yang menjadi asas tindakan disiplin itu.

Saya percaya parti sudah banyak bersabar dengan gelagat mereka ini. Boleh kita bayangkan tidak ada mana-mana parti pun yang rela melihat ada ahlinya mengata partinya di khalayak ramai. Tidak tahu platform, tidak dapat mengukur mana satu yang boleh menjejaskan parti atau tidak.

Jadi, bukan tindakan drastiklah keputusan MKT?
Mana boleh parti berterusan macam ini dengan satu kapal dua nakhoda. Lama-lama parti pecah, tenggelam. Satu tarik ke kiri, satu ke kanan. Ahli-ahli bingung, keliru hendak ikut siapa. Memang orang akan kata macam-macam namun kita UMNO tidak berselindung ‘siapa buat apa’.

Ada pihak menyalahkan presiden atas pemecatan mereka itu. Respons Datuk Seri?
Kalau kepimpinan tidak tegas pun ramai ahli akan kecewa. Itu pun presiden parti dimarahi kerana lambat bertindak ke atas mereka ini. Sebenarnya bila presiden sudah menang tanpa jawatan itu dipertandingkan, dia boleh saja pekakkan telinga sebab tidak ada siapa yang lawan dia. Tapi dalam perkara ini, saya percaya dia bersetuju dengan lembaga disiplin parti untuk buang barah dalam parti.

Ingat presiden tidak ambil kirakah kesan-kesan tindakan MKT ini mungkin ada orang muda jauhkan diri dari UMNO? Presiden ambil kira semua itu antaranya mungkin ada komponen Barisan Nasional (BN) melihat BN ini lemah kesan terhadap UMNO bertindak terutama libatkan nama-nama besar. Tapi presiden tahu kalau dia gagal uruskan parti, itu juga menjejaskan imejnya.

Biarpun tindakan sudah diambil, ada masih salahkan presiden. Presiden ambil tindakan itu menunjukkan presiden sangat cermat menilai kesan-kesan yang dibuat dari pemecatan dan penggantungan seseorang.

Beliau mengimbanginya, tidak terburu-buru walaupun marah. Melalui perhimpunan agung parti, diberi ruang kepada lembaga disiplin buat siasatan. Kalau parti tidak bertindak , macam mana kita dapat menghadapi suara-suara merendahkan parti setiap masa atau bertindak terhadap perkara-perkara tidak membawa faedah yang tidak nampak untuk kebaikan parti secara keseluruhan.

Ada kesankah keputusan MKT ini terhadap persediaan UMNO menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi?
Setiap tindakan itu memang ada kesan, tetapi kalau ia barah dalam parti, mana satu yang kita perlu utamakan?

Apa pun saya anggap ini semua asam garam dalam politik. Ada naik turun. Ada yang berehat sementara. Ada yang dipecat. Ada yang dapat jadi Perdana Menteri. Kita terima ini perjalanan hidup kita. Saya sendiri pun pernah kalah (pada PRU14) tetapi menang semula (PRU15). Sekejap menjadi pengerusi perhubungan UMNO negeri, kemudian tidak.

Kita faham mereka marah, dukacita tapi itulah perjuangan yang akan dilalui. Itulah juga dinamakan hidup, ada kala susah, ada kala terhimpit. Semua itu melatih diri untuk sabar dan bermuhasabah. Macam kata-kata tokoh sufi sepanjang zaman, Jalaluddin Rumi. Kata Allahyarham, “Semalam saya pintar, jadi saya ingin mengubah dunia. Hari ini saya bijaksana, jadi saya mengubah diri saya sendiri.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN