Tok Mat yang disalah faham

Tok Mat yang disalah faham

UCAPAN Mohamad Hasan (tengah) dalam PAU 2022 baru-baru ini telah digambarkan secara tidak tepat dalam media sosial. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM ledakan dunia informasi sekarang, banyak sekali maklumat politik tidak tepat diberikan sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada parti dan pemimpin politik tertentu. Ucapan-ucapan panjang diambil sebahagian kecil dan disebarkan merata-rata untuk membunuh karakter pemimpin tanpa dilihat kandungan penuh dan konteks sebenar ia dibuat.

Sebahagian besar masyarakat kita pula tidak mempunyai tabiat untuk menonton sepenuhnya ucapan atau membaca teks ucapan sama ada kerana malas atau kerana tiada masa. Sebab itulah banyak sekali maklumat tidak betul berkeliaran dalam media sosial menyebabkan menjadi satu kerja tambahan pula untuk pihak yang diserang membuat penjelasan.

Begitulah yang terjadi kepada Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, baru-baru ini. Apa yang dilakukannya dalam ucapan perasmian perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 11 Januari lalu adalah penjelasan tentang penubuhan kerajaan perpaduan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam ucapan ini, diterangkan panjang lebar sebab-sebab mengapa UMNO sanggup memeterai persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bekerjasama mentadbir negara. Salah satu perkara diberi penekanan ialah soal kerjasama UMNO dengan DAP, salah satu parti komponen PH di sebalik pendirian UMNO yang kritikal terhadap DAP sebelum ini.

Tidak ada pun sebarang pernyataan memuja-muji DAP dalam ucapan ini tetapi gambaran tidak tepat yang diberikan dalam media sosial ialah beliau kini telah membuat pusingan U. Lebih malang lagi bila ada cendekiawan dari institut pengajian tinggi tempatan yang turut terjangkit dengan sindrom ambil sebahagian ucapan ini dan menyebarkan maklumat sama.

Disebut secara rambang tanpa pembuktian oleh cendekiawan ini, ramai tidak menyangka ucapan Mohamad semacam apologetik dengan perjuangan UMNO menentang DAP selama ini. Walhal jika cendekiawan ini meneliti dan menghadam sepenuhnya ucapan Mohamad maka nyatalah ia bukan apologisme (meminta maaf) ke atas perjuangan UMNO menentang DAP selama ini.

Pertama, diterangkan oleh Mohamad sebab-sebab UMNO sanggup memeterai persefahaman dengan PH, GRS dan GPS untuk bekerjasama mentadbir negara. Dinyatakan bahawa bila timbul kebuntuan kepada seruan dari Istana Negara ke atas pembentukan kerajaan perpaduan, UMNO berasa bertanggungjawab untuk tampil dan menjadi penyelesai.

UMNO mahu Malaysia dibawa keluar daripada kemelut pasca-PRU (pilihan raya umum) kerana terlalu banyak isu yang mencengkam rakyat saban hari dan tidak boleh membiarkan drama politik itu berlarutan. Sebab pertama kerana kepimpinan UMNO berpandangan bahawa penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan akan memberikan parti itu peranan yang unik dan strategik.

Sebab kedua ialah perlunya Malaysia dikembalikan ke jalan sederhana setelah isu perkauman dan agama menjadi modal kempen politik sehingga ke tahap yang ekstrim.

PEMBANGKANG

Sebab ketiga pula ialah UMNO sangat menyedari bahawa menjadi pembangkang bukanlah perkara mudah dan UMNO mungkin akan terus melemah jika ia berada di luar kerajaan. Ditegaskan juga UMNO memberi fokus kepada governing dan mengutamakan kestabilan politik, bukannya idelogi politik rakan kerjasama UMNO dalam kerajaan perpaduan.

Mengenai kerjasama UMNO dengan DAP, apa yang ditegaskan oleh Mohamad adalah kedua-dua parti ini memang kenal dan faham pendirian politik masing-masing yang banyak berbeza. Apa yang berlaku hanyalah kedua-dua pihak tidak bermuka-muka dan berpura-pura, sebaliknya mengakui perbezaan yang wujud tetapi membuat pilihan untuk mengurus perbezaan.

Turut dinyatakan adalah fakta bahawa faktor yang mendorong orang Melayu menyokong atau menolak UMNO dalam pilihan raya bukanlah kerana ia menentang ideologi mana-mana parti. Sebaliknya yang menjadi kayu ukur sokongan orang Melayu ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi serta kemampuan UMNO memperjuangkan kepentingan bangsa.

Justeru, tidak berbangkit sama sekali persoalan kononnya UMNO menggadai prinsip atau berkompromi dalam perkara-perkara paling fundamental dalam perjuangan dan ideologinya. Malah, perkara-perkara paling fundamental dalam perjuangan dan ideologi UMNO ini kekal terpelihara dan tersemat dalam satu perjanjian persefahaman pada 16 Disember 2022.

Perlu diingatkan, dalam perjanjian persefahaman ini ada sebanyak 18 komitmen dan matlamat kerajaan perpaduan yang dipersetujui oleh kesemua parti yang membentuknya. Antaranya mempertahankan sistem raja berperlembagaan, memelihara Islam sebagai agama Persekutuan serta mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Selainnya seperti mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik, mengamalkan ekonomi yang adil dan dinamik serta memastikan pembelaan ekonomi yang adil. Kesemua 18 komitmen dan matlamat kerajaan perpaduan ini tidak ada satu pun bercanggahan dengan perjuangan dan ideologi yang menjadi pegangan UMNO selama ini.

Justeru, UMNO tidak menyokong kerajaan perpaduan ini secara membuta tuli tetapi berunding dengan secermat mungkin dan ini terangkum jelas dalam perjanjian. Apa yang lebih penting ialah pilihan UMNO untuk bekerjasama dengan PH telah menjadikannya parti yang akan mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan.

Cukup banyak perkara boleh diperjuangkan oleh UMNO di dalam kerajaan perpaduan ini melalui pelbagai jawatan dan kedudukan yang sedang dipegang oleh para pemimpinnya. Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Menteri Pertahanan serta Menteri Pendidikan Tinggi bukanlah portfolio enteng tanpa peranan besar atau pencukup bilangan.

Begitulah juga dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Luar Negeri.

Tegasnya, perbezaan antara parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan ini khususnya antara UMNO dan DAP diakui wujud tetapi ia boleh diurus dan diketepi demi kepentingan negara. – UTUSAN

DR. Syed Agil Alsagoff ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×