BAHASA mencerminkan bangsa. Hilang bahasa lenyap bangsa. Ungkapan-ungkapan ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa kepada sesebuah bangsa. Usaha memartabatkan bahasa Melayu harus dijiwai oleh setiap rakyat dan bukan hanya dijadikan slogan untuk tujuan tertentu.
Kemuliaan bahasa harus dipelihara termasuk penggunaan ejaan dan cara sebutan yang betul. Ia penting kerana keindahan dan kehebatan bahasa Melayu menggambarkan ketinggian peradaban negara bangsa.
Lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya. Sebagai contoh, walaupun kita bangsa serumpun, namun penggunaan bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia berbeza dari segi istilah, sebutan, ejaan serta lenggok bahasanya.
Hal yang paling ketara ialah penggunaan istilah pinjaman, di mana kita di Malaysia lebih dipengaruhi bahasa Inggeris, sedangkan bahasa Indonesia lebih banyak mengambil istilah pinjaman daripada bahasa Belanda dan Latin.
Tatkala bahasa Melayu menggunakan istilah pic yang berasal daripada peach (bahasa Inggeris), bahasa Indonesia menggunakan istilah persik daripada perzik (bahasa Belanda). Menariknya, terdapat juga situasi di mana bahasa Indonesia menerapkan struktur kata bahasa Belanda dalam istilah Inggeris.
Contohnya, istilah komunitas yang berasal daripada perkataan community (bahasa Inggeris). Namun, menggunakan akhiran -tas seperti lazimnya struktur kata bahasa Belanda.
Di Malaysia, kita menggunakan istilah komuniti dengan mengekalkan struktur kata bahasa Inggerisnya. Bagi saya, perbezaan ini memberikan identiti yang tersendiri kepada bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.
Pengaruh sejarah dalam perkembangan bahasa menjadikan bahasa sebagai suatu cerminan diri yang menggambarkan siapa diri kita. Dari sudut mikro, bahasa seharian yang digunakan biasanya menggambarkan latar belakang diri dan asal usul keturunan seseorang.
Bahasa dan bangsa itu tidak dijual beli. Mereka yang lahir daripada keluarga yang menjaga adab lazimnya tidak akan bertutur dalam bahasa yang kasar, apatah lagi memaki hamun dan menuturkan bahasa jelik.
Faktor persekitaran memberi kesan yang besar kepada kehidupan kita termasuk soal penggunaan bahasa. Misalnya, pendedahan kepada bahasa Indonesia khususnya melalui media banyak mempengaruhi penggunaan bahasa kita.
Ada dalam kalangan kita yang merasakan bahasa luar lebih puitis, lantas menggunakan istilah beda sedangkan istilah Melayunya ialah beza.
KOMENTAR
Ada juga yang terkeliru dan menganggap istilah yang mereka gunakan itu ialah istilah bahasa Melayu yang betul. Contohnya, istilah komentar yang didaftarkan sebagai istilah Indonesia-Belanda sering digunakan sedangkan kita mempunyai istilah Melayu iaitu komen atau ulasan.
Menjaga ketertiban bahasa sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan adalah amat penting dalam usaha memelihara kemurnian bahasa kita. Janganlah kita rosakkan keindahan bahasa dengan penggunaan bahasa yang cacamarba seperti bahasa pasar, bahasa slanga dan bahasa rojak.
Apa gunanya kita melaungkan pelbagai slogan untuk memartabatkan bahasa Melayu jika kita sendiri gagal memelihara tatatertib dan peraturan bahasa kita?
Kita terbuka menerima istilah baharu bagi mengembangkan perbendaharaan kata Melayu. Namun dalam proses itu, kita tetap mengekalkan struktur bahasa Melayu yang betul. Ini bermakna bahasa asing tidak boleh dimelayukan dengan sesuka hati.
Setiap perkataan baharu termasuk kata pinjaman hanya boleh digunakan secara rasmi setelah ia didaftarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Oleh demikian, kita mesti mematuhi aturan bahasa dan bukannya mencacatkan kemurnian bahasa Melayu dengan mengubah ejaan dan cara sebutannya secara semberono mengikut selera kita sendiri.
Setiap perkataan asing yang telah dimelayukan harus dieja dalam ejaan Melayu dan dituturkan dengan sebutan kita dan bukannya dalam telor bahasa asalnya. Kebelakangan ini terdapat golongan yang gemar menuturkan istilah Melayu dalam telor Arab seperti mempertebalkan bunyi huruf ain, dad, za dan lain-lain.
Walhal semua istilah Melayu harus ditutur berdasarkan ejaan Melayu dan bukan menurut ejaan bahasa asalnya. Dalam memartabatkan bahasa Melayu, hal-hal begini tidak boleh dipandang ringan.
Jangan sampai kita menganaktirikan bahasa sendiri dengan mengarabkan atau menginggeriskan sebutan Melayu hanya kerana mahu dipandang hebat dan bergaya.
Perbuatan mengagung-agungkan bahasa asing berbanding bahasa sendiri menggambarkan kelemahan jati diri serta tidak bersifat patriotik. Lebih malang lagi, dalam kalangan pemimpin pun ada yang bersikap sebegini.
Jangan menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Apa kurangnya bahasa kita sehingga kita terpaksa bersusah payah meniru telor sebutan bahasa asalnya? Apakah kita malu untuk bertutur bahasa Melayu dalam lenggok bahasa kita sendiri?
Sikap memandang rendah akan keupayaan bahasa sendiri menandakan ketidakupayaan seseorang memerdekakan mindanya daripada pengaruh kuasa luar. Tatkala mempelajari bahasa asing, sudah tentu kita seboleh-bolehnya mahu bertutur dengan sebutan yang betul tanpa telor sedikit pun.
Namun, kenapa pula keadaan menjadi sebaliknya apabila kita bertutur dalam bahasa sendiri? Sebenarnya, istilah-istilah Melayu turut diserapkan ke dalam bahasa-bahasa asing termasuk bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa dunia.
Sebagai contoh, perkataan-perkataan Inggeris iaitu compound, gecko, amok dan ketchup masing-masing berasal daripada perkataan Melayu iaitu kampung, gekok, amuk dan kicap. Malah, bukan hanya bahasa Inggeris tetapi bahasa-bahasa lain turut menerapkan istilah-istilah yang berasal daripada bahasa Melayu ke dalam bahasa mereka.
Bahasa jiwa bangsa. Kenalilah bahasa kita dan gunakanlah bahasa dengan betul. Tiada gunanya kita berjanji untuk mempertahankan martabat bangsa jika bahasa Melayu sendiri gagal kita martabatkan. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











