PETALING JAYA: Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim, mendedahkan terpaksa menolak tawaran berlakon dalam siri popular Wednesday dan Nine Perfect Strangers, atas faktor tuntutan babak yang bercanggah dengan nilai peribadinya.
Sarimah, 48, berkata dia disenarai pendek untuk watak dalam kedua-dua siri tersebut namun enggan meneruskannya kerana skrip memintanya melakukan adegan ciuman.
“Saya disenarai pendek, tetapi babak tersebut memerlukan saya melakukan adegan ciuman secara jarak dekat dan perlahan.
“Saya memilih untuk menolaknya. Ia bukan soal kita kekurangan bakat di Asia atau negara Islam, tetapi ramai antara kita yang tidak mahu berkompromi dalam soal moral dan maruah diri,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Bagaimanapun, menerusi siri Nine Perfect Strangers, Sarimah diminta untuk berbikini dan melakukan adegan ciuman.
Tambahnya, sebagai pelakon yang bukan dalam kategori ‘A-Lister’ di Hollywood atau United Kingdom, pihak produksi kebiasaannya tidak akan menyediakan pelakon pengganti (body double) bagi babak-babak sensitif sedemikian.
“Terdapat banyak lagi peluang lain, namun sayangnya kesemuanya mempunyai babak ‘intim’ tanpa pelakon pengganti.
“Kita sudah jalani latihan, bertemu ejen dan jurulatih, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.
Dalam pada itu, Sarimah berharap perkongsiannya dapat membuka mata masyarakat bahawa penggiat seni di Malaysia bukan kurang bakat sebaliknya mempunyai pendirian yang dipegang.
“Justeru, buat semua, bukanlah kita kekurangan bakat. Cuma moral kita tinggi. Saya menganggap segala momen disenarai pendek itu sebagai satu latihan praktikal yang hebat di bawah tekanan.
“Saya juga menerima maklum balas yang sangat baik daripada pihak di sana untuk digunakan dalam kerjaya saya di sini (Malaysia),” tambahnya. -UTUSAN











