Pindaan Akta Kerja 1955 tingkat produktiviti - Utusan Malaysia

Pindaan Akta Kerja 1955 tingkat produktiviti

PEKERJA dalam sektor ekonomi gig dan golongan wanita mungkin tertarik untuk mencari pekerjaan tetap dengan penambahbaikan Akta Kerja 1955. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI yang kita sedia maklum, kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dari 1 September 2022 ke 1 Januari tahun ini.

Pelbagai spekulasi dibuat berhubung penangguhan ini termasuk kemungkinan ia akan ditangguh sekali lagi atau dibatalkan terus apabila kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun, seperti dijanjikan, akta itu mula dikuat kuasa pada 1 Januari lalu, di sebalik segala desakan dan permintaan daripada pihak majikan untuk membuat penangguhan kali kedua.

Ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk mematuhi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menjadi kerangka teras dalam usaha memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja di seluruh dunia. Rata-rata pihak majikan berpandangan pelaksanaan akta ini akan meningkatkan kos pekerja dan dilihat membebankan mereka.

Pindaan akta ini antara lain melibatkan penambahan cuti bersalin dari 60 hari ke 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari ke tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan dari 48 jam ke 45 jam serta kemudahan aturan kerja fleksibel.

Selain itu, bayaran kerja lebih masa (OT) akan turut dinikmati oleh pekerja yang dibayar gaji sehingga RM4,000 berbanding RM2,000 sebelum ini, pengiraan gaji berdasarkan kalendar bulan tersebut dan bukannya 26 hari, pemberian cuti sakit berbayar dan cuti hospitalisasi sebanyak 60 hari serta hak pekerja wanita hamil untuk kekal di jawatan yang sama.

Pindaan akta ini juga membolehkan proses pengambilan, pengurusan dan pemantauan serta perlindungan pekerja asing dilaksanakan dengan lebih teratur dan baik termasuk majikan perlu memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam tempoh 30 hari sekiranya seseorang pekerja asing dipecat oleh syarikat terbabit.

Memasuki 2023, ekonomi global terus dijangka berdepan kelembapan.Malaysia diramal akan menerima tempias daripada kemelesetan ekonomi dunia.

Justeru, usaha pemulihan ekonomi negara perlu terus dipergiatkan seperti menarik pelaburan asing dan menyediakan ekosistem perniagaan kondusif.

Pelaksanaan akta ini akan memberikan beberapa kesan positif kepada pasaran buruh di negara ini. Pertama, pasaran tenaga kerja di Malaysia akan menjadi lebih menarik, sekali gus meningkatkan kadar guna tenaga dalam kalangan rakyat tempatan dan mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pekerja dalam sektor ekonomi gig dan golongan wanita antara segmen tenaga buruh yang mungkin tertarik dengan penambahbaikan dalam akta ini yang lebih bersifat mesra keluarga dan fleksibel.

SETIA

Penghijrahan bakat tempatan berkemahiran tinggi ke luar negara juga dapat dikurangkan apabila persekitaran kerja yang kondusif dan selamat serta menyokong keseimbangan kerja-hidup dapat disediakan selaras dengan pelaksanaan akta terbabit.

Penambahbaikan ini juga boleh menarik minat bakat tempatan yang telah berhijrah ke luar negara untuk kembali ke Malaysia menerusi pelbagai program disediakan kerajaan.

Selain itu, usaha-usaha untuk menarik dan mengekalkan bakat asing berkemahiran tinggi di negara ini akan lebih berjaya apabila kita dapat menyediakan persekitaran perniagaan dan tempat kerja menarik yang setanding dengan negara-negara lain yang menjadi destinasi pilihan mereka sebelum ini.

Kedua, produktiviti dalam kalangan pekerja dapat dipertingkatkan apabila wujud kesejahteraan dalam pekerjaan hasil penambahbaikan ke atas sistem kerja sedia ada serta faedah-faedah berkaitan.

Pengurangan waktu kerja mingguan dan aturan kerja fleksibel contohnya mampu menyumbang kepada keharmonian kerja-hidup dan kehidupan lebih gembira dalam kalangan pekerja. Pekerja yang gembira juga akan kekal setia bersama organisasi yang membolehkan syarikat mengurangkan kos pengambilan dan latihan pekerja baharu, justeru tidak menjejaskan produktiviti organisasi.

Ketiga, kesejahteraan sosial dan institusi keluarga akan lebih terpelihara apabila beberapa pindaan dibuat khususnya penambahan cuti bersalin dan paterniti.

Begitu juga dengan pengurangan waktu kerja mingguan dan aturan kerja fleksibel dijangka akan menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan rakyat Malaysia. Masalah seperti kemurungan dan kesihatan mental yang semakin meningkat juga dapat ditangani.

Keempat, negara bakal menjadi salah satu destinasi pilihan pelaburan asing dalam kalangan negara-negara pelabur yang menitikberatkan pematuhan kepada Konvensyen ILO sebagai kriteria penentuan destinasi pelaburan mereka.

Isu-isu kebajikan dan kesejahteraan pekerja, buruh paksa dan diskriminasi di tempat kerja adalah antara perkara yang diperjuangkan oleh ILO. Layanan yang adil dan saksama serta perlindungan kepada buruh asing juga diberikan penekanan oleh ILO.

Adalah menjadi harapan kita agar majikan menumpukan perhatian ke atas pelaksanaan akta yang dipinda ini dan tidak lagi terus mendesak kerajaan untuk menangguhkannya. Persiapan rapi sepatutnya telah dibuat termasuk dari aspek implikasi kewangan apabila penangguhan kali pertama dibuat pada 1 September lalu.

Walaupun justifikasi yang diberikan untuk menangguhkan pelaksanaan akta ini buat kali kedua, sekurang-kurangnya untuk enam bulan lagi adalah munasabah, namun kewajaran pelaksanaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas dan positif serta mengambil kira faedah yang akan dinikmati oleh majikan dan negara dalam jangka masa panjang.

Sebarang usaha untuk melengahkan pelaksanaan akta ini di pihak majikan sudah tentu akan mengecewakan golongan pekerja. Tindakan mengurangkan pekerja sebagai langkah untuk mengurangkan kos operasi perlu difikirkan sebaik mungkin kerana bakat dan kemahiran pekerja sukar diganti atau dicari apabila perniagaan perlu kembali beroperasi dalam kapasiti penuh apabila keadaan kembali pulih.

Golongan pekerja pula diharap menghargai kesungguhan kerajaan untuk menguatkuasakan akta ini seperti yang dijanjikan. Kesudian pihak majikan untuk melaksanakannya juga perlu dihargai. Pekerja adalah diseru agar dapat memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan dan seterusnya berusaha meningkatkan produktiviti kerja mereka.

Situasi menang-menang untuk kedua-dua majikan dan pekerja sudah tentu membantu negara memulihkan ekonomi dalam mendepani cabaran ekonomi global dengan lebih bersedia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. S.R. Subramaniam ialah Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN