KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu memberikan kesan besar kepada politik negara, setidak-tidaknya untuk tempoh lima tahun akan datang. Keputusan begini adalah pertama kali berlaku dalam politik pilihan raya di Malaysia. Tiada mana-mana parti berjaya mendapat angka 112 bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
Parti politik paling besar, iaitu Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mendapat 82 kerusi (kekurangan 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah 112), diikuti Perikatan Nasional (PN) sebanyak 74 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 30 kerusi.
Persoalan perlu difikirkan dan mencari penyelesaian, kenapa keadaan ini berlaku? Ini dapat dilihat dari dua sudut, iaitu struktur serta keadaan parti-parti politik utama dan struktur pengundi. Struktur serta keadaan parti-parti kumpulan dominan sekarang adalah berbeza daripada sebelumnya. Sekarang tiada sebuah parti yang mempunyai darjah kepercayaan benar-benar tinggi bagi orang Melayu dan bumiputera.
Sebelumnya, pengundi Melayu mempunyai kepercayaan tinggi kepada UMNO/BN dan Pas sebagai pilihan kedua terbaik. Akibat perpecahan dan penubuhan parti-parti politik Melayu, pengundi Melayu menjadi hilang arah pilihan yang boleh menjamin hak dan kedudukan mereka. Hak-hak keistimewaan Melayu sudah tidak lagi dilindungi sepenuhnya oleh UMNO/BN seperti beberapa dekad lalu.
Apa yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sudah tidak lagi menjadi asas utama perjuangan dan keputusan UMNO sebagaimana berlaku dalam pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan awal pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. Perubahan struktur dalaman dan kepimpinan juga tidak menjadikan UMNO sebagai parti pilihan utama orang Melayu.
UMNO dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa yang tidak menjadikannya sebagai parti ‘bersih’ dan ‘pembela bangsa Melayu.’ Akibatnya, UMNO/BN ditolak oleh pengundi Melayu yang sebelum ini menjadi penyokong kuat UMNO. Sokongan orang Melayu kepada UMNO hanya menjadi sejarah. Sama ada boleh dipulihkan semula dalam masa terdekat, masih menjadi tanda tanya.
Keputusan UMNO/BN bekerjasama dengan PH selepas PRU15 juga belum dapat keputusan muktamad sama ada mendapat sokongan besar ahli UMNO atau hanya keputusan presiden dalam situasi politik yang tersepit. Pengundi Melayu sebagai kumpulan dominan berada dalam keadaan bercelaru, iaitu tidak membuat pilihan kepada hanya sebuah parti.
ANTI-MELAYU
Undi Melayu berpecah kepada UMNO, PN serta komponen PH iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah). Kawasan majoriti Melayu khususnya di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu memberikan sokongan besar kepada PN. Kawasan pengundi campuran yang besar pengundi bukan Melayu umumnya dimenangi PH. Pengundi Melayu masih belum yakin dengan PH yang di dalamnya ada DAP yang didakwa sebagai bersifat anti-Melayu dan anti-Islam berdasarkan pemerintahan kerajaan PH selama 22 bulan selepas PRU14 (2018).
Dalam politik Malaysia yang penduduknya pelbagai kaum dan parti politik bersifat sederhana dan liberal adalah unsur sangat penting bagi menarik sokongan besar pengundi. Tafsiran majoriti pengundi terhadap sesebuah parti politik adalah sangat perlu bagi menjamin kemenangan dan sokongan besar pengundi.
Bagaimana keputusan atau keadaan Parlimen tergantung ini dapat dielakkan dan tidak berulang lagi dalam PRU akan datang? Kedua-dua aspek, iaitu sikap serta keputusan pengundi dan struktur parti-parti politik perlu ada perubahan.
Dari aspek pengundi, perlu memahami erti demokrasi dan peri penting pilihan raya dan hubungannya dengan kerajaan yang kukuh dan stabil. Pengundi khususnya pengundi muda perlu memahami dan mendalami ilmu politik, pilihan raya dan pembinaan negara bangsa. Jauh sekali pilihan raya hanya dilihat sebagai rutin biasa setiap lima tahun sekali yang tidak penting.
Mana-mana parti politik sama sahaja dan tidak mempunyai hubungan yang benar-benar penting bagai membina kesejahteraan hidup dan kemakmuran ekonomi. Peri pentingnya pilihan raya hanya terasa apabila berlaku situasi Parlimen tergantung seperti berlaku selepas PRU15.
Parti-parti politik juga mesti membuat penyusunan yang perlu dan wajar. Pimpinan utama hendaklah dalam kalangan mereka yang bersih daripada sifat buruk dan tuduhan serta kes mahkamah. Sekiranya ada yang terlibat, sepatutnya berundur (dengan rela hati) untuk sementara waktu dan memberi peluang kepada pemimpin baharu yang lebih bersih.
Anggota parti politik juga mesti berani bertindak memberi pandangan secara terbuka bagi membina kekuatan parti dan kestabilan negara. Kepentingan individu hendaklah diketepikan. Sesebuah parti politik tidak harus dilihat atau dikaitkan dengan individu tertentu tetapi lebih jauh dan besar, wadah bagi kepentingan bangsa dan negara.
Kestabilan politik mempunyai hubungan rapat dengan kestabilan dan kesucian sesebuah parti politik. Politik perlu dilihat sebagai suatu unsur suci yang perlu bagi kestabilan negara. Sesebuah parti politik bukan milik seseorang pemimpin, tapi milik semua yang menjadi ahli. Keberanian bagi mengutarakan pandangan positif perlu ada dalam proses pemilihan, pembinaan dan menguatkan sesebuah parti politik. Semoga negara kita akan maju dan terus maju dalam pembinaan politik matang dan stabil demi negara bangsa. – UTUSAN
DR. Mohd. Noor Yazid ialah pelajar sarjana undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










