Menyerap Konsep Madani dalam PBT - Utusan Malaysia

Menyerap Konsep Madani dalam PBT

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mutakhir ini, kita dalam euforia membin­cangkan idea untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik dengan mengambil kira lanskap politik dan ekonomi yang semacam lain daripada apa yang rakyat Malaysia pernah lalui sebelum ini.
Kebiasaannya, setiap perdana menteri di negara ini akan memperkenalkan idea atau kerangka dasar bagi mencerminkan corak pemerintahan dan hala tuju masing-masing, walaupun ada benarnya ia dikaitkan dengan amalan pemasaran politik. Waima apa sekalipun alasannya, tidak boleh tidak kerangka-kerangka dasar itu perlu wujud sebagai kompas untuk menunjangi dasar-dasar kerajaan yang bakal digubal kelak.
Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kerangka dasar yang merangkumi enam tonggak dasar iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Tiada siapa dapat menyangkal kepentingan kesemua tonggak yang digariskan ini. Tetapi, masih terdapat sebilangan besar rakyat yang kurang faham mengenai pengisian konsep tersebut walaupun rata-ratanya sedar tentang kewujudannya.
Secara ringkasnya, Malaysia Madani merupakan suatu kerangka dasar pembangunan bagi memartabatkan semula negara sebagai sebuah negara makmur dan dihormati. Pembangunan yang dimaksudkan adalah pembangunan yang bersifat komprehensif baik dari segi kuantitatif (kesejahteraan dan kebendaan seperti KDNK negara) mahupun kualitatif (kemajuan pemikiran seperti daya cipta, kerohanian, etika, akhlak dan lain-lain).
Kebanyakan perbincangan mengenai konsep Madani ini melibatkan aspek pembangunan yang bersifat umum. Namun, penulisan ini lebih tertumpu kepada institusi yang selama ini memainkan peranan yang penting dalam proses membangunkan negara iaitu Kerajaan Tempatan. Kerajaan Tempatan atau lebih dikenali dengan panggilan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah badan yang yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir sesuatu kawasan.
PBT adalah institusi yang sangat penting kerana ia adalah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat. PBT berupaya menentukan sama ada objektif dasar Kerajaan Persekutuan dan Negeri berjaya dicapai ataupun tidak. PBT juga telah dikenalpasti sebagai salah satu komponen penting bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 di peringkat tempatan melalui tema, Pemangkin Dasar dan Pemacu Perubahan yang dibangunkan.
Namun, sehingga ke hari ini, PBT masih terpalit dengan isu-isu yang bercanggah dengan norma-norma Madani. Sebilangan rakyat masih mempunyai persepsi negatif terhadap PBT dan mengaitkannya dengan amalan rasuah. Perubahan dari segi demografi dan proses urbanisasi yang berlaku dalam suasana pantas sedikit sebanyak memaksa PBT untuk terus melakukan reformasi segera dalam pentadbirannya.
Kini, tahap pendidikan rakyat Malaysia semakin tinggi dan sekaligus mendesak PBT untuk memberikan perkhidmatan pantas dan berkualiti. Keterujaan masyarakat dalam menjalankan ekonomi digital dan kesengsaraan penduduk mengharungi bencana banjir antara faktor pendesak kepada keperluan memperluaskan konsep bandar pintar (Smart City). Namun, pelaksanaan bandar pintar dilihat banyak lagi yang perlu diusahakan.
PBT sewajarnya menjadi sebuah institusi yang berdaya saing dan berupaya mentadbir kawasan lokaliti dengan baik. Oleh itu, seluruh PBT di Malaysia perlu mendakap dan mengadaptasi konsep Madani bagi mencapai sebuah negara yang maju dan bermaruah tinggi. Dalam erti kata lain, enam tonggak dasar Madani yang dicahayakan di peringkat Persekutuan perlulah disenergikan di dalam dasar-dasar yang dipakai di peringkat PBT.
Dari segi kemampanan, kebanyakan PBT telah mula bergiat aktif ke arah itu dan terdapat banyak garis panduan dilakar untuk mengapainya. Namun, aspek pelaksanaan dan pemantauan perlu diperhebatkan agar sumber-sumber yang ada sekarang ini dapat dipulangkan semula kepada generasi akan datang.
Terdapat keperluan untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kemampanan persekitaran. PBT perlu membuat pemeriksaan terperinci terhadap kawasan cerun yang berisiko tinggi bagi memastikan kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Batang Kali baru-baru ini tidak berulang kembali. Selain itu, PBT yang dipertanggungjawab merancang dan menguruskan bandar harus peka terhadap sistem perparitan dan pengairan yang kini tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak.
Selain itu, dijangkakan Malaysia berdepan dengan populasi yang semakin menua. Oleh itu, PBT perlu memastikan bahawa bangunan dan infrastruktur awam yang telah dan akan dibina sesuai dengan keperluan golongan yang perlu diberi perhatian seperti warga emas dan golongan OKU. Perkara ini juga berkait rapat dengan teras ihsan yang termaktub di dalam konsep Madani.
Selain itu, PBT perlu memperkasakan aspek integriti secara berterusan melalui mekanisme semak dan imbang sedia ada seperti yang digariskan dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) bagi mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat.
Prinsip musyawarah dan pelaksanaan nilai-nilai demokrasi dilihat sangat penting bagi mendukung aspirasi Malaysia Madani. Penyertaan awam, terutama membabitkan golongan belia sudah pasti membawa sinergi baharu dalam pembentukan dan pelaksanaan sesebuah dasar kerajaan.
Buat masa terdekat, penjawat awam yang dikenali sebagai agen perubahan perlu memahami sedalam-dalamnya maksud dan pengoperasian Malaysia Madani kerana merekalah orang yang seharusnya menjadi sumber rujukan masyarakat. Seluruh jentera kerajaan dan pegawai-pegawai daerah perlu turun padang untuk memberi kefahaman kepada orang awam berkaitan konsep baharu ini.

PENULIS ialah Pensyarah Dasar Awam, di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.