PERKATAAN atau istilah ‘madani’ dikaitkan dengan Perdana Menteri ke-10 sejak 1970-an lagi mengikut sesetengah sumber. Dewasa itu masih berada di Universiti Malaysia dan aktif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Fokusnya, masalah sosial, kemiskinan, rasuah dan keadilan. Namun, tidak mendapat banyak sambutan daripada khalayak cendekiawan. Keadaannya tidak seperti sekarang. Kini bertambah tenat dan celaru. Pemimpin pelajar 1970-an itu kini pemimpin negara.
Apapun pada 1996, sebuah buku berjudul The Asian Renaissance (Kebangkitan Asia) dinukilkan. Ia mencirikan konsep madani dengan lebih teliti, menjurus lebih kepada sebuah masyarakat sivil atau awam. Dalam ceramahnya di Jakarta pada 26 September 1996, dicerahkan lagi kepada sebuah sistem moral berasaskan prinsip etika yang menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dengan kestabilan masyarakat.
Soal tadbir urus dan keluhuran undang-undang serta ketelusan juga ditekankan. Sungguhpun begitu, penggunaan istilah ‘madani’ tidak tersebar luas berdasar kepada daftar yang ada pada Kamus Dewan ketika itu. Umumnya, istilah tersebut tidak wujud secara rasmi pada 1980-an dan 1990-an mengikut cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka itu.
Ternyata, ia istilah pinjaman daripada bahasa Arab tetapi tidak pula bermakna istilah seakan-akannya tidak ada dalam budaya tempatan. Ada mencadangkan istilah tamadun atau peradaban mungkin mirip. Kedua-dua sudahpun sebati dengan budaya setempat khususnya yang serumpun.
Dari satu sudut lain, tahun 1996 juga bersejarah buat Perdana Menteri ke-10 dalam menzahirkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Beliau terlibat sebagai Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab mencetuskan falsafah pendidikan untuk negara sendiri. Satu sumbangan amat bermakna tetapi tidak diraikan, senasib dengan madani.
FPK pada awalnya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (1988). Kata kunci dalam kedua-dua ialah ‘sejahtera’ yang memaknakan falsafah tersebut dalam kefahaman rumpun Melayu sejak berzaman. Oleh itu, berakar umbi dan sesuai sebagai suatu cara hidup di Malaysia, sebuah negara majmuk.
Lantas, sejahtera merupakan wirid hidup khalayak Malaysia untuk menjalin kemesraan merentas kelompok bangsa, budaya serta agama melalui pendidikan. Menariknya, istilah sejahtera juga merentasi nusantara baik dari segi amalan mahupun perkamusan mendahului madani.
Tidak salah jika dikatakan rumpun Melayu Nusantara lebih rapat mendampinginya. Didalami lagi oleh Islam apabila disantun agama suci tersebut. Sebagai contoh, muncullah penggunaan ‘salam sejahtera’ yang diangkat seolah-olah lafaz terjemahan bahasa Melayu menggantikan ucapan ‘assalamualaikum.’
Dalam kerangka ini, Perdana Menteri turut terpanggil mensejahterakan lagi kefahaman madani sepenuhnya. Ini nampaknya sudah berlaku apabila madani diakronimkan kepada enam aspek mengikut susunan huruf MADANI.
Huruf ‘A’ kedua dikatakan membawa pengertian ‘kesejAhteraan’ sepertimana ‘M’ merujuk kepada ‘keMampanan.’ Selainnya masing-masing ‘Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.’
Mengikut hujahnya, keenam-enam prinsip ini menzahirkan kemadanian negara yang lebih maju dan adil ala al-Farabi. Tekanan utamanya adalah untuk maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan.
Manhaj itu terarah kepada pembinaan masyarakat. Seiring ini, sejahtera tidak boleh disemberonokan sahaja. Ternyata cabarannya bukan setakat kefahaman, lebih-lebih lagi pengisian dan penghayatan secara praktik, memetik tulisan Profesor Osman Bakar baru-baru ini. Malah menurutnya, “Pendidikan, baik formal atau bukan formal (juga tidak formal) merupakan strategi terbaik bagi menangani cabaran-cabaran yang dimaksudkan.” Nah, bagaimana pula?
TERTIB SEJAHTERA
Kalau begitu, FPK yang juga cetusan minda Perdana Menteri wajar diadunkan bersama sebagai kelangsungan Malaysia Madani. Malah boleh memperkasakannya lagi kerana ini memadukan inti pati pendidikan berasas FPK di mana Sejahtera membawa erti tertentu dan bukan sesuka hati sahaja seperti yang lalu dan menodai FPK tanpa mematuhi tertib sejahtera.
Ringkasnya, ia mesti mencakupi sembilan nilai – Seimbang, Etika, Jasmani, Akal (Intelek), Harmonis, Tuhan, Emosi, Rohani dan Akhlak. Sekali gus merapatkan jurang yang ada (khususnya Tuhan dan rohani) memandangkan setiap satunya kata kunci kepada matlamat akhir FPK yakni mencapai ‘kesejahteraan diri’ dalam kemenjadian ‘insan yang sejahtera.’
Strateginya sudah pun tersedia melalui dua serampang FPK – mengasuh diri individu (mikrokosm/dalaman) dan meimbangi pemupukan masyarakat luas terbentang (makrokosm/luaran) dari perspektif rahmatan lil ‘alamin jua.
Dipacu pula oleh lima hikmah FPK ke arah bukan sahaja pembinaan negara tetapi merangkumi masyarakat, keluarga serta diri insan tersebut yang turut madani. Hanya dengan penyertaan tersusun mengikut tertib sejahtera serta pendekatan pendidikan menyeluruh, kejayaan boleh diserlahkan.
Jika kini masih ada tabiat mendewa-dewakan nilai, adat dan kejayaan dari luar, biar yang bercanggah sekalipun, khususnya dalam dunia pendidikan, lalu serentak meremehkan idea untuk menjadikan tradisi, nilai budaya dan sejarah tempatan sebagai asas membina kejayaan, ‘di sinilah kita harus berubah’ seperti yang jelas tertera dalam terbitan Membangun Negara Madani – Visi dan Kerangka Dasar Reformasi (Oktober 2022).
Dengan kata lain, pengembaraan memanusiawikan manusia, tidak terhad kepada para pelajar di bangku sekolah sahaja. Kesejahteraan adalah hak milik semua sebelum madani dapat dizahir dengan megah bak ujar Perdana Menteri dalam ucapan awalnya, “Masa telah tiba untuk kita berhenti mengukur kejayaan dan kemajuan manusia hanya dengan pertumbuhan ekonomi. Yakni insan sejahtera dan bukan modal insan.”
Satu matlamat berhemat tinggi yang menuntut kebenaran, keberanian dan kejujuran, tiga ciri yang kini jarang sekali ditemui apatah lagi dihargai dalam memanusiawikan Malaysia Madani melalui Sejahtera. Semoga Kementerian Pendidikan Tinggi dapat memperjelaskan semula sahsiah pendidikan negara. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











