Jangan diskriminasi pekerja bertudung

Jangan diskriminasi pekerja bertudung

BRITISH Airways baru-baru ini memperkenalkan pakaian bertudung sebagai pilihan kepada kru penerbangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTA Kerja (Pindaan) 2022 (Akta 265) diumumkan berkuat kuasa 1 Januari lalu. Pindaan Akta 265 ini telah lama dilakukan akan tetapi pelaksanaannya tertangguh untuk memberi peluang kepada industri agar pulih selepas pandemik sebelum pindaan terpakai sepenuhnya. Pindaan Akta 265 yang dilakukan telah menerima pelbagai reaksi daripada pemegang taruh kerana terdapat pindaan-pindaan yang signifikan kepada pekerja dan majikan.

Golongan pekerja sememangnya menyahut baik pindaan ini kerana dilihat berupaya meningkatkan serta menambah baik perlindungan dan kebajikan mereka secara umum terutama penurunan jumlah waktu bekerja seminggu serta tambahan cuti materniti dan paterniti. Sebaliknya sebagaimana dijangka, terdapat bantahan diutarakan daripada majikan. Bantahan majikan tertumpu kepada bilangan cuti materniti dan paterniti yang diberikan kepada pekerja.

Malangnya menurut makluman Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), sudah terdapat aduan daripada pekerja kerana ada majikan yang melanggar pindaan terbaharu ini. Antara aduan diterima oleh MTUC ialah kegagalan majikan untuk melaksanakan minggu bekerja 45 jam.

Majikan sebenarnya boleh menjangkakan pindaan ini akan berkuat kuasa selepas ia dibahas dan diluluskan di Parlimen. Oleh yang demikian, majikan seharusnya boleh berupaya untuk mengatur strategi bagi berhadapan sebarang penambahan kos yang perlu dialami. Meskipun pindaan ini kena pada masanya untuk memperbaiki taraf kebajikan pekerja secara umum, akan tetapi satu langkah progresif perlu dirangka bagi membantu majikan yang mungkin terkesan.

Antara elemen pindaan terpenting dan perlu ialah larangan terhadap diskriminasi pekerja yang dinyatakan dalam penambahan Seksyen 69F Akta 265 ini. Melalui Seksyen 69F ini, kuasa diberikan kepada ketua pengarah untuk membuat inkuiri dan memutuskan pertikaian antara pekerja dan majikan berhubung diskriminasi dan membuat perintah mengenainya. Maksud ketua pengarah di sini adalah ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Seterusnya di Subseksyen (2) Akta 265 ini menyatakan bahawa majikan yang gagal mematuhi perintah ketua pengarah melakukan satu kesalahan yang mana sekiranya disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 dan bagi kesalahan berterusan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi kesalahan berulang selepas sabitan.

Melalui pindaan melibatkan Seksyen 69 Akta 265 ini, JTK mempunyai lebih banyak tanggungjawab dan kuasa untuk melindungi kebajikan pekerja. Sekiranya sebelum ini perkara melibatkan keingkaran majikan mematuhi dasar kerajaan tidak mempunyai secara langsung tindakan yang boleh diambil oleh ketua pengarah, tetapi kini ketua pengarah boleh mempertimbangkan bentuk hukuman sesuai yang boleh dilakukan kepada majikan.

Seterusnya melalui Seksyen 70 Akta 265 dinyatakan secara jelas kaedah inkuiri oleh ketua pengarah JTK berhubung aduan-aduan di bawah Seksyen 69 dan 69F Akta 265 ini. Ini cukup menunjukkan bahawa dari aspek undang-undang, aduan-aduan berhubung layanan pekerja dan majikan termasuk diskriminasi sudah tersedia.

ADAT RESAM

JTK sendiri menerima aduan berhubung kes-kes ketidakpatuhan majikan kepada undang-undang buruh yang mengakibatkan pekerja kehilangan sesuatu faedah kewangan dan bukan kewangan seperti tidak membayar gaji, cuti tahunan dan lewat membayar gaji. JTK juga menerima aduan berhubung keingkaran majikan mematuhi dasar kerajaan atau adat resam serta amalan buruh tidak sihat.

Pun begitu, terma diskriminasi tidak didefinisikan dalam Akta 265 ini. Maka cabaran yang akan dialami oleh para pekerja dan majikan adalah menentukan perimeter diskriminasi. Dalam hal ini, timbul persoalan sama ada kes larangan pekerja mengamalkan agama seperti memakai tudung di tempat kerja termasuk dalam kerangka diskriminasi di bawah Seksyen 69F Akta 265 ini. Sekiranya tidak termasuk, JTK harus mengambil inisiatif lain bagi menangani isu kebebasan mengamalkan agama dalam kalangan pekerja.

Dalam aspek kebebasan berpakaian misalnya, Kementerian Sumber Manusia harus bertegas dalam memastikan majikan memberikan kebebasan berpakaian kepada pekerja mereka. Isu kebebasan dalam mengamalkan agama seperti kebebasan memakai tudung ketika waktu kerja telah diperjuangkan secara konsisten oleh Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) masih lagi belum menemui jalan keluar. Hakikatnya, perkara yang diperjuangkan oleh WAFIQ bukanlah mewajibkan pekerja memakai tudung sebaliknya adalah pilihan diberikan kepada pekerja untuk memakai apa yang mereka inginkan.

Malah syarikat penerbangan British Airways telah mengambil satu langkah ke hadapan dengan memperkenalkan pakaian bertudung sebagai pilihan kepada kru penerbangan. Ini memberikan pilihan kepada pekerja untuk memakai apa yang mereka mahukan. Tindakan British Airways ini juga menunjukkan bahawa pakaian yang singkat atau labuh tidak mempengaruhi kualiti perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

Oleh yang demikian, majikan-majikan di Malaysia boleh mengambil pertimbangan yang sama dengan memberikan pilihan kepada pekerja dalam berpakaian. Tuntasnya, pindaan Akta 265 adalah satu langkah yang baik dan sesuai dengan semangat tahun baharu 2023.

Namun, pada masa sama banyak isu lagi yang perlu diharmonikan dalam perhubungan perusahaan supaya hak pekerja terpelihara dan dihormati. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA); dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN