Cabaran pasaran buruh graduan baharu - Utusan Malaysia

Cabaran pasaran buruh graduan baharu

GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESUKARAN graduan mendapatkan pekerjaan, gaji permulaan terlalu rendah dan terlebih kelayakan dalam pekerjaan bukanlah cabaran baharu yang tidak diketahui umum.

Analisis data satu dekad Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) merungkai beberapa dapatan penting perlu diberi perhatian oleh pihak berkepentingan dalam mengatasi cabaran graduan baharu dalam pasaran buruh.

Sejak 2012, jumlah keluaran tahunan graduan tempatan melebihi 200,000 orang dan separuh daripadanya berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh setahun menamatkan pengajian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selebihnya pula belum mendapat pekerjaan (23 peratus), memilih untuk menyambung pengajian (20 peratus), menyertai program-program peningkatan kemahiran (dua peratus) dan sebahagian kecil sedang menunggu penempatan pekerjaan (lima peratus).

Peratus graduan yang belum bekerja dalam tempoh setahun selepas menamatkan pengajian juga menunjukkan trend menurun dari 27 peratus pada 2010 ke 14 peratus (2019).

Namun persoalannya, adakah statistik ini benar-benar menggambarkan keberhasilan pasaran buruh dalam kalangan graduan baharu? Dari segi komposisi jantina, peratusan graduan wanita sentiasa melebihi graduan lelaki pada setiap tahun. Tetapi peratusan graduan wanita yang belum bekerja sebaik sahaja menamatkan pengajian adalah lebih tinggi berbanding graduan lelaki.

Setiap tahun, sekurang-kurangnya satu pertiga graduan baharu terlebih layak untuk pekerjaan mereka. Malah, peratusannya adalah lebih tinggi dalam kalangan wanita walaupun lebih ramai graduan wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai ijazah.

Bahkan, graduan wanita kebanyakannya mendapat tempat dalam pekerjaan kurang berkemahiran menyebabkan mereka terperangkap dengan gaji permulaan lebih rendah.

Dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, lebih separuh graduan hanya memperoleh gaji permulaan di bawah RM1,500, menunjukkan kelembapan pertumbuhan gaji permulaan graduan.

Malah, gaji rendah ini turut berkait rapat dengan kurangnya penciptaan pekerjaan berkemahiran sebaliknya lebih tertumpu kepada bidang separa mahir. Di samping itu, peratusan graduan yang bekerja tetap dan sepenuh masa juga semakin menurun, hampir separuh bekerja secara kontrak atau separuh masa.

Data juga menunjukkan walaupun lebih kerap menukar pekerjaan mahupun mempunyai lebih daripada satu pekerjaan, pendapatan yang diterima graduan masih rendah di bawah RM2,000.

MAKAN GAJI

Analisis juga menunjukkan semakin ramai graduan memilih untuk bekerja sendiri berbanding makan gaji. Biarpun tidak disangkal bekerja sendiri terutama jika melibatkan bidang keusahawanan mampu menawarkan peluang pendapatan lumayan, kebanyakan graduan melihat ini hanya laluan sementara agar tidak menganggur.

Malahan, graduan yang berkecimpung dalam bidang usahawan ini juga masih berhasrat untuk meneroka peluang pekerjaan lebih terjamin dengan pendapatan stabil.

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi fokus kerajaan sebagai suatu bidang utama selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0. Analisis mendapati keberhasilan dalam kalangan graduan baharu TVET adalah lebih baik.

Contohnya, terdapat peningkatan dalam kalangan mereka yang mendapatkan pekerjaan sepanjang satu dekad lalu, daripada 49 peratus pada 2010 kepada 66 peratus (2020).

Keberhasilan graduan TVET yang mempunyai ijazah juga dilihat lebih baik. Namun, isu gaji rendah masih mencengkam graduan dengan 90 peratus graduan TVET masih memperoleh gaji di bawah RM2,000.

Disebabkan majoriti graduan TVET hanya mempunyai kelayakan diploma dan sijil kemahiran, peluang kerjaya lebih terhad kepada pekerjaan separa mahir yang pastinya menawarkan gaji permulaan sangat rendah.

Walaupun tujuan suburnya pendidikan tinggi adalah untuk peningkatan isu mobiliti sosial, namun graduan dari keluarga berpendapatan rendah menghadapi situasi lebih mencabar dalam pasaran buruh.

Satu daripada lima graduan yang menganggur berasal dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (pendapatan isi rumah di bawah RM4,000). Malah, graduan-graduan ini (kumpulan ini) juga dilihat menerima gaji permulaan lebih rendah dan lebih terdedah kepada isu ketidakpadanan pekerjaan.

Disebabkan isu yang membelenggu graduan baharu tersebut, kebanyakan mereka dilihat tidak berpuas hati dengan pekerjaan yang dilakukan serta berhasrat mencari peluang pekerjaan lebih baik.

Di sebalik kadar kebolehpasaran yang tinggi seperti dilaporkan oleh Kajian Pengesanan Graduan KPT setiap tahun, isu keberhasilan graduan harus dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kejayaan mendapatkan pekerjaan semata-mata.

Pelbagai inisiatif yang direncanakan kebanyakannya memberi tumpuan khusus melahirkan graduan serba berkebolehan dalam mengharungi cabaran dalam pasaran buruh.

Tumpuan khusus juga perlu diberikan terhadap kewujudan pekerjaan berkemahiran dengan gaji wajar kepada tenaga kerja. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) turut memberi penekanan kepada reformasi pasaran buruh sebagai pemangkin dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Ini termasuk memastikan peningkatan gaji dan upah bulanan, mempertingkat komponen pendapatan ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melalui peningkatan sumbangan pampasan pekerja serta meningkatkan produktiviti pekerja.

Namun, isu pasaran buruh graduan ini memerlukan penelitian secara menyeluruh dari kedua-dua aspek permintaan dan pembekalan pasaran buruh. – UTUSAN

PENULIS ialah penyelidik bersekutu di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×