DALAM masa dua minggu kebelakangan ini, ada beberapa teman mengumpil pandangan saya mengenai Michelle Yeoh. Sana sini orang galak bercakap mengenai pelakon asal dari Perak itu. Di garis masa media sosial dan portal berita, penuh dengan bangga dan puji selepas mendapat anugerah di Golden Globe.
Saya tidak segera menjawab, akan tetapi bertanya kembali pandangan mereka terhadap sumbangan Michelle. Mereka berbangga kerana kononnya sebagai meraikan pelakon pertama negara ini berjaya ke Golden Globe. Itulah yang membuatkan mereka berbangga.
Dengan pantas saya menegaskan tidak berbangga, tetapi turut gembira dengan kejayaan peribadi itu. Saya hanya akan berbangga sekiranya Michelle membawa Malaysia bersama-samanya.
Sesekali terfikir juga tentang peliknya sesetengah dalam kalangan kita termasuk para pemimpin yang berbangga melulu. Misalnya, suatu ketika dahulu kerajaan menggalakkan syarikat filem luar negara membuat penggambaran di negara ini.
Maka pada satu kesempatan, saya pernah bertanya kepada seorang bekas menteri tentang kutipan hasil daripada dasar menggalakkan penggambaran filem di Malaysia. Jawapannya sama sekali di luar jangkaan.
Katanya, kita tidak boleh fikir tentang hasil pendapatan, kena fikir tentang imej negara yang terpantul di peringkat antarabangsa.
Baginya bekas menteri ini, imej negara terpancar apabila filem antarabangsa seperti dari Hollywood, Hong Kong dan India menggunakan negara ini sebagai lokasi penggambaran. Dengan cara ini, katanya dengan bangga, orang di luar negara akan lebih mengenali Malaysia.
Bagaimanapun, beliau tidak sedar bahawa banyak filem Hollywood berlatarkan era perang Vietnam menggunakan latar di Sri Lanka atau Filipina. Kedua-dua negara ini mempunyai alam semula jadi yang sama dengan Vietnam.
Malangnya, Sri Lanka dan Filipina tidak dikenali pun hasil daripada penggambaran filem-filem Hollywood. Sedikit pun tidak membantu melonjakkan imej negara. Hakikatnya, belum ada negara yang dikenali oleh orang luar hanya dengan menjadi lokasi filem.
Dalam isu Michelle, saya gembira dengan kejayaan sesiapa juga sama ada di dalam atau luar negara. Kita realistik bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan, seseorang terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan cabaran. Tentu ada kehebatan tersendiri yang membawa pada kejayaan.
Akan tetapi, kita hanya perlu berbangga pada sesuatu yang memberikan pengertian tinggi pada negara. Banyak dalam kalangan warga maya yang dunia mereka di media sosial tidak melihat hakikat tersebut.
Bagaimanapun, ini tidaklah menghairankan kerana sebahagiannya tidak ubah ikan yang mati ikut arus.
Michelle dalam pengertian kebanggaan orang kita adalah seorang penggiat seni. Sebagai orang seni, kriteria sumbangan pada negara adalah melalui seninya.Keberadaannya mesti membawa negara bersama-samanya.
Akan tetapi Michelle tidak membawa Malaysia bersama-samanya di pentas dunia. Mungkin akan dilakukan pada masa akan datang. Bagaimanapun, setakat ini dia hanya membawa ‘Malaysia’ dalam biografi yang disiarkan di media luar negara. Itu sahaja.
CINA MALAYSIA
Sebaliknya, lebih banyak membawa dan menaikkan nama Hong Kong ke persada dunia. Dia pelakon filem Hong Kong dalam mengangkat milieu bekas tanah jajahan British itu. Malah seingat saya, tidak pernah pun membawakan watak Cina Malaysia dalam filem Hong Kong.
Maka makna ‘kejayaan’ itu mesti diperincikan supaya kita tidak terlajak bangga pada perkara-perkara yang murah. Sebenarnya elok juga kalau berkira-kira atau menjadi kedekut untuk berbangga terhadap sesuatu.
Hal demikian menjadikan penyataan bangga itu menjadi suatu yang tepat pada nilainya.
Tanpa prejudis, Michelle sebenarnya terlalu jauh di belakang dibandingkan dengan beberapa pengarah filem kita dalam konteks mengangkat nama negara. Karya filem mereka bukan sekadar dari Malaysia tetapi membawa pemikiran, budaya dan sosial setempat.
Kalau ada yang berkata, bukan mudah untuk memecah tembok Golden Globe atau Anugerah Academy, tahukah mereka bahawa lebih sukar lagi untuk melayakkan diri ke beberapa festival ternama di luar negara?
Maknanya banyak yang terlepas pandang, kemudian berbangga melulu pada yang tidak selayaknya.
Organisasi media atau secara khususnya golongan wartawan wajar berperanan dalam mengangkat sesuatu yang mencapai tahap kecemerlangannya. Wartawan perlu menjadi lebih cekap menilai sesuatu pencapaian melibatkan orang tempatan. Tidak sekadar melapor, wartawan mesti membentuk aras pemikiran khalayak.
Pencapaian luar biasa karyawan filem kita di peringkat antarabangsa terlalu sedikit dilaporkan di media. Salah satu sebabnya, pencapaian itu tidak menjadi tumpuan agensi media antarabangsa seperti yang diberikan kepada Michelle. Adakah selamanya media kita hanya mengekor apa yang media luar negara lakukan?
Disebabkan kejayaan peribadi Michelle ini, ada juga pihak yang mengambil peluang untuk memperlekeh dunia perfileman tempatan. Kononnya tidak membantu melahirkan individu yang berjaya ‘menaikkan’ nama negara di luar negara.
Ini adalah tanggapan yang sangat melulu. Sekalipun kita mengakui banyak kelemahan dalam dunia perfileman tempatan serta birokrat filem seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), banyak karyawan filem kita telah memacak bendera Malaysia di luar negara. Tetapi wartawan pula terlepas pandang untuk meraikan suatu yang membanggakan itu.
Walaupun begitu, pada iltizam Michelle dalam membina kerjaya lakonan di luar negara wajar dijadikan teladan. Boleh mencontohi dari aspek disiplin tinggi yang menjadi antara penyumbang kejayaan dalam bidang berkenaan.
Ini penting diambil iktibar oleh sesetengah pelakon baharu yang popular tetapi tidak berdisiplin dalam kerjaya. Hanya bersandarkan jumlah pengikut di media sosial, ada pelakon baharu yang menganggap dirinya sudah amat hebat.
Tentu sahaja sikap sedemikian tidak ada kepada Michelle yang bekerja dalam produksi filem yang menelan belanja sangat besar. Mengambil sikap Michelle sebagai teladan lebih bermanfaat daripada berbangga melulu. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










