KEEMENANGAN Pas yang mendominasi kerusi majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan disebabkan oleh kekuatan parti itu. Sebaliknya ‘gelombang hijau’ yang berlaku dalam PRU15 kerana kelemahan Barisan Nasional (BN) menyebabkan sebahagian besar undi Melayu berpindah kepada Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, undi bukan Melayu dan bukan Islam masih belum kembali kepada BN. Ini menyebabkan BN mengalami kekalahan teruk dalam PRU15. Kekalahan BN ini disumbangkan oleh beberapa faktor antaranya Islamisasi, Cinasasi dan kelemahan jentera pilihan raya UMNO.
PRU15 menyebabkan UMNO dilanda satu tsunami sungguh berat terutama apabila serangan difokuskan kepada kepimpinan Presiden UMNO sendiri. Kelemahan jentera pilihan raya UMNO dilihat kurang menangani elemen naratif emosi dan agama yang digunakan sepanjang PRU15. Elemen ini yang menggambarkan BN dalam persepsi negatif menyebabkan sebahagian pengundi tegar BN beralih arah. Malahan perpecahan dalam kalangan panglima UMNO disebabkan tidak dicalonkan dalam PRU15 memainkan peranan besar dalam kejatuhan kemenangan kerusi Parlimen PRU15.
UMNO kini jatuh ditimpa tangga dalam soal perpecahan kepimpinan yang berlaku. Jika dilihat perpecahan UMNO pada 2017 sehingga wujudnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menyebabkan kekalahan teruk kepada kepimpinan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang memimpin BN. Kini perpecahan turut berlaku selepas pengumuman dan proses penamaan calon menghadapi PRU15.
Walaupun begitu, MCA dan MIC yang kini ibarat sudah tidak bernyawa setelah ditolak dalam PRU 2008 sehingga 2018 memang tidak membantu untuk memenangkan BN. Akibatnya undi BN kini beralih kepada Pakatan Harapan (PH) dan PN. Inilah yang menyebabkan Pas begitu mendominasi dalam PRU15.
Situasi ini adalah satu lumrah kelangsungan politik mana-mana parti tetapi yang penting adalah pemulihan, perawatan dan kebangkitan parti itu sendiri. Jika dilihat kepada asam garam jatuh dan naik PKR adalah lebih banyak dugaan dan getir berbanding BN. Apa yang penting kini adalah proses pembersihan dan pemulihan UMNO dalam masa kurang dari lima tahun.
Dalam situasi ini, UMNO perlu melalui proses peremajaan dengan menonjolkan kepimpinan pelapis lebih setia dan menumpukan perhatian dalam pemulihan semula parti dalam teras nasionalis dan gerakan Islam.
UMNO perlu bergerak ke depan dengan mengutarakan penjenamaan semula, membawa idea dan naratif baharu kepada generasi muda. Walaupun terlalu banyak debu berterbangan dalam saf kepimpinan UMNO tetapi parti ini tidak boleh mengikut rentak naratif PRU15 lagi.
Apa yang telah berlaku perlu dilepaskan pergi. Naratif baharu perlu dimainkan dengan kaedah politik pemasaran baharu. Peremajaan pelapis kepimpinan muda yang bertenaga perlu diberikan jawatan-jawatan dalam kepimpinan UMNO dari akar umbi dengan wajah lebih dinamik dan mengikut arus perubahan semasa.
Islamisasi yang berlaku sejak zaman 1990-an telah melahirkan pelbagai warna kepada gerakan Islam seperti golongan tradisi, jumud, pembaharuan, tabligh dan sebagainya. Ini menyebabkan UMNO perlu menunjangi salah satu gerakan Islam dalam pempolitikan Melayu. Trend ini berlaku kerana sejak sekian lama agama dijadikan politik oleh pihak yang melawan UMNO sehingga berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini. UMNO dilihat kurang Islam-nya dan lebih parah apabila kepimpinannya dituduh dengan rasuah dan dilabel dengan imej negatif menyebabkan pengundi tegar parti itu berpaling arah.
Orang Melayu Islam memilih PN berbanding PH kerana kelemahan mereka dari segi penguasaan sosioekonomi dan gambaran mengelirukan mengenai PH yang didakwa dikuasai DAP yang turut melibatkan isu Cinasasi. Dalam hal ini, propaganda yang disebarkan secara berkesan melalui media sosial terutama TikTok menimbulkan tanggapan bahawa PH tidak akan melakukan secukupnya untuk mempertahankan hak istimewa Melayu yang dilihat sebagai terancam.
Konotasi Islamisasi agama politik telah membawa ancaman kepada bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini. Majoriti bukan Melayu berasa BN kurang menjaga hak dan kepentingan bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini terutama apabila bekerjasama dengan Pas dalam pembentukan kerajaan selama 31 bulan. MCA dan MIC dilihat sangat lemah dalam mengutarakan hak dan kepentingan bukan Melayu. Hakikat ini mendorong kepada peralihan undi bukan Melayu kepada BN yang sangat rendah dan tidak signifikan berbanding PH.
MCA dan MIC pula dilihat dengan persepsi negatif apabila polemik Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sekolah vernakular dijadikan bahan kempen sehingga UMNO dilihat tunduk dan akur kepada MCA dan MIC. Isu Cinasasi turut dikaitkan dengan BN yang dipimpin UMNO apabila sejumlah besar penguasaan ekonomi negara ini oleh masyarakat Cina berlaku di zaman BN.
Pada hakikatnya, ramai tidak tahu polemik UEC ini berkait dengan kadar keciciran dan kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam kalangan bekas pelajar UEC. Malahan hanya sebilangan golongan elit Cina yang menguasai keseluruhan ekonomi di negara ini. Sedangkan sebahagian besar masyarakat Cina adalah B40 dan M40 yang hidup sama seperti masyarakat Melayu.
Pelbagai isu timbul dalam masyarakat Cina mempunyai persamaan dengan isu masyarakat lain. Malangnya pempolitikan menjadikan Cinasasi itu sebagai satu ancaman kepada kelangsungan hak dan kepentingan Melayu. Ini menyebabkan BN dan PH terpalit dengan isu Cinasasi sehingga berlaku penolakan majoriti Melayu ke atas kedua-dua gabungan parti ini. Walaupun hakikatnya golongan B40 adalah 30 peratus daripada masyarakat Cina yang hidup lebih susah tanpa bantuan kerajaan berbanding golongan elit T20 (15%) dan selebihnya golongan M40. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











