TIDAK siapa menduga UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu tumbang di Perlis dalam keadaan cukup memedihkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Dalam pilihan raya tersebut, BN tewas kesemua 18 kerusi iaitu tiga Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus hilang penguasaan kerajaan negeri di bawah parti berkenaan selepas lebih 60 tahun.
Kekalahan tersebut dikatakan didorong banyak faktor, antaranya penolakan golongan muda terhadap parti itu selain gelombang Perikatan Nasional (PN) yang turut tempias di negeri ini. Faktor Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan sebagai calon oleh BN di Parlimen Arau juga dikatakan menjadi penyebab kepada kekalahan teruk itu.
Selepas hampir sebulan PRU15 berlalu, UMNO dan BN Perlis tidak boleh terlalu meratapi kekalahan tersebut sebaliknya perlu bangkit kembali membina parti keramat orang Melayu Islam tersebut. Kekalahan tersebut bukanlah penamat kepada segala-galanya memandangkan dalam suasana sekarang, politik ini dinamik dengan rakyat bila-bila masa sahaja boleh berubah arah menyokong mana-mana parti yang mampu memberi kebaikan kepada mereka.
Jadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran atau batu loncatan untuk UMNO dan BN negeri bangkit dalam keadaan lebih segar dengan menampilkan kepemimpinan baharu.
Ironinya, UMNO Perlis bukanlah ketandusan pemimpin berkaliber sebaliknya ramai pemimpin yang boleh diketengahkan mengetuai parti khususnya di bahagian-bahagian untuk kembali membina parti dan meraih semula kepercayaan rakyat. UMNO juga mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh diketengahkan sebagai wajah baharu parti itu dalam membawa misi besar untuk kembali merampas negeri ini dalam PRU16.
OTAI POLITIK
Dengan ketiadaan nama-nama besar atau ‘otai politik’ seperti Shahidan di Arau dan Datuk Zahidi Zainul Abidin di Padang Besar, kepemimpinan baharu kelak pastinya mempunyai idea atau perancangan lebih segar untuk kembali membina parti berkenaan.
Di Arau, beberapa pemimpin berpotensi seperti Datuk Rozabil Abd. Rahman dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Syed Atif Syed Abu Bakar dilihat antara yang mampu menggalas tanggungjawab memimpin UMNO di bahagian berkenaan sekali gus membawa parti itu ke era baharu selepas sekian lama di bawah pengaruh Shahidan di kawasan berkenaan. Gandingan kedua-dua pemimpin muda tersebut dilihat mampu memulihkan kembali maruah UMNO yang tercalar teruk dalam PRU15.
Di Padang Besar selepas ketiadaan Zahidi, beberapa nama seperti pemangku Ketua UMNO bahagian, Azizan Sulaiman juga antara pemimpin sesuai mengetuai bahagian itu selepas ini dan berusaha merampas kembali kesemua lima kerusi DUN dan Parlimen yang kalah dalam pilihan raya akan datang. Padang Besar selama ini merupakan kubu kuat UMNO yang sama sekali tidak ada menjangkakan parti itu boleh tewas di kesemua kerusi di kawasan berkenaan.
Di Kangar, selain bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man, parti itu juga mempunyai ramai lagi pemimpin yang berpotensi diketengahkan mengetuai UMNO bahagian seperti Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Fathul Bari juga antara yang disebut-sebut sebagai pemimpin masa depan untuk mengetuai UMNO di negeri ini selain beberapa nama lain yang berpotensi seperti Azizan dan Rozabil.
Selain itu, UMNO negeri juga perlu bersatu dan mengelak sebarang perpecahan seperti yang berlaku sebelum-sebelum ini. Sudah tiba masanya para pemimpin bersatu dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan yang kuat bagi mengembalikan Perlis sebagai kubu kuat UMNO.
Seperti kata Azizan yang juga Setiausaha UMNO negeri, UMNO dan BN akan bangkit semula dalam mendepani PRU16. Malah kata Azizan, beberapa langkah juga akan diambil oleh kepemimpinan parti di peringkat negeri khususnya membabitkan perubahan cara bekerja di samping melakukan penambahbaikan bagi meraih semula sokongan rakyat.
UMNO Perlis masih kuat di sebalik tempias gelombang PRU15 dan sudah pastinya parti tersebut di negeri ini akan kembali bangkit dalam keadaan lebih segar dan ampuh. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










