CONTOH yang baik telah ditunjukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah apabila beliau secara tuntas dan pantas memberi respons terhadap satu pendapat dan suara hati pihak ketiga terhadap hala tuju kementerian diterajuinya. Pada 20 Disember lalu dalam sebuah akhbar tempatan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diberi sedikit cadangan daripada Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT).
Secara terbuka, PenDaPaT telah menggariskan empat perkara utama yang wajar diberi penekanan oleh Mohamed Khaled dalam sektor pendidikan tinggi negara. Ia merangkumi pemerkasaan kepimpinan institusi pengajian tinggi (IPT), pengantarabangsaan, sumbangan universiti kepada negara dan masyarakat serta pengekalan ekosistem dan budaya akademik tulen berasaskan kecemerlangan.
Sebagai membuktikan idea tersebut bukan sekadar lontaran biasa, maka PenDaPaT yang terdiri daripada golongan akademia mengemukakan empat perkara berkenaan melalui satu memorandum khas kepada Mohamed Khaled. Tuntas, selaku seorang pemimpin berpengalaman dan tidak kekok dengan tugas yang beliau sedang pikul saat ini, Mohamed Khaled membuat respons umum di media sosial dengan berjanji akan mempertimbangkan setiap cadangan diberi melalui memorandum berkenaan.
Ia bukan sekadar mahu memintal populis di media sosial, sebaliknya Mohamed Khaled sudah tahu apa yang mahu beliau lakukan dan mampu gerakkan di sektor terpenting tersebut.
“Saya menyambut baik saranan ini. Memang saya akui, kekuatan dan kejayaan negara boleh dilonjakkan melalui usaha dan pencapaian di sektor pendidikan tinggi. Setiap perkara dalam saranan ini akan diteliti, insya-Allah,” tulisnya di Facebook.
Salah satu isu harus diteliti oleh Mohamed Khaled adalah mengenai kepimpinan IPT sedia ada. Bukanlah dikatakan IPT di negara ini sudah ketandusan bakat-bakat pemimpin yang realisitik dan dinamik, sebaliknya sistem sedia ada mungkin telah membawa lebih ramai bakat-bakat hebat ini lari menjauhi organisasi.
Benar juga pandangan para akademia ini, terdapat juga bidang-bidang kepakaran dan jabatan pengajian yang kekurangan ahli sarjana berwibawa. Bukankah ini akan membuatkan kualiti dan daya tahan sesebuah bidang pengajian di IPT kian pudar, akhirnya akan pupus begitu sahaja?
KEPIMPINAN DI IPT
Sebagaimana kepimpinan negara telah mengalami reformasi demi pertiwi, wajarlah juga kepimpinan di peringkat IPT turut dicorak semula agar bukan sahaja mereka yang berwibawa dalam sesebuah sarjana diangkat ke kedudukan kepimpinan tertinggi IPT, malah mereka yang energetik dan punya idea reformasi pengajian tinggi turut perlu diketengahkan mulai jurai waktu ini.
Ini kerana majoriti warga IPT merupakan anak-anak muda yang memerlukan perwatakan versatil dan memenuhi cita rasa zaman daripada kepimpinan mereka di menara gading. Zaman ini, tidak boleh lagi naib canselor, timbalan naib canselor atau dekan yang ‘sendu’ dan sekadar ‘warak’ dalam kepakaran akademiknya semata-mata, tanpa ada sentuhan-sentuhan berbeza yang mampu menarik minat para pelajar kita.
KEBAJIKAN PELAJAR IPT
Kebajikan para pelajar juga tidak boleh dipandang enteng begitu sahaja. Ia merupakan isu merentasi zaman di mana sesiapa sahaja yang bergelar Menteri Pendidikan Tinggi, isu ini tidak boleh dibiarkan sepi atau disorok di bawah karpet semata-mata. Sebagai seorang yang pernah mentadbir kementerian berkenaan, Mohamed Khaled semestinya sudah ‘masak’ dengan strategi untuk mempengaruhi hati dan minda para pelajar di IPT.
Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni IPT harus diperkasakan sehabis baik agar kita bukan sahaja mampu melahirkan graduan berkualiti dari segi kepakaran akademiknya, malah mereka juga mempunyai kematangan dalam membuat keputusan, termasuklah keputusan politik – memilih dalam pilihan raya umum akan datang.
MANFAAT IPT UNTUK MASYARAKAT SETEMPAT
IPT juga harus berperanan sebagai sebuah centre of community yang memberi manfaat kepada komuniti setempat. Setiap IPT memiliki kepakaran akademik dan hasil penyelidikan masing-masing yang bernilai tinggi. Jika setiap hasil kepakaran dan penyelidikan ini tidak dimanfaatkan dalam komuniti masyarakat setempat, maka ia mendatangkan kerugian besar terhadap pembangunan masyarakat kita.
Justeru, IPT dan pemimpin masyarakat berhampiran harus saling bekerjasama antara satu sama lain pada setiap masa dalam merancakkan proses menabur kepakaran IPT ke komuniti setempat. Dalam hal ini, mungkin juga wakil pemimpin masyarakat setempat boleh dilantik sebagai ahli lembaga pengarah IPT berhampiran agar garapan antara IPT dan masyarakat dapat diseiringkan bersama.
Pastinya Mohamed Khaled sudah ada pelan tersendiri sepertimana yang telah beliau lakukan pada 2011 semasa pertama kali bergelar Menteri Pengajian Tinggi. Kehadiran kali kedua Mohamed Khaled ke KPT sebenarnya bakal menambah nilai terhadap sektor pendidikan tinggi negara. Tidak mustahil di kala yang lain masih bergerak setapak demi setapak ke hadapan, Mohamed Khaled dan pasukannya di KPT sudah mula berlari untuk mencapai suatu tahap tertinggi demi pertiwi dalam sektor pengajian tinggi. – UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Agung, Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA) dan bekas pegawai di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).










