Pemimpin pemaaf seorang penyayang

Pemimpin pemaaf seorang penyayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini saya berkesempatan menonton filem Hollywood, Black Panther: Wakanda Forever keluaran Marvel Studios yang mula ditayangkan di negara ini kira-kira seminggu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selesai menonton filem itu yang sehingga kini telah mencatatkan kutipan kira-kira RM3 bilion, hati kecil saya berbisik, filem ini memang wajib ditonton oleh ahli-ahli politik di Malaysia kerana mempunyai pengajaran berguna mengenai perlunya seseorang yang berada dalam pentadbiran kerajaan bersifat pemaaf dan membuang jauh-jauh perasaan berdendam.

Walaupun sudah ditayang di pawagam di negara ini, filem ini kurang mendapat perhatian ahli-ahli politik kita. Ini berbeza pada 2018, apabila slogan daripada filem sebelumnya, Black Panther telah dijadikan Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah Anwar sebagai bahan kempen pada PRU14.

Selain mendapat pengajaran dari filem, ahli-ahli politik yang rajin membaca dan berada pada tahap intelektual lebih tinggi akan mendapat inspirasi daripada sifat pemaaf yang dipamerkan oleh tokoh-tokoh dunia.

Antara nama yang selalu disebut oleh pemimpin-pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) iaitu sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu dan daya intelektual ialah ikon antiaparteid, Nelson Mandela (1918-2013) dan pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi (1869-1948) yang mempamerkan sifat pemaaf cukup luar biasa.

Terdapat kisah, Mandela setelah dilantik sebagai Presiden Afrika Selatan telah terserempak dengan bekas pengawal penjara di restoran dan mengajak lelaki itu makan semeja dengannya. Tangan lelaki itu menggigil sehingga semua orang menghabiskan makanan mereka dan lelaki itu berlalu pergi.

Seorang askar yang mengiringinya berkata kepada Mandela bahawa lelaki itu nampaknya sakit kerana tangannya menggigil semasa makan. “Tidak, tidak sama sekali. Lelaki ini ialah pengawal penjara tempat saya dipenjarakan. Selalunya, selepas penyeksaan yang saya alami, saya menjerit meminta sedikit air. Lelaki yang sama selalu datang untuk membuang air kecil di kepala saya.

“Jadi, dia takut dan terketar-ketar kerana menyangka saya akan membalas dendam sekarang, sekurang-kurangnya dengan cara yang sama, sama ada dengan menyeksa atau memenjarakannya kerana saya kini seorang presiden, tetapi ini bukan watak dan etika saya,” kata Mandela.

Menurut beliau, mentaliti membalas dendam memusnahkan negara dan sifat toleransi membina negara. “Orang yang lemah tidak boleh memaafkan, bersedia mengampunkan pihak lain adalah sifat orang yang kuat,” katanya.

Ungkapan hampir sama juga pernah disebut Gandhi, “Hanya yang kuat boleh memaafkan. Saya percaya bahawa tindakan tanpa kekerasan adalah jauh lebih unggul daripada keganasan.

“Pengampunan lebih bersifat seperti seorang lelaki daripada mengenakan hukuman. Mengharap balasan mata untuk setiap mata yang hilang akhirnya menjadikan seluruh dunia buta.”

Kedua-kedua tokoh ini sebenarnya amat rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada inspirasi daripada pembacaan beliau atau dapat bertemu secara langsung dengan mereka.

PENJARA

Pada 2018, bekas Presiden ABIM itu ketika menghadiri Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-150 kelahiran Gandhi memberitahu, dirinya tidak pernah meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon maaf ekoran tindakan pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

“Saya tidak pernah memintanya untuk memohon maaf. Dan saya yakin dan berpuas hati dengan sikapnya dan kesediaan untuk bekerja dengan saya. Lupakan kisah silam dan bergerak ke hadapan. Saya sudah (lama) memaafkan Dr. Mahathir,” katanya.

Dr. Mahathir beberapa hari sebelum itu menegaskan, beliau tidak seharusnya dipersalahkan terhadap hukuman penjara yang dijatuhi ke atas Anwar kerana itu adalah keputusan mahkamah sambil mengakui tidak pernah memohon maaf secara rasmi kepada Presiden PKR itu.

Dalam pada itu, ketika berucap pada Hari Antarabangsa Nelson Mandela yang disambut bersempena hari kelahiran tokoh berkenaan di Kuala Lumpur pada 2019, Anwar mendedahkan tokoh antiaparteid itu pernah meluahkan perasaan kecewa dan meminta maaf secara peribadi kerana tidak dapat membantu beliau semasa di dalam penjara.

Anwar berkata, Mandela berusaha keras untuk membebaskan dirinya ketika beliau menjadi Presiden Afrika Selatan dari 1994 hingga 1999, malah turut menjemputnya bersama keluarganya melawat negara itu sebaik sahaja beliau dibebaskan dari penjara pada 2003.

“Beliau sangat emosi ketika itu, apabila memandang wajah anak-anak saya, beliau tahu betapa beratnya penderitaan yang mampu ditanggung oleh seseorang lelaki tetapi bukan buat anak-anak.

“Ramai memuji saya sebagai seorang pemaaf tetapi saya tidak pernah melalui apa yang dilalui oleh Mandela semasa di dalam penjara. Maafkan saya kerana terlalu sentimental,” katanya.

Sehingga ke hari ini, kata Anwar, beliau masih menyanjung kehebatan Mandela mentadbir negara dengan penuh belas ihsan dan kemaafan.

Selaras dengan nasihat Anwar itu, semua pemimpin kanan parti politik orang Melayu, jadilah seorang pemaaf termasuk kepada pemimpin parti-parti serpihan yang dikatakan pernah menikam anda dari belakang dan utamakan untuk mengelak perpecahan.

Kita juga berharap dapat melihat muncul satu era baharu seperti yang disebut dalam kisah-kisah ahli sufi tentang keadaan seorang askar yang sedang nazak di medang perang dengan pedang tertusuk pada jantungnya.

Sambil merenung mata tentera lawan yang menikamnya, mangsa dengan suara tersekat-sekat dan dalam kesakitan yang amat sangat berkata, saya maafkan awak dan saya sayang kamu.

Apakah rahsia yang diketahui oleh ahli ilmu tasawuf itu sehingga mereka mempunyai sifat pemaaf sehebat itu? Adakah jawapannya seperti disebut penulis Amerika Syarikat, Neale Donald Walsch bahawa pada saat (si penjahat) itu melakukan perbuatan paling keji kepada anda, pada saat itu ingat siapa dirinya yang sebenarnya.

“Dia melakukannya kerana sangat sayangkan awak, kerana mahu membantu anda merasai sendiri pengalaman sebenar bagaimana menjadi seorang pemaaf,” katanya.

Bagi pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1979, Mother Theresa pula, “Jika kita benar-benar mahu menjadi seorang penyayang, kita mesti belajar bagaimana untuk memaafkan.” – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×