DALAM sifat evolusi kepartian sistem demokrasi, terdapat beberapa fasa proses yang akan dilalui oleh mana-mana parti politik dan ini tidak terkecuali kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) amnya. Proses ini mengandungi empat fasa.
Pertama, fasa kesedaran yang berkait dengan betapa pentingnya sebab dan musabab kewujudan sesebuah parti politik di pentas perdana yang menjadi tumpuan rakyat. Diikuti peringkat kedua, fasa kebangkitan iaitu kemunculan parti tersebut diterima dan diyakini oleh rakyat serta menyebabkannya menang dalam pilihan raya lalu menjadi sebahagian parti pemerintah.
Setelah kemenangan parti itu sebagai parti pemerintah maka akan melalui proses fasa ketiga, iaitu fasa kegemilangan yang akan menunjukkan kehebatan dan puncak kuasa selama mana menjadi parti pemerintah.
Akhirnya adalah fasa keempat, iaitu fasa kehancuran disebabkan wujudnya kemerosotan pengaruh dalam kalangan rakyat diikuti lahirnya pelbagai lompang isu yang membawa kepada perpecahan kepimpinan parti.
Ini adalah satu lumrah bagi kelangsungan setiap parti politik dan adakala kewujudan dan kematian bagi mana-mana parti politik adalah bergantung kepada kebijaksanaan Presiden parti dalam mencari ikhtiar hala tuju kehidupan parti itu.
Kalau diamati pada masa kini, UMNO sedang melalui fasa ketiga dan jika tidak diuruskan dengan baik sudah pasti akan berada dalam fasa keempat. Untuk memastikan UMNO tidak berada dalam fasa keempat, Presiden parti adakalanya memerlukan pembersihan dan pemurnian semula dengan penjenamaan parti dalam landskap baharu.
Jika tidak ditangani dengan baik, UMNO akan mengambil satu dekad lagi, atau dua lagi pilihan raya umum (PRU) sebelum ramalan ini terbukti menjadi fakta yang membawa kepada fasa keempat.
Disebabkan latar belakang ini, pemilihan UMNO pada pada Jun tahun depan adalah amat penting dalam menentukan kelangsungan hidup UMNO. Ini bermakna jawatan Presiden dan Timbalan Presiden merupakan nadi utama dalam kepimpinan hala tuju parti.
Mahu tidak mahu, kedua-dua jawatan ini perlu dipertandingkan sepertimana amalan Datuk Seri Najib Tun Razak selepas PRU14. Tetapi dari segi strategi taktikal, adakalanya tidak sama dengan proses penjenamaan semula UMNO 3.0.
Seperti dinyatakan oleh Presiden parti, seseorang telah menyelamatkan UMNO daripada dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Pada masa itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memancarkan naluri kelangsungan hidup awal UMNO dengan tidak akur kepada mana-mana pihak yang ingin mematikan parti itu selepas BN kalah dan tidak mampu membentuk kerajaan.
Mesej pertama Ahmad Zahid sebagai Presiden adalah menjenamakan semula UMNO dan BN. Namun, penjenamaan semula tidak sama dengan pembaharuan. Jika UMNO asal adalah UMNO 1.0, dan parti yang dibentuk semula pada 1988 ialah UMNO 2.0.
PARTI PERIKATAN
Ini bermakna UMNO baharu yang dijenamakan semula selepas PRU14 ialah UMNO 3.0. Usaha perjuangan penjenamaan tersebut masih belum selesai selagi UMNO tidak kembali kepada fasa kedua iaitu kebangkitan semula. Malahan beliau telah membuat beberapa strategi umum ke atas BN.
Parti Perikatan yang ditubuhkan sebelum merdeka pada 1952 ialah PN 1.0 manakala BN yang ditubuhkan pada 1973 oleh Tun Abdul Razak Hussein ketika itu ialah BN 1.0. Ini bermakna UMNO yang dijenamakan semula dapat membantu BN 2.0 selepas perbincangan dengan MCA dan MIC.
Tetapi BN 2.0 perlu berasaskan kerealitian mengenai kewujudan pelbagai kaum, agama dan bahasa yang akan membantu membentuk penjenamaan semula. Pada masa sama, UMNO akan kekal sebagai tulang belakang kepada BN 2.0.
Kelangsungan hidup UMNO 3.0 perlu menjalin hubungan dengan mana-mana gabungan komponen parti politik baharu supaya masih menjadi relevan di atas pentas perdana politik. Jika tidak, akan menjadi sukar untuk UMNO dan BN diterima rakyat.
Situasi ini perlu menekankan realiti negara dan sejauh mana UMNO dan BN kekal sebagai parti komunal dan membuka diri serta mendekati kawasan pilihan raya negara berbilang etnik. Melalui proses pemodenan dan pembangunan, kini hampir 90 peratus penduduk di Semenanjung tinggal di kawasan bandar.
Urbanisasi dengan kelancaran akses internet akan menyebabkan UMNO dan BN perlu diteruskan penjenamaan dalam naratif baharu. Sesuatu yang tidak dilalui oleh UMNO dan BN selama ini perlu diteruskan sebagai usaha perintis kepada kerelevanan parti dalam masyarakat umum.
Kejatuhan UMNO sebagai kuasa dalam kerajaan selepas PRU14 perlu dijadikan iktibar dan garis panduan kepada kepimpinan akan datang. Perubahan dalam penjenamaan semula mengambil masa yang lama sebelum kembali kepada fasa kedua.
Usaha ini tidak sama seperti semasa krisis reformasi antara 1999 sehingga 2003. Usaha penjenamaan kini memerlukan kekuatan dan sokongan padu daripada ahli dan rakyat umumnya bagi memastikan matlamat fasa kebangkitan berlaku.
Strategi taktikal untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah untuk mengelakkan daripada dikucar-kacirkan pihak luar. Terdapat pihak tertentu yang tidak mahu melihat kekuatan dan pengaruh UMNO dan BN kembali semula menjadi sebahagian gabungan parti pemerintah. Jika ini berlaku, maka akan mengganggu proses pembaharuan untuk penjenamaan semula UMNO 3.0.
Malahan, demi masa depan UMNO 3.0 yang lebih kukuh dan memastikan fasa kebangkitan berlaku, ia memerlukan seorang nakhoda yang mampu mengemudi UMNO memperkukuhkan kedudukannya dalam politik perdana umum.
Ini yang menyebabkan sesuatu agak berlainan dengan proses penjenamaan semula UMNO 3.0. Apa yang penting adalah memastikan UMNO 3.0 tidak akan mengulangi insiden masa lalu. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











