Monopoli senyap lebih berbahaya

Monopoli senyap lebih berbahaya

KERAJAAN mesti mempunyai maklumat terperinci mengenai pengeluar dan kapasiti pengeluaran untuk setiap peringkat rantaian pengeluaran. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU monopoli wujud susulan teguran Perdana Menteri ke atas sebuah syarikat yang menjaga industri padi dan beras tempatan untuk menyumbang kepada petani miskin. Istilah ‘monopoli’ sering disalah tafsir sebagai kerakusan perniagaan untuk mengaut untung dengan tindakan manipulasi yang membebankan pengguna. Memang boleh berlaku tetapi ia tidak semestinya dibuat oleh semua firma monopoli.

Dalam keadaan khusus, ada kewajaran ekonomi untuk firma monopoli diwujudkan oleh kerajaan. Untuk pengeluaran produk/perkhidmatan tertentu, kemampanan industri boleh menyokong satu pengeluar sahaja.

Kepentingan strategik produk/perkhidmatan juga menjadi kewajaran ekonomi untuk kerajaan mewujudkan firma monopoli.

Keputusan sedemikian mewujudkan ‘monopoli terkawal’ yang tertakluk kepada terma perjanjian khusus dan pengoperasiannya dipantau rapi oleh kerajaan. Syarikat terbabit terhasil daripada kepentingan strategik negara untuk memastikan makanan ruji negara terjamin bekalannya pada harga berpatutan.

Yang agak aneh ialah perlunya Perdana Menteri secara peribadi membuat panggilan dan teguran kepada pemilik syarikat berkenaan. Ini menampakkan kelemahan tatacara kerajaan mengurus monopoli terkawal.

Bukankah terma perjanjian yang baru sahaja disambung pada penghujung 2020 menggariskan semua tanggungjawab korporat dan sosial syarikat itu? Adakah agensi pemantau yang khusus melaksanakan pemantauan dengan berkesan? Kerajaan perlu perkukuhkan tatacara pemantauan semua monopoli terkawal dan membanteras campur tangan yang tidak beretika untuk kepentingan peribadi.

Pada hemat saya, lebih merisaukan ialah monopoli yang tidak dikawal, terselindung, iaitu ‘monopoli senyap.’ Walaupun dari segi bilangan tidak nampak seperti sebuah firma monopoli, kewujudan kartel atau pakatan perniagaan dalam kalangan pemilik utama atau persatuan pemilik dalam sektor tertentu hakikatnya membentuk monopoli senyap.

Berpakat menentukan harga dan bekalan adalah tindakan monopolistik yang senyap dan sering kedengaran menguasai pelbagai industri di Malaysia. Tindakan monopolistik monopoli senyap mesti dibanteras, dileraikan. Ini lebih berbahaya. Kerajaan perlu membangunkan pasaran yang sihat dan adil di semua peringkat rantaian pengeluaran, bukan orang tengah sahaja.

Seperti juga subsidi bersasar, kerajaan mesti mempunyai maklumat terperinci mengenai pengeluar dan kapasiti pengeluaran untuk setiap peringkat rantaian pengeluaran. Semua sektor utama khususnya melibatkan kos sara hidup rakyat secara terus – pertanian/makanan (seperti bijirin, sayuran, ternakan, perikanan), pembinaan (seperti simen, besi, pasir dan bahan binaan lain), pengangkutan (termasuk e-hailing, bas persiaran, bas sekolah dan syarikat penerbangan) dan perkhidmatan profesional (seperti juruukur, hartanah, guaman, arkitek, kejuruteraan) yang berkaitan dengan keperluan rakyat dan sebagainya. Perlu ada pemetaan yang lengkap untuk setiap kluster. Penawaran dan juga permintaan.

KREATIVITI

Kementerian mesti menyasarkan tindakan meningkatkan persaingan yang sihat, produktiviti dan daya saing industri. Beralih daripada tertumpu kepada penentuan, kawalan dan pemantauan harga. Persatuan-persatuan pemilik perniagaan seharusnya menumpu kepada perkara sama, meningkatkan produktiviti dan kualiti pengembangan perniagaan ke peringkat global dan amalan teknologi terkini serta ehwal yang memudahkan perniagaan, bukan penentuan harga dan bekalan. Tindakan secara pakatan menentukan harga dan bekalan/perkhidmatan adalah tindakan monopolistik yang mesti dibendung.

Usaha Perdana Menteri membuat panggilan secara peribadi kepada pihak korporat tertentu menggalakkan mereka untuk menyumbang kepada masyarakat adalah tindakan yang baik. Kita telah dimaklum sumbangan syarikat berkenaan adalah secara sukarela. Namun, apabila diumumkan kepada khalayak, prasangka ia panggilan terpilih akan wujud dan dipolemikkan. Ada yang mula bertanya, bagaimana ahli korporat yang lain pula? Ada juga yang menerima kebenaran/lesen khas daripada kerajaan. Mereka juga digesa? Mungkin lebih baik untuk Perdana Menteri mewujudkan platform pertemuan melibatkan pemain-pemain korporat utama dengan kerjasama bursa (Bursa Malaysia Berhad) bagi meningkatkan pembudayaan menyumbang balik kepada masyarakat. Gesaan dibuat pada semua, tidak kelihatan terpilih.

Kreativiti dan inovasi korporat untuk pembangunan sosial dialu-alukan. Selain daripada kemiskinan, Malaysia kini berhadapan dengan banyak cabaran ekonomi, teknologi, sosial dan alam sekitar. Inovasi sosial amat diperlukan sebagai gandingan kepada usaha kerajaan. Pihak korporat boleh berganding bahu dengan agensi awam, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan komuniti, sebagai saluran untuk menyumbang dan rakan strategik. Keberkesanan hasil mesti diutamakan, bukan hanya kuantum sumbangan, ‘Touch ‘n Go’.

Wujudkan anugerah khas untuk sektor korporat yang menyumbang dengan berkesan dan mampan, bukan sumbangan sesekali tanpa penyelesaian, hanya sebagai penaja acara untuk pemimpin tertentu.

Perkenalkan insentif menang-menang untuk rakyat-kerajaan-swasta. Pendekatan nilai bersama korporat (CSV) yang meletakkan pembangunan masyarakat sebagai teras dalam perancangan pembangunan korporat adalah lebih berkesan berbanding tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lebih cenderung kepada tahap keberuntungan syarikat. Ini pendekatan baharu.

Mewujudkan pasaran yang sihat dan adil serta firma korporat yang bertanggungjawab perlu dijadikan teras utama dalam pembangunan negara. Firma swasta juga adalah ‘rakyat’ negara. Apa jua tindakan monopolistik yang tidak adil perlu dibanteras. Pengurusan monopoli terkawal yang diwujudkan oleh kerajaan perlu diperkukuhkan. Monopoli senyap perlu dibanteras. Ia berleluasa dalam diam dan lebih berbahaya. – UTUSAN

PROFESOR Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM). Kini beliau Sarjana Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN