Melaka sekarang negeri pembangkang atau kerajaan?

Melaka sekarang negeri pembangkang atau kerajaan?

BARISAN Nasional (BN) tewas semua kerusi Parlimen di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini termasuk yang dimenanginya pada PRU14 iaitu Jasin dan Masjid Tanah. – UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENANG besar 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu menjadi antara faktor keyakinan menggunung Barisan Nasional (BN) membubarkan Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu. Lantas, mematerikan gabungan itu bergerak solo melangkah ke medan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sepanjang tempoh 14 hari berkempen, tiada siapa menjangkakan BN bakal ‘jatuh terduduk’ di Melaka, kalah di semua enam kerusi Parlimen di negeri kubu kuat UMNO sejak zaman berzaman. Jangkaan awal meramalkan BN mampu mengekalkan pengaruhnya di kerusi luar bandar seperti Jasin, Tangga Batu dan Masjid Tanah manakala Pakatan Harapan (PH) terus menguasai Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya, namun dengan majoriti yang menurun berbanding PRU14.

Alor Gajah pula dilihat sebagai ‘kerusi neutral’ berikutan pertembungan calon-calon heavyweight melibatkan penyandang kerusi dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof; bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang mewakili PH dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Malam 19 November lalu mencipta kejutan, BN tewas semua kerusi Parlimen di Melaka termasuk yang dimenanginya pada PRU14 iaitu Jasin dan Masjid Tanah.

Di Masjid Tanah, calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi dimenanginya selama dua penggal dengan majoriti besar 4,411 undi. Calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid terpaksa mengakui kekalahannya selepas hanya mendapat 21,193 undi.

Menepati ramalan, momentum kemenangan PH diteruskan di dua kubu kuat mereka iaitu Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya. Calon PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menang dengan majoriti besar 46,420 undi jauh meninggalkan lawan daripada BN, Kon Qi Yao.

TAMPARAN

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berjaya mempertahankan Hang Tuah Jaya iaitu kerusi ditinggalkan penyandang, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dengan majoriti 8,638 undi.

Di Alor Gajah, Adly berjaya merampas kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 890 undi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu memperoleh 28,178 undi berbanding Shahril yang mendapat 27,288 undi manakala Mohd. Redzuan sekadar meraih 17,211 undi.

Tamparan lebih besar dirasai apabila kedua-dua kerusi ditandingi Pas, iaitu Jasin dan Tangga Batu berjaya dimenangi PN. Bakri Jamaluddin di Tangga Batu dan Zulkifli Ismail di Jasin menjadi wakil rakyat pertama Pas dari Melaka bakal mewakili parti itu di Dewan Rakyat dengan majoriti masing-masing 8,849 undi dan 322 undi.

Kekalahan teruk sepatutnya meninggalkan kesan mendalam kepada semua kepemimpinan BN negeri bahawa keputusan PRN yang dijadikan kayu ukur sebelum PRU15 hanyalah satu kisah dongeng. Menang empat per tiga pada PRN, namun tewas sepenuhnya ketika PRU15 menimbulkan persoalan, sama ada BN mampu bangkit atau tidak selepas DUN dibubarkan kira-kira empat tahun lagi.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menyifatkan kegagalan BN itu sebagai sesuatu yang sangat mengejutkan dan di luar jangkaan. Katanya, keputusan tersebut seperti tidak masuk akal memandangkan Melaka yang menjadi kubu kuat BN sejak kemerdekaan, boleh tunduk mudah, seolah-olah menggambarkan parti itu sudah tiada kekuatan untuk berlawan.

Namun, persoalan lebih besar adalah mengenai status Melaka, sama ada menjadi negeri kerajaan atau negeri pembangkang setelah BN turut menganggotai kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berdasarkan kenyataan dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, kerajaan negeri tidak akan mengikut komposisi parti yang menganggotai Kerajaan Persekutuan, sebaliknya mengekalkan barisan kepemimpinan sedia ada.

Beliau berkata, situasi di peringkat Persekutuan dan negeri adalah berbeza memandangkan kerajaan negeri ditubuhkan berdasarkan keputusan PRN Melaka. Ini bermakna lima ADUN PH diketuai Adly yang juga Ketua Pembangkang DUN Melaka; ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen; ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong; ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin akan kekal di blok pembangkang bersama dua lagi ADUN PN iaitu ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN