fbpx

Kabinet Perpaduan: Siapakah untung?

Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Perdana Putra untuk memulakan tugas sebagai Perdana Menteri pada hari pertama di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini. – MINGGUAN/FAISOL MUSTAFA

Teka-teki barisan Kabinet selepas pilihan raya umumke-15 (PRU15) telah pun terjawab. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Kabinet Perpaduan yang dianggotai oleh PH, BN, GPS dan GRS serta empat orang senator.
Kabinet Perpaduan didahului oleh PKR (8 orang termasuk seorang senator), DAP (4), Amanah (2) dan UPKO (1). Sementara, UMNO (6 orang termasuk 2 senator), manakala PBB (3), PDP (1) dan PRS (1). GRS pula diwakili Bersatu (1) dan senator (1) tanpa parti politik.
Dari segi negeri (kawasan pilihan raya), Perak ada 6 menteri diikuti Sarawak (5), Kuala Lumpur (4), Johor (4), Selangor (3), Negeri Sembilan (2), Sabah (2), Kedah (1) dan Pulau Pinang (1). Tiada wakil dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Perlis yang dilantik sebagai menteri.
Walaupun ada muka baharu, tetapi Kabinet Perpaduan terus didominasi oleh tokoh-tokoh yang pernah ada jawatan dalam kerajaan-kerajaan sebelum ini. Suka atau tidak, inilah barisan Kabinet yang bertanggungjawab kepada negara dan rakyat.
Siapakah yang untung dalam Kabinet Perpaduan ini? Saya sendiri sebelum ini berharap Perdana Menteri tidak melantik mereka yang kalah dalam PRU15 sebagai menteri.
Peluang sebagai menteri perlu diberi kepada ahli Par­limen lain. Kali ini empat sena­tor dilantik untuk diangkat seba­gai menteri, di mana tiga dari­padanya kalah dalam PRU15.
Berdasarkan kapasiti Ka­binet Perpaduan, saya melihat ia memberi kelebihan kepada UMNO. UMNO mengatasi DAP walaupun secara individu DAP memiliki jumlah wakil rakyat (Parlimen) paling ramai dalam Kabinet Perpaduan.
Atas kapasiti itu, sepatutnya jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ditawarkan kepada DAP. Atau, setidak-tidaknya jawatan TPM dipegang oleh Timbalan Presiden PKR seperti tradisi dalam kerajaan BN-UMNO sebelum ini.
Saya secara konsisten berpendapat Kabinet Perpaduan menguntungkan UMNO. Apatah lagi apabila jawatan TPM ditawarkan kepada UMNO. Jadi, Kabinet Perpaduan itu tiada sebarang pembaharuan pun kecuali ada dua jawatan TPM diwujudkan sebagai memenuhi kepentingan politik.
Apabila jawatan TPM diberi kepada UMNO, ini merupakan kelebihan kepada mereka. Hal ini sangat dibimbangi oleh banyak pihak khususnya apabila bersabit dengan kluster mahkamah.
Dalam kedudukan tiada satu parti mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, maka BN-UMNO bertindak sebagai political kingmaker. Apabila Anwar menerima kerjasama daripada UMNO, maka kerajaan berjaya ditubuhkan.
Jadi, keberadaan UMNO dalam Kabinet Perpaduan tidak perlu dipersoalkan dan ini memberi kelebihan kepada UMNO seperti disebutkan di atas, di mana boleh menjadi dominan berbanding DAP dalam kerajaan perpaduan itu.
Penentuan kepada kedudukan Anwar sebagai ketua kerajaan pada 19 Disember 2022 nanti apabila usul undi percaya diadakan dalam Dewan Rakyat dikemukakan. Jika usul itu berjaya, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah kukuh. J
Jika sebaliknya, ia menjadi petunjuk jalan keluar kepada Anwar dan tidak keterlaluan dikatakan sebagai noktah kepada perjalanan karier politiknya yang terkenal sebagai tokoh reformasi negara sejak 1998 itu.
Ada pula pihak yang mengkritik Kabinet Perpaduan adalah Kabinet Muflis dise­babkan dianggotai oleh kluster mahkamah. Namun, itulah permainan politik. Tiada musuh dan tiada sahabat yang kekal kecuali kepentingan politik. Dalam situasi pasca PRU-15, UMNO dan PH dapat menyatukan kepentingan itu dan menghapuskan permusuhan politik.
Maka, PH dan BN serta GRS dan GPS membentuk kerajaan perpaduan. Jadi, Kabinet Perpaduan itu turut menguntungkan GRS dan GPS khususnya parti kecil yang ada satu atau dua kerusi Parlimen sahaja, tetapi berada dalam kerajaan.
Sama ada kerajaan perpaduan yang ditubuhkan Anwar itu disukai atau ditolak oleh rakyat, tetapi sebagai kerajaan maka Kabinet Perpaduan perlu memberi fokus kepada pembangunan negara dan memulihkan keadaan ekonomi yang sangat sulit pada ketika ini.
Diharapkan Kabinet Perpaduan yang dibentuk itu boleh membawa dimensi baharu dari segi ekonomi dan politik di negara ini.
Jika Anwar berjaya dalam usul undi percaya itu nanti, maka mereka perlu memberi fokus kepada pembangunan negara dan menghentikan perbezaan politik.
Sesungguhnya rakyat juga sudah letih dengan drama politik yang sudah lama berlarutan dan tidak menguntungkan mereka.

Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan, MB Global Political Analsis and Academic Consultancy.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN