Fasa pertama Anwar dalam politik dari 1980-1990-an - Utusan Malaysia

Fasa pertama Anwar dalam politik dari 1980-1990-an

ANWAR Ibrahim yang diumum menang sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO diusung oleh penulis selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gerik (kanan) di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 1982. – IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA peribadi, saya mengenali UMNO secara lebih dekat pada 1975 ketika menjalankan penyelidikan selama enam bulan di Kampung Hulu Kenderong, Gerik, Perak bagi mengumpul bahan untuk ijazah sarjana berdaftar di Universiti Monash, Melbourne, Australia.

Pada tahun itu, setelah melalui proses persempadanan, telah tertubuhnya UMNO Bahagian Gerik dengan diterajui oleh Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi dan abang saya, Allahyarham Datuk Seri Wan Mohamad Wan Teh selaku timbalannya yang juga penyandang Exco Kerajaan Negeri Perak. Kehadiran saya pada mesyuarat pertama bahagian itu adalah selaku pemerhati serta jurukira undi pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian.

Lima tahun kemudian pada 1980, kawan-kawan lama di Sekolah Inggeris Gerik (sekarang Sekolah Sri Adika Raja) dan Sekolah Clifford Kuala Kangsar mengajak saya menyertai jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, diikuti oleh pendakian ke tangga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gerik. Mulai tahun inilah Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan kemudiannya bertanding untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Sebelum itu, pada 1981, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dilantik untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri yang keempat menggantikan Allahyarham Tun Hussein Onn yang memilih untuk bersara atas sebab-sebab kesihatan.

Barangkali pada masa ini jugalah, Dr. Mahathir memikirkan secara serius untuk mengajak Anwar menyertainya dalam UMNO dan kemudian bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), walaupun tindak-tanduk politik Anwar pada masa itu lebih cenderung kepada parti pembangkang iaitu Pas.

Dalam hal ini, Dr. Mahathir memikirkan Anwar mampu membawa wadah Islam dalam perjuangan UMNO yang sebelum ini amatlah lemah. Secara tidak langsung, usaha ini mampu memperkukuh kedudukannya selaku Perdana Menteri. Dan ini juga mampu merealisasikan slogan alif ba ta atau agama (bermaksud Islam), bangsa (Melayu, bumiputera) dan tanah air (negara Malaysia) sebagai asas asas perjuangan UMNO.

Pada awal 1982, Pilihan Raya Umum Keenam (PRU6) diadakan dan Anwar menerima pelawaan Dr. Mahathir untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh sebagai calon BN. Ternyata, kemenangan Anwar di Permatang Pauh seolah-olah membawa suatu gelombang baharu kepada perjuangan UMNO yang membawa imej ‘proses Islamisasi’ kepada parti itu.

Susulannya, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menguruskan Hal Ehwal Agama Islam. Malah, ada juga pihak tertentu yang berasa kedudukan mereka terancam serta mempopularkan persepsi bahawa Anwar pada masa itu sedang ‘mengabimkan UMNO”. Ternyata kempen memburukkan Anwar ini agak meleset kerana kemasukannya dalam UMNO tidak disertai oleh ramai pengikutnya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Bermula dengan kemasukan Anwar ke dalam UMNO itulah, pendakiannya agak begitu deras. Apatah lagi, di peringkat induknya, ia menyerlahkan satu gabungan yang mantap di antara dua pemimpin muda UMNO yang amat dikagumi yang lebih dikenali sebagai kepimpinan dua M iaitu Dr. Mahathir dan Tun Musa Hitam.

KRISIS

Dalam masa beberapa bulan sahaja, Anwar membuat satu lagi kejutan melalui hasratnya untuk bertanding menentang Datuk Suhaimi Kamaruddin untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Ia ibarat suatu usaha pendakian sebuah bukit yang tinggi menegak kerana hampir semua Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada ketika itu dikuasai oleh orang-orang yang setia kepada Suhaimi. Datuk Seri Najib Tun Razak ialah naib ketuanya.

Anwar terpaksa bergantung kepada sokongan muka-muka baharu seperti kami. Di antaranya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dari Pasir Salak dan Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dari Teluk Intan. Pengumuman beliau untuk bertanding itu dibuat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur disusuli oleh perjumpaan khas di rumah Tajuddin di Damansara.

Walau pun ramalan dibuat bahawa Anwar dijangka akan kalah, tetapi nasib telah memihak kepada beliau dan berjaya menyandang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO setelah tidak sampai setahun menyertai parti itu.

Setahun kemudian pada 1983, Anwar telah dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, disusuli sebagai Menteri Pertanian. Pada 1987, berlakunya krisis dalaman UMNO apabila Tengku Razaleigh Hamzah mencuba nasibnya untuk bertanding jawatan Presiden.

Dalam pertandingan 1987, Tun Ghafar Baba memenangi kerusi Timbalan Presiden menentang Musa yang membawa beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Kedudukan Anwar semakin kukuh apabila menyandang jawatan Menteri Kewangan pada 1991 sehingga membawa beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden pada 1993 menentang Ghafar dan menang sekali gus melayakkan beliau dilantik sebagai TPM.

Namun, ibarat langit tidak selalunya cerah apabila lima tahun kemudian, berlaku krisis di antara dua pemimpin tertinggi UMNO itu yang membawa kepada pemecatan Anwar selaku TPM serta juga digugur keanggotaannya sebagai ahli UMNO.

Sebaliknya, Dr. Mahathir terus memperkukuh kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO tanpa sebarang cabaran dari luar dan dalam sehingga beliau mengundur diri pada 2003. Anwar tidak mempunyai pilihan kecuali menubuhkan PKR yang mengambil masa agak lama untuk beliau membina kekuatannya kerana terpaksa melalui pelbagai cabaran dan dugaan.

Berkat kecekalan dan kesabarannya dalam menempuh pelbagai dugaan yang amat besar tidak pernah dilalui oleh mana-mana pemimpin tertinggi dalam politik negara sebelum ini, akhirnya Anwar memperoleh restu dari Illahi untuk beliau menduduki kerusi utama kepimpinan politik negara selaku Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gerik dan Ahli Parlimen Gerik dari 2004-2008.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×