HIDUP mencari damai dan harmoni. Nikmatnya cukup berharga sehingga tiada ternilai untuk dibeli. Damai adalah tapak untuk melangkah maju, stabil dan memahat keyakinan. Sebaliknya membiarkan resah, celaru, keliru melingkari kehidupan hanya mengundang gangguan tanpa hasil dan keuntungan.
Seorang pendakwah agama menyebut, terdapat tiga aspek dan pendekatan yang boleh meredakan sengketa atau pertelingkahan. Ketiga-tiga aspek ini perlu diselusuri dengan jujur dan insaf demi memperoleh jalan penyelesaian berkesan. Dan, ketiga-tiga pendekatan ini sememangnya selari dengan kehendak dan nilai keislaman.
Aspek pertama yang dianjurkan ialah elak daripada bersikap prejudis atau berprasangka. Selidik dan kaji terlebih dahulu secara mendalam sebelum membuat sebarang tohmahan atau persepsi terhadap seseorang.
Sering berlaku di mana gambaran yang diberi oleh seseorang mengenai seseorang lain tidak sama dengan keadaan sebenar.
Mungkin ada yang bersifat berat sebelah atau bias. Barangkali terselit perasaan dengki, dendam atau memasang niat mencari keuntungan untuk diri sendiri.
Sikap suka memburuk-burukkan orang lain seperti menafikan kebolehan, sengaja mencari kelemahan atau memperlekeh keistimewaan yang dimiliki seseorang tentulah ditegah agama dan tidak membawa kesan berguna. Lebih-lebih lagi jika individu yang dicemuh dan diburuk-burukkan itu telah banyak berikhtiar dan berkorban untuk kebaikan ramai.
Semasa memulakan tugas di tempat baharu atau di jawatan baharu, seseorang ketua jabatan yang bersikap bijak (smart) tidak begitu berminat untuk diberi taklimat mengenai perangai atau keperibadian setiap stafnya oleh seseorang. Sebaliknya beliau akan memilih untuk berkata, “Tak mengapa, biar saya mengambil sedikit masa untuk mengenali sendiri sikap dan keperibadian mereka.”
Dalam arena politik, suasana begini sering ditemui. Misalnya, apabila ditanya siapakah dalam kalangan yang disebutkan ini paling layak untuk bertanding atau menjadi calon sama ada dalam pilihan raya atau pemilihan parti? Lalu semua yang disebutkan dalam senarai itu ditolak sehinggalah akhirnya terungkaplah kata-kata, “Saya sebenarnya kalau diberi peluang memang saya bersedia untuk berkhidmat untuk rakyat.”
Rupa-rupanya dia sendiri yang menyimpan hajat.
LEPAS TANGAN
Justeru, dalam melihat serangan bertubi-tubi terhadap seseorang khususnya yang bergelar pemimpin atau ketua, cubalah lihat apa sebenar tujuan dan agenda di sebaliknya. Mungkin bercagar minat untuk mencari kedudukan diidami atau berusaha mengangkat seseorang dengan harapan apabila individu yang diangkat itu mendapat tempat, lalu beliau akan mendapat manfaat peribadi sebagaimana selama ini dipasang matlamat.
Aspek kedua kata ustaz sama, elak daripada mengabaikan tanggungjawab. Kalau sesuatu itu sudah ditakdir sebagai satu amanah dan tanggungjawab, maka laksanakanlah dengan sebaik-baiknya. Terdapat dalam suasana kerja di pejabat, seseorang kakitangan mungkin bersikap, “Kalau aku tak buat kerja pun ada orang lain boleh buat.” Namun, dalam masa sama, individu berkenaan secara diam-diam memasang angan-angan, “Kalau nanti ada proses kenaikan pangkat, memang aku yang layak.”
Dalam senario politik tanah air, khususnya apa yang dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, terdapat sikap terutama pengundi Melayu yang mengambil mudah atau lepas tangan dengan menganggap, “Kalau pun aku tidak mengundi, masih ramai lagi yang keluar mengundi.” Atau ada juga yang mungkin berpendirian, “Kalau menang mana-mana calon pun sama saja. Apa sangat untungnya kita?”
Maka terjadilah peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina melebihi 98 peratus, manakala peratusan keluar mengundi bagi pengundi Melayu hanya sekitar 61 peratus. Jadi, apa cagaran orang Melayu untuk bercakap tentang politik negara secara berdegar-degar, sedangkan untuk keluar mengundi pun seolah-olah keberatan?
Aspek ketiga bagi mengelak sengketa dan kecelaruan ialah tanamkan sifat tahu bersyukur. Kata ustaz tadi, apabila ada perasaan syukur dan reda dengan ketentuan Allah, segalanya dapat diterima dengan rasa puas dan tenang sambil melihat pada sudut positif, “Kalau pun aku sudah tidak lagi berjawatan, syukurlah kerana sebelum ini telah aku sempat mengaut keuntungan dengan nikmat dan peluang diperoleh.” Atau,
“Syukurnya aku masih berada di bumi Malaysia, sedangkan di sesetengah negara untuk mencari sumber makanan pun payah.”
Sebagai rumusannya, carilah jalan mudah untuk mencantumkan semula apa yang robek, menghimpun semula apa yang terlerai. Ambillah sikap, “Di mana pun aku berada, aku tetap mencari peluang untuk menyumbang demi kebaikan.” Lebih baik akur dengan kelemahan sendiri, buangkan ego membanggai diri. Tidak rugi menunduk diri asal subur segar berisi. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










