Budayakan cuti kerja pergi makan angin

Budayakan cuti kerja, pergi makan angin

MOTAC dan pengusaha pelancongan harus mempergiatkan lagi program-program lebih kreatif, inovatif dan efektif bagi memacu pertumbuhan pelancongan domestik. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI pelancongan Malaysia menyaksikan pertumbuhan positif pada tahun ini yang diterajui sektor pelancongan domestik. Ini selari dengan indikator kadar penghunian bilik hotel ditunjukkan tahun ini. Ia didorong oleh faktor pelonggaran peraturan perjalanan rentas negeri dan pembukaan pintu sempadan negara sekali gus memberi impak ketara kepada sektor pelancongan.

Justeru, sektor pelancongan harus diurus secara bijaksana bagi memberikan impak positif dalam apa juga situasi. Beberapa tindakan segera perlu dilaksanakan menerusi pelan pemulihan pelancongan yang efektif bagi membolehkan ekonomi negara pulih secepat mungkin.

Sebagai permulaan, kita mahu ia dibuktikan menerusi pelancongan domestik dalam kalangan rakyat sendiri. Semua pihak perlu berganding bahu menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan dan selamat untuk dikunjungi. Ini seiring aspirasi yang terkandung dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

Soalnya, bagaimana kita dapat memastikan sektor pelancongan domestik terus memacu perkembangan ekonomi negara? Apakah perancangan strategik yang berkesan dalam menggerakkan jentera pelancongan secara optimum?

Sehubungan itu, penstrukturan semula program promosi dan pemasaran perlu difokuskan kepada usaha mengembalikan keyakinan masyarakat tempatan melancong di dalam negara dan membudayakan percutian secara terancang. Percutian secara terancang penting bagi memastikan konsep pelancongan dapat disempurnakan lagi dengan mengambil kira perancangan masa dan destinasi yang tepat bagi memberikan impak ekonomi lebih baik kepada negara dan rakyat secara umumnya.

Untuk tujuan percutian secara terancang seperti disarankan itu, sebagai pelancong bijak, kita patut merancang percutian di luar musim cuti atau cuti umum. Pada kebiasaannya, lokasi tempat tumpuan pelancong, lokasi penginapan malah jalan raya penuh sesak dengan orang ramai. Lebih teruk, bilik penginapan juga sukar untuk ditempah dan harganya jauh lebih mahal.

Justeru, tujuan utama kita pergi bercuti untuk mencari ketenangan dan keseronokan tentunya sukar dicapai apabila percutian impian bertukar menjadi mimpi ngeri tatkala terpaksa mengharungi kesesakan di jalan raya mahupun lokasi dikunjungi.

Apa kata selepas ini kita budayakan percutian secara terancang dengan mengambil cuti kerja untuk bercuti? Lebih selesa, kurang kesesakan dan jimat belanja. Percutian juga tentu lebih menenangkan jiwa.

Bagi merealisasikan inisiatif ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia mungkin boleh menjalankan kempen budaya bercuti gaya baharu ini secara lebih bersepadu. MOTAC mungkin boleh melibatkan kerjasama pihak hotel dan agensi pelancongan untuk mewujudkan pakej istimewa bagi menarik minat pelancong domestik mengikuti program ini.

Selain itu, MOTAC boleh memberikan insentif tambahan atau rebat cukai kepada pengusaha agensi pelancongan dan hotel yang menjayakan program ini. Contohnya, pengusaha hotel boleh memberikan harga istimewa kepada agensi pelancongan dan menawarkan pakej percutian tersebut pada harga termampu kepada pelanggannya. Menerusi kaedah ini, kita bukan sahaja dapat membantu pihak hotel memenuhkan bilik di luar musim cuti sekolah atau cuti umum, malah dapat membantu agensi pelancongan menjana pendapatan menerusi pakej-pakej yang dijual.

Cuba bayangkan jika kita dapat beri potongan harga pakej percutian sehingga 50 peratus dengan pelbagai insentif tambahan, saya percaya sektor perhotelan kita akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dan secara tidak langsung membantu agensi-agensi pelancongan tempatan dengan harga pakej yang hebat.

TREND

Namun bagi menjayakan usaha ini, ia bukanlah satu tugas mudah. Kita terpaksa berhadapan pakej-pakej penginapan yang ditawarkan oleh platform tempahan hotel dalam talian yang kini menjadi trend orang ramai merancang percutian. Dapatan dalam Kajian Mengenai Pelancongan Domestik Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Tourism Malaysia, pelancong lebih cenderung mengatur sendiri percutian dengan membuat tempahan secara dalam talian berbanding menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan. Sebanyak 88.4 peratus responden memilih untuk membuat perancangan percutian mereka sendiri berbanding 11.6 peratus mengambil pakej pelancongan.

Untuk itu, pihak hotel perlu memberikan jaminan kepada agensi pelancongan dengan memberikan pakej harga terbaik dan jauh lebih rendah berbanding harga dijual di platform dalam talian. Sementara MOTAC pula mungkin boleh memberikan insentif tambahan seperti baucar/rebat diskaun kepada pelancong domestik yang membuat tempahan penginapan menerusi agensi pelancongan berlesen dengannya.

Untuk rekod, sebelum ini kerajaan memperkenalkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan Pakej Rangsangan Ekonomi. Menerusi inisiatif ini, kerajaan menyalurkan bantuan berupa insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat. Pemberian diskaun, baucar dan rebat melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan. Inisiatif ini diperluaskan secara berperingkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema.

Bagaimanapun, inisiatif tersebut khususnya bagi Kluster Penginapan tidak memberikan manfaat kepada agensi pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC apabila pemberian baucar/rebat diskaun tersebut hanya boleh diperoleh menerusi platform beli-belah dalam talian.

Apa yang pasti, jalinan kerjasama antara MOTAC dan pengusaha pelancongan harus dipergiatkan lagi dengan perancangan program lebih kreatif, inovatif dan efektif. Kita tidak boleh lagi bergerak secara sendirian dalam mendepani cabaran ketika ini. Beberapa siri libat urus antara MOTAC dan persatuan serta penggiat industri pelancongan harus diadakan segera bagi mencari solusi terbaik sekali gus meletakkan hala tuju industri pelancongan negara di landasan betul. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Azlie Halim ialah Timbalan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA); Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK); dan Felow Adjung Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN