BERAKHIRNYA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tempoh hari menandakan rakyat sudah memuktamadkan wakil rakyat pilihan hati. Parti-parti politik bersifat komunal dan bukan komunal turun padang untuk merebut seberapa banyak mungkin daripada sejumlah 222 kerusi Parlimen.
Pada PRU15 ini, simbol parti-parti PKR, Pas dan DAP seperti roket dan bulan kurang dipamerkan dalam kempen politik buat pertama kali. Sebaliknya, nama-nama gabungan parti dalam bentuk ayat seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) digunakan sebagai kata kunci.
Keputusan PRU15 menunjukkan PH memenangi 82 kerusi Parlimen, PN 73, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam, Parti Warisan (Warisan) tiga, Bebas dua dan lain-lain satu.
Keputusan ini menunjukkan PH memperoleh lebih banyak kerusi daripada parti-parti politik lain yang bertanding. Namun demikian, analisis menunjukkan adanya perbezaan berbanding PRU14. Prestasi parti Pas meningkat daripada 18 kepada 49 kerusi, GPS 18 kepada 22, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 13 kepada 28.
Prestasi UMNO pula kelihatan merosot dengan mendadak iaitu daripada 53 kerusi kepada 26, PKR 50 kepada 30, DAP 42 kepada 40, Parti Amanah Negara (Amanah) 11 kepada lapan dan Warisan lapan kepada tiga. Prestasi MCA (2 kerusi) dan MIC (1 kerusi) dilihat tidak berubah dan kekal dengan jumlah kerusi diperoleh pada PRU14.
Secara keseluruhannya, keputusan PRU15 jelas memperlihatkan sebahagian besar pengundi terutama yang mengundi pertama kalinya (Undi18) menolak parti-parti yang bergabung dalam BN, sebaliknya mereka memihak kepada PN. Meskipun sebahagian besar pengundi Cina dikesan masih terus menyokong DAP yang menyertai PH, namun dilihat juga sebahagian besar pengundi Melayu menolak UMNO dan PKR.
Sebahagian besar pengundi India terutama pengundi muda memihak kepada PH.
Dalam pada itu, kejayaan Pas yang luar jangkaan dikatakan disebabkan sokongan daripada pengundi muda Melayu. Dakwaan dan sebaran luas dalam media sosial kononnya amalan rasuah berleluasa dalam kalangan pemimpin BN banyak mempengaruhi minda pengundi muda yang mengundi buat pertama kali.
Sebahagian besar pengundi Melayu menyokong PN yang bekerjasama dengan Pas, parti berpaksikan Islam. Kerjasama politik atau permuafakatan antara Bersatu dan Pas dilihat banyak membantu PN memperoleh kemenangan besar di kawasan-kawasan pengundi majoriti Melayu.
Sementara itu, sokongan terhadap PH masih kekal di kawasan bandar. Sokongan terhadap PKR dalam kawasan Melayu dan separa bandar didapati merosot pada PRU15 berbanding PRU14. Pengundi India juga didapati terpengaruh dengan dakwaan kononnya pemimpin barisan utama MIC terpalit dengan salah guna dana Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra). Dengan itu, hampir semua calon MIC kalah kecuali Datuk Seri M. Saravanan, Timbalan Presiden MIC yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tapah.
AGONG
Pendek kata, keputusan PRU15 menunjukkan BN yang ditubuhkan pada 1974 oleh kepimpinan UMNO dengan menggabungkan pelbagai parti mewakili pelbagai kaum, kini terbukti semakin hilang taringnya dalam kalangan rakyat. Malah, kini timbul tanda-tanda politik berteraskan kaum dan agama kembali bertunas dalam medan politik negara.
Pola pengundian jelas menunjukkan PH meraih sokongan hebat daripada pengundi bukan Melayu, manakala PN daripada pengundi Melayu (Islam). Pola tersebut jelas menunjukkan satu paradigma baharu dalam pengundian kerana pemilihan dibuat bersandarkan pada kaum dan agama.
Dengan keputusan tidak ada satu parti atau gabungan parti tertentu memperoleh kerusi majoriti di Parlimen iaitu sekurang-kurang 112 (majoriti mudah), maka timbul fenomena Parlimen tergantung. Dengan itu, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan kepada ketua-ketua parti politik untuk menubuhkan kerajaan perpaduan meliputi semua parti.
Kerajaan perpaduan diketuai pemimpin PH berjaya terbentuk dengan kerjasama parti-parti lain terutama BN dan GPS dalam usaha menyelesaikan masalah Parlimen tergantung. Pemimpin dan wakil daripada parti yang bersetuju dengan pembentukan kerajaan perpaduan seperti PH, BN, GPS, GRS dan Warisan dilantik sebagai ahli Kabinet.
Namun, wakil-wakil dari MCA dan MIC, dua parti utama mewakili sebahagian besar komuniti Cina dan India, malah pelopor kemerdekaan negara tidak dilantik dalam Kabinet yang menjunjung perpaduan sekian lama. Meskipun seorang ahli Parlimen keturunan India daripada PH (DAP) dilantik sebagai menteri, namun komuniti India pada keseluruhannya menzahirkan perasaan kecewa kerana wakil MIC yang dianggap sebagai wakil kepentingan kaum India dalam negara sejak merdeka tidak dilantik dalam Kabinet.
Kaum India yang menyokong MIC sekali gus BN berharap seorang wakil dari MIC dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan seperti dilakukan oleh kerajaan PN sebelumnya.
Sehubungan ini, komuniti India berharap calon bagi kawasan Parlimen Padang Serai, Datuk Sivaraj Chandran yang memberi laluan kepada calon PH demi memastikan kemenangan bukan sahaja menyelamatkan air muka kerajaan perpaduan malah kepimpinan PH yang juga merupakan Perdana Menteri ke-10. Sesungguhnya, lantikan wakil MIC dalam Kabinet akan lebih menyerlah semangat perpaduan dalam kerajaan perpaduan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.










