Usah persoal 18 tahun matang atau tidak

Usah persoal 18 tahun matang atau tidak

UMUR hanya angka sebaliknya kematangan pemikiran manusialah yang akan membawa kejayaan hidup bermutu. –UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA memikirkan kelemahan mungkin dihadapi generasi Undi18, mungkin juga masyarakat perlu melihat kebuntuan pemikiran bakal dihadapi dalam dunia baharu sekarang. Umpamanya isu tekanan ekonomi dan perubahan cuaca, penghuni alam (7 bilion kini dijangka meningkat 9 bilion pada 2050), konflik antarabangsa, kebanjiran pelarian perang di seluruh dunia, permintaan tenaga daripada sumber yang bertambah, gencatan senjata nuklear, bertambahnya warga emas dan kepelbagaian cabaran dunia baharu lainnya, nampaknya akan mencipta sejarah baharu yang mungkin menambahkan kemurungan dan zaman gelap masyarakat.

Bagi orang Islam yang memahami falsafah al-Quran tentang perkembangan minda manusia dan ilmunya ini, sememangnya memahami revolusi perubahan minda dan pemikiran manusia ketika membaca proses perubahan kejadian manusia tentang tahap-tahap pertumbuhan dan cetusan fizikal dan spiritual sejak dilahirkan, seperti dapat difahami daripada ajaran al-Quran sendiri.

Kajilah firman Allah: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu tanpa kamu mengetahui sesuatu apa pun. Lalu Dia-lah yang menjadikan kepada kamu pendengaran, penglihatan dan hati.” (Surah Al-Nahl ayat 78)

Lambang indera manusia dimaksudkan ayat tersebut ialah audio, visual dan minda yang berkembang dalam proses kematangan manusia ketika manusia mulai mendengar radio, kemudian menonton televisyen dan akhirnya bermain komputer serta alat komunikasi dan pengetahuan lainnya dan memakan masa agak singkat sehingga lahirnya gajet canggih kini.

BAYI

Berbekalkan kesedaran ini, kita haruslah memandang perkembangan baharu dalam masyarakat dan negara tentang pembangunan anak-anak muda ini dengan pandangan positif, dimulai penceburan mereka dari umur 18 tahun itu dalam politik negara seperti yang telah saya nyatakan. Kelahiran bayi di minit pertama yang lengkap dengan indera pendengaran disambut dengan lafaz azan atau iqamat menurut jantina bayi itu membuktikan bahawa dia telah dapat meresapkan sesuatu didengarinya.

Manusia perlukan pendidikan, amalan, teori dan perilaku seterusnya untuk lahir sebagai makhluk yang matang. Islam mengakui bahawa manusia adalah makhluk yang terbaik diantara kejadian Allah SWT semuanya untuk menguruskan hal ehwal kehidupan mereka.

Sayyidina Ali merumuskan bahawa di antara kejadian makhluk ini hanya manusia sahaja yang mempunyai daya intelek. Kajilah juga sejarah perkembangan Islam ketika zaman Nabi Muhammad SAW, iaitu anak muda Ali bin Abu Talib membantu Nabi Muhammad, juga Abu Bakar Al-Siddiq dan Umar ibnu Alkhattab bersama para sahabat lain membangunkan Islam bersama Rasulullah SAW sehingga Islam lahir sebagai agama yang berintegrasi antara generasi tua dan muda, dan sebagai agama yang berintegriti seterusnya sehingga kini.

Betullah umur hanya angka, namun kematangan pemikiran manusia itu juga yang berharga dan akan membawa kejayaan hidup bermutu. Sebaliknya umur yang walaupun tinggi tetapi tidak berkualiti hanya akan membawa kerosakan dalam watak dan perilakunya. 18 atau 21 tahun tidak punya perbezaan, tetapi proses pendidikan dan peningkatan ilmu dan pemikiran itulah yang amat berharga dalam melakar otak dan fizikal manusia.

Semoga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang baru berlalu dapat membuktikan sesuatu sebagai panduan masyarakat negara kita ketika perubahan undang-undang (Undi18) ini dilaksanakan. – UTUSAN

TAN Sri Dr. Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×