PAKATAN Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu atas naratif ‘sistem dua gabungan’ tetapi pemerintahan 22 bulannya menggambarkan percanggahan dalaman antara dua hasrat, iaitu menginstitusikan persaingan antara dua gabungan tetap ala United Kingdom atau mencapai dominasi ala Barisan Nasional (BN) sebagai blok dominan yang baharu.
Hasrat kedua menjadi tertonjol tetapi percubaan untuk mencapai dominasi ini membawa kejatuhan PH.
Bertentangan dengan hasratnya untuk terus berkuasa selepas PRU15, percubaan PH mencapai dominasi ala BN cuma membawa kejatuhan awalnya dalam ‘Langkah Sheraton.’
Dari segi nombor, majoriti untuk kerajaan PH berkembang daripada 121 kerusi kepada 139 sebelum tumbang dengan pertambahan 14 kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR (3), Parti Warisan (1) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (1).
Akan tetapi ini cuma membawa padah dari dua segi. Pertama, sistem dominan di Malaysia tiada mekanisme untuk persaingan dalaman yang sihat dan produktif, pengembangan Bersatu telah memberanikan plot untuk menghalang pengambilalihan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) dan memburukkan lagi perbalahan dalaman PKR dan pertembungan PKR-Bersatu.
Kedua, percubaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PH untuk melemahkan UMNO dan BN hanya menggalakkan UMNO untuk berpakat lebih rapat dengan Pas akhirnya secara rasmi sebagai Muafakat Nasional (MN) dan menyerang dasar multietnik PH daripada posisi tegar nasionalis Melayu-Islam.
Daripada menginstitusikan persaingan dua gabungan PH-BN yang berkongsi pasaran politik multietnik dan bersaing atas isu bukan etnik yang lebih sihat, strategi PH untuk mencapai dominasi dan memonopoli politik multietnik telah menghakis keabsahannya di bawah serangan MN. Hinggalah pada akhirnya Dr. Mahathir terpaksa meletakkan jawatan sebagai PM pada 24 Februari 2020 dan digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dan seterusnya dengan kejatuhan kerajaan Muhyiddin pada 16 Ogos 2021 apabila 15 ahli Parlimen menarik balik sokongan, ‘majoritarianisme’ dalam politik Malaysia secara terbukanya diganti oleh dinamika pelbagai parti dalam Parlimen tergantung.
Walaupun kestabilan atas dominasi menjadi mustahil, kestabilan tetap boleh tercapai tetapi hanya dengan pendekatan musyawarah untuk mencari muafakat rentas parti. Ini memerlukan pengiktirafan realiti politik yang baha – majoriti dalam Parlimen tidak semestinya menyamai bilangan kerusi kerajaan yang ditegaskan oleh pengkaji Parlimen, Maha Balakrishnan (2022: 11-12).
Ini bermakna kerajaan boleh mendapat majoriti jauh lebih besar daripada bilangan kerusi yang dipunyainya. Yang perlu hanyalah kerajaan bersikap rendah diri dan mencari sekutu di Parlimen berdasarkan manfaat agenda perundangan dan pentadbirannya, dan bukan berharap untuk memonopolikan semua kredit untuk agenda yang tercapai.
GEG
Pendekatan musyawarah inilah yang diambil oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bila mengambil alih jawatan PM pada 21 Ogos 2021.
Contoh paling baik ialah kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dengan sebulat suara oleh kesemua 209 ahli Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dan kemudiannya oleh kesemua 52 ahli Dewan Negara (9 Ogos 2022).
Muafakat ini dapat tercapai kerana RUU itu digubal bukan mengikut cita rasa menteri atau Kabinet, tetapi mengambil input daripada semua pihak dalam masa lapan bulan. Yang paling penting, apabila RUU asal mendapat bantahan luas dari pelbagai segi dalam Dewan Rakyat pada 11 April 2022, RUU itu diambil alih oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang dipengerusikan oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua.
Musyawarah telah membulatkan pendapat dan menghasilkan Undang-undang Anti Lompat yang bukan sempurna tetapi boleh diterima oleh semua pihak.
Penggubalan undang-undang dengan musyawarah sebenar melalui JPKP jauh lebih bermakna daripada pendebatan di seluruh Dewan yang biasanya cuma formaliti dan drama.
Ini turut dipakai untuk RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 (GEG) yang bercadang melarang generasi baharu daripada merokok dan mungkin akan menjadi norma baharu untuk RUU yang penting.
Kerana kestabilan bermusyawarah ini berasaskan Parlimen dan JPKP sebagai wadah musyawarah, maka reformasi Parlimen mesti diteruskan dalam pemerkasaan ahli-ahli persendirian melalui penubuhan lebih banyak JPKP dan perkhidmatan Parlimen yang profesional dan berautonomi.
Kestabilan bermusyawarah yang wujud di bawah kerajaan Ismail Sabri mencerminkan evolusi politik tanah air yang telah meninggalkan model majoritarianisme dan memerlukan modus operandi baharu untuk mencapai kestabilan dan memajukan negara.
Dengan Gabungan Parti Sarawak dan parti-parti Sabah mengambil jalan sendiri, besar kemungkinan Parlimen penggal ke-15 akan tetap tergantung tanpa sebuah gabungan memenangi majoriti.
Dengan tercarinya model kestabilan bermusyawarah ini, rakyat boleh yakin bahawa kestabilan politik tanah air tetap terjamin selagi Perdana Menteri mengambil sikap rendah diri untuk mencari muafakat dengan parti-parti lain sama ada dalam kerajaan atau dengan pembangkang.
Tanpa mengira perbezaan nilai dan kepentingan, semua parti harus melihat sesama lain sebagai saudara dalam keluarga, sekalipun berbeza dan bersaing dalam PRU15, harus menjalinkan silaturahim dan musyawarah selepas berakhirnya PRU15.
Dan kepimpinan yang rendah diri dan inklusif seperti ditunjukkan oleh Ismail Sabri tidak harus dilihat sebagai kelemahan kerana zaman orang kuat telah pun menjadi sejarah. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Wong Chin Huat ialah ahli sains politik yang mengkhusus dalam sistem pilihan raya, demokrasi berparlimen & politik parti Sunway University.










