KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan kebuntuan dalam pembentukan kerajaan. Ini mengundang persoalan tentang kestabilan politik negara selepas pasca PRU15. Situasi politik pasca PRU15 membawa naratif baharu, iaitu tanpa penguasaan dominasi Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan teruk PRU14 lalu. Trend ini mencerminkan pemikiran politik anak-anak muda adalah lebih kepada politik rasional yang memperlihatkan sentimen kaum dan agama.
Kemenjadian politik rasional ini berlaku disebabkan peranan dimainkan semasa kempen PRU15. Maka dengan itu berlakunya ketegangan bukan sahaja dalam kalangan ahli politik kepartian tetapi juga orang bukan Islam dan Islam. Apa yang utama pada masa kini adalah negara kita memerlukan seorang pemimpin yang mengutamakan nilai kesederhanaan dan mengutamakan agenda rakyat dalam pembentukan kerajaan.
Kemenangan PN atau PH adalah hasil daripada undian rakyat yang telah celik media sosial dan pendidikan. Kewujudan golongan kelas menengah yang semakin melebar sewajibnya menjadikan negara ini lebih toleransi dan tidak taksub kepada kepartian yang boleh membawa kepada perpecahan. Pada masa kini terdapat dua tokoh yang akan menerajui kepimpinan sama ada sebagai Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kelihatan Muhyiddin mempunyai idea dan strategi dalam melawan dominasi serangan agresif PH semasa kempen PRU14. Strategi menyekat kemaraan PH dalam menguasai pemikiran anak-anak muda terutama di bawah 25 tahun akhirnya membawa kejayaan apabila PH gagal mendapat kerusi majoriti dalam usaha pembentukan kerajaan. Anwar kini turut menghadapi dilema sama.
Kini rakyat juga berharap agar UMNO dan Pas memperlihatkan semula usaha penyatuan ummah dalam pempolitikan Melayu Islam. Ini amat penting supaya kekuatan politik Melayu Islam dapat dipelihara dan diperkasakan.
Di samping kepimpinan negara perlu dikemudi oleh seorang nakhoda yang berpengalaman dan mampu menyatukan bukan sahaja antara kaum dan agama, paling penting adalah penyatuan Melayu dan Islam.
Pada masa sama, negara memerlukan seorang pemimpin yang boleh membawa keluar negara ini dari kancah krisis ekonomi dan politik sekali lagi. Ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti disangka. Banyak kepayahan dan kesukaran terutama menangani kemelesetan dan kejatuhan ekonomi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 melanda negara. Inisiatif Majlis Pemulihan Negara (MPN) selepas berada dalam pascapandemik turut berjaya membawa naratif baharu ekonomi negara. Tetapi sejauh mana inisiatif ini mampu diteruskan menjadi persoalan rakyat.
TEKNOKRAT
Andai kata mana-mana gabungan parti berjaya membentuk kerajaan, mereka perlu melihat kepada naratif baharu dalam ekonomi negara. Dunia kini dilanda krisis ekonomi, geopolitik dan makanan. Situasi ini sudah pasti memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat hari ini adalah hasil usaha MPN.
Pemulihan negara dari segi ekonomi, perpaduan kaum dan agama amat penting agar mampu sekali untuk mengharungi semula krisis ekonomi yang bakal berlaku pada tahun hadapan. Ini berdasarkan kepada fakta bahawa sumbangan kejayaan memulihkan negara selepas pascapandemik datang daripada sokongan ramai anak muda dari pelbagai latar belakang profesional dan kepakaran. Idea menggunakan kepimpinan teknokrat bukan sesuatu yang baharu.
Sebenarnya usaha ini telah digunakan dan terbukti berjaya membawa keluar negara ini daripada krisis ekonomi, politik dan kesihatan. Ini bermakna teknokrat diperlukan dalam situasi seluruh dunia yang sedang menghadapi krisis bersama dengan gabungan ahli politik yang membawa nilai kesederhanaan dan agenda utamakan rakyat. Malahan pemimpin yang dilantik nanti dalam Kabinet turut bebas rasuah atau apa juga isu semasa supaya kepimpinan bersih.
Muhyiddin atau Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri perlu mempunyai watak pendamai untuk menangani krisis yang sedang berlaku. Watak pendamai ini amat penting dalam mendamaikan umat Islam ketika krisis dan menguruskan tiga parti gabungan terbesar Melayu Islam selepas era pembentukan kerajaan baharu nanti.
Kepimpinan negara perlu arif dalam memilih pasukan berkesepakaran untuk membantu menguruskan dan pemulihan selepas pasca PRU15. Kearifan dalam memilih pasukan kesepakaran tanpa melihat ideologi dan latar belakang mampu membawa ekonomi negara terserlah di kemudian hari.
Malaysia kini tertinggal di belakang Indonesia dari segi ekonomi. Kadangkala kita lebih memilih pasukan kesepakaran yang hanya pandai membodek dan mengampu. Tetapi tidak kepada kepimpinan negara pasca PRU15 nanti kerana era masa kini rakyat menjadi hakim.
Perwatakan dan keperibadian bakal Perdana Menteri perlu dilihat supaya mampu menjadikan penyatuan kepada bukan sahaja Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak tetapi juga bukan Melayu. Ini didukung peranan kepimpinan agamawan yang mampu membawa satu era perpaduan dan integrasi sesama kaum supaya kedamaian dan kesentosaan wujud. Situasi ini turut membantu kestabilan dan kemakmuran negara nanti. Kepimpinan yang dilantik nanti perlu memfokuskan kepada agenda menguruskan negara dan bukannya pempolitikan yang membawa kepada perpecahan negara selepas era pasca PRU15. Ini membuktikan agenda negara dan kepentingan rakyat menjadi satu dasar kepimpinan utama dan dinantikan oleh rakyat.
Rakyat juga berharap mana-mana kepimpinan yang menerajui negara ini lebih prihtain agar tiada sesiapa ditinggalkan dalam pembangunan dan kehidupan. Ini adalah harapan rakyat agar berlakunya sesuatu yang berlainan daripada mana-mana kepimpinan sebelum ini. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











