KEAKRABAN hubungan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dengan seluruh rakyat negeri itu umpama berpisah tiada. Sifat itu terzahir sejak baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan kemudian diteruskan semasa menjadi Pemangku Raja Kelantan ketika Almarhum ayahanda, Sultan Ismail Petra gering sehinggalah dimasyhurkan menjadi Sultan Kelantan pada 13 September 2010.
Sebut sahaja mana pelosok pedalaman di negeri ini yang tidak pernah dilawati oleh baginda termasuklah kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli. Tindakan mencemar duli itu bertujuan melihat dan merasai sendiri denyut nadi kehidupan rakyat di peringkat akar umbi bagi memudahkan baginda melaksanakan tugas sebagai pemerintah di negeri ini.
Situasi itu menjadikan baginda cukup disayangi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.
SELESA BERJUBAH, BERKOPIAH
Walaupun menggalas tugas sebagai pemerintah, baginda dilihat begitu selesa berjubah dan berkopiah setiap kali turun bertemu dengan rakyat atau menunaikan solat di masjid. Malah ada dalam kalangan rakyat tidak menyangka lelaki yang memiliki wajah tampan itu merupakan Sultan Kelantan disebabkan oleh sikap bersahaja baginda.
Sikap merendah diri itu membuatkan rakyat menjadi lebih selesa untuk mendekati baginda terutama ketika mencemar duli menyantuni penduduk di negeri ini. Selain jubah, baginda suka berbaju Melayu atau ‘baju gumbang’ dan berkain pelikat sekali gus membuatkan rakyat bertambah menyayangi tuanku.
JIWA RAKYAT
Jiwa rakyat yang dimiliki oleh Sultan Muhammad V sangat menebal dan perkara itu sering dizahirkan oleh baginda setiap kali bertutur dengan penduduk di negeri ini. Gemar menggunakan loghat asli negeri seperti kito dan ambo sebagai kata ganti diri menyerlahkan lagi jiwa rakyat baginda.
Selain itu, sikap gemar mencemar duli dengan menyembelih sendiri lembu korban setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha memberi gambaran betapa akrabnya tuanku dengan rakyat Kelantan.
Program Walkathon D’Raja Kelantan yang diperkenalkan sejak 2011 bagi mengukuhkan lagi hubungan baginda dengan rakyat, hasilnya, ribuan rakyat Kelantan yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain sejauh 10 kilometer di sekitar bandar Kota Bharu.
Pada 2011, program tersebut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia apabila berjaya mengumpulkan sebanyak 21,111 peserta.
SUKA PROGRAM AGAMA
Menggalas tanggungjawab sebagai pemerintah, Sultan Muhammad V turut tidak ketinggalan menyemai spiritual masyarakat Islam di negeri ini menerusi program Qiam With Me. Program berbentuk keagamaan itu mula diperkenalkan oleh baginda pada setiap kali tibanya bulan Ramadan sejak 2011.
Program bermula pukul 10 malam selepas solat isyak dan tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli qiamullail sehingga sahur dan solat subuh berjemaah bersama baginda.
Pada 2012, baginda memahat sejarah tersendiri apabila menganjurkan program itu di Istana Negeri, Kubang Kerian. Menariknya, ia mendapat pengiktirafan MBOR dengan penyertaan terbesar seramai 6,000 orang berqiamullail bersama Sultan Muhammad V.
COVID-19
Kecaknaan terhadap rakyat semasa negara dan negeri berdepan serangan ganas Covid-19 dizahirkan oleh baginda apabila berkenan mengembalikan Emolumen Diraja kepada perbendaharaan negeri selama enam bulan. Baginda mahu Emolumen Diraja yang dikembalikan itu dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Langkah yang diambil Sultan Kelantan itu selari dengan pendekatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja selama enam bulan bagi membantu meringankan beban kerajaan menangani pandemik Covid-19.
Dirgahayu Tuanku!
Allahuakbar! – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










