MUKADIMAH
MELAKA boleh dianggap sebagai lokasi kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) selepas memenangi pilihan raya negeri (PRN) dengan majoriti tiga per empat secara solo.
Kemenangan di Melaka juga menjadi suntikan semangat buat UMNO dan BN terus meraih kejayaan pada PRN Johor dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Formula kemenangan yang digaul pucuk pimpinan tertinggi pastinya tidak ‘ampuh’, andai tonggak kepada sesebuah kerajaan negeri itu gagal memainkan peranannya.
Dalam wawancara khas di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, DATUK SERI SULAIMAN MD. ALI berkongsi rahsia di sebalik kejayaan itu kepada Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., MOHAMAD AZLAN JAAFAR dan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan HADI AB. MANAP serta jurufoto, RASUL AZLI SAMAD.
UTUSAN: Boleh Datuk Seri kongsikan jerih perih ketika mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2020?
SULAIMAN: Pada mula saya mengambil alih Melaka ini, kalau tak silap saya 9 Mac 2020. Pada waktu itu banyak cabarannya, tiba-tiba saya pula diangkat menjadi Ketua Menteri. Saya kata ini satu tugas dan tanggungjawab yang berat. Ini bukan kerja mudah, jadi orang nombor satu dalam Melaka, sudah pasti banyak perkara mesti dilakukan untuk negeri.
Pertama, sebelum ke tempat yang ingin saya tuju, saya sudah fikir mana nak pergi, ke mana nak bawa Melaka ini? Saya mesti tahu, di mana saya pada waktu dan ketika itu? Apa yang ada di Melaka pada waktu dan ketika itu, apa kelebihan Melaka? Minyak ini cukup tak kalau hendak sampai dekat sana, apa yang kenderaan saya ada, bas saya ini bagaimana keadaannya?
Ketika itu Melaka ada krisis air, kita ada catuan bekalan air berjadual. Rakyat pada ketika itu bising, rakyat mengamuk apabila air tidak ada. Tak sampai beberapa hari, kita pula diminta untuk mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 9 Mac 2020 angkat sumpah, pandemik Covid-19 melanda 18 Mac 2020, 19 Mac 2020 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya pun ketika itu diminta duduk di rumah, tapi saya tak bolehlah duduk di rumah saja.
Bagaimana pula dengan cabaran-cabaran lain?
Cabaran ketika saya ambil alih amat tinggi. Pertama, cabaran politik. Tahulah kongsi kuasa dengan ketika itu politik tak menentu, cabaran politik, cabaran ekonomi, ini yang buatkan saya pada ketika itu agak gusar. Semua sedia maklum, Melaka pada ketika itu sebuah negeri pelancongan. Sektor pelancongan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) 48 peratus. Nilai pengeluaran RM21 bilion. Dalam waktu sama, semua sektor pelancongan terkesan, pemandu bas pelancong, inap desa, hotel.
Dalam sektor ekonomi pula, kita ada sektor industri yang pelabur datang sini, ketika itu datang berjumpa saya. Mereka kata kalau air di Melaka tak boleh diselesaikan, dia kata, “Yang berhormat, we are to move, get out from Melaka.” Hati saya lagi kecut, persatuan pengilang datang. Contohnya, Petronas memerlukan dua juta liter air sehari. Lain-lain kilang yang besar-besar memerlukan satu hari sampai satu juta liter, sukar pada ketika itu.
Bagaimana penerimaan pembangkang ketika itu? Kerajaan negeri BN mampu menyelesaikan krisis air yang tidak mampu Pakatan Harapan (PH) selesaikan.
Manusia berpolitik 24 jam sehari, jadi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) saya sebut dengan kawan-kawan, no point kita bergaduh antara satu dengan yang lain. Kita jangan bergaduh, kita bergaduh yang tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat di luar. Jadi, saya menganggap semua rakan-rakan pembangkang ini sebagai rakan strategik.
Harapan Datuk Seri terhadap PRU15 yang bakal berlangsung?
Saya cakap dengan rakyat di bawah sana bila berjumpa, saya kata jangan ulangi balik perkara-perkara seperti dahulu. Saya terus terang, kalau you tak suka BN, you suka orang lain, ramai-ramai pangkah dia. Jangan sini sikit, situ sikit, sana sikit, akhirnya nanti balik seperti mana dahulu. Jangan ulangi sejarah itu, pilih yang macam mana you rasa ini baik. PH saya kata dah pernah memerintah, BN dah ada rekod prestasi 60 tahun mentadbir dan mengurus negeri ini. Kalau yang 22 bulan itu baik, pilihlah yang 22 bulan, ambil. Kalau kita yang dah ada rekod prestasi 60 tahun mentadbir negeri dan negara, jangan nafikan apa yang nampak depan mata. Saya kata itulah kerajaan BN.
Dan saya tengok kesedaran rakyat sudah mula kembali balik kepada BN. Saya bersyukur, daripada 28 kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka, kita menang 21 kerusi. Bukan dua per tiga, kita dapat tiga per empat. Jadi, mandat saya tengok dekat situ, rakyat sudah mula percaya kepada BN.
Bagaimana manifesto PRN Melaka? Sudah selesai semuanya?
Dulu 20 November 2021, kita PRN Melaka, jadi 19 November ini cukup setahunlah. Tapi apa janji manifesto pilihan raya 100 hari, setahun, kita sudah langsaikan setahun. Yang 100 hari itu telah saya selesaikan. Aku janji kita ada tempoh masa setahun, dua tahun dan sehinggalah lima tahun. Dan ini kita monitor, saya monitor setiaphari, di manakah kita punya pencapaian sekarang dengan semua aku janji yang kita tawarkan dahulu? Saya ada dashboard, hari-hari saya tengok dah sampai setakat mana, setiap hari dimuat naik, saya akan tengok.
Dalam tempoh 100 hari, ada dalam 58 inisiatif, ini semua done. Dalam tempoh setahun, kita ada 26 inisiatif, ini pun kita dah selesaikan. Kita tinggal yang tiga tahun dan lima tahun dan seterusnya. Alhamdulillah, saya melihat hari ini, rata-rata sudah menampakkan memberi sokongan kembali kepada UMNO dan BN.
Apa perancangan terbesar Datuk Seri untuk Melaka?
Kita bukan macam negeri lain. Ada hasil bumi, ada emas, ada bijih timah, ada minyak, ada balak. Melaka ini kita tidak ada itu semua. Sama macam Pulau Pinang, sama macam Singapura.
Tapi saya kerap tanya, kenapa Pulau Pinang lebih maju daripada kita? Kenapa Singapura juga lebih maju daripada kita, padahal dia pun tak ada apa? Kita ubah mindset kita, saya nak kita maju daripada Singapura, kita lebih maju daripada Pulau Pinang. Saya kata, attitude kerja kita kena ubah, sebab itu kita ada pelbagai pelan.
Salah satunya Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035, bagaimana dalam tempoh 15 tahun ke mana hala tuju kita. Jadikan Melaka negeri lestari, nak jadikan Melaka bandar pintar.
Dalam waktu sama juga, saya nak tubuhkan satu koridor baharu di Melaka, negeri-negeri lain semua ada koridor. Saya cakap dengan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saya kata Melaka satu pun tidak ada, jadi apa yang Melaka dapat? Now i have a plan, saya nak buat koridor baharu, sebab Melaka ini negeri pelancongan. Hebatnya Melaka dulu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis pun datang dekat sini. Cuba kita kaji balik kenapa Melaka lebih hebat, menjadi pusat perdagangan antarabangsa? Orang datang sini cari rempah, cari barang-barang. Kenapa hari ini Singapura lebih hebat pelabuhannya daripada kita?
Maka saya tubuhkan koridor baharu yang saya namakan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ). Saya nak jadikan Melaka ini hebat seperti mana Singapura, nak jadikan hebat seperti mana Pulau Pinang, kita paling-paling tidak setara dengan mereka. Maka saya tubuhkan satu perbadanan yang dipanggil Perbadanan M-WEZ. Saya nak jadikan Melaka bukan hanya sebagai negeri pelancongan hujung minggu, saya nak jadikan Melaka sebagai pusat perdagangan seperti mana 500 tahun dahulu. Akan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
Hari ini di Melaka, kita ada tidak kurang 37 institusi pengajian awam dan swasta. Mereka belajar di sini tapi tak ada kerja. Contoh, kita ada akademi penerbangan yang kita bekal bekerja dengan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan semua syarikat penerbangan. Kita sudah keluarkan 1,800 juruterbang yang belajar di Melaka di Batu Berendam. Bila saya majukan M-WEZ, akan ada peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, barulah orang boleh berhijrah ke sini.
Kenapa pelabur pada hari ini lebih memilih negara jiran seperti Indonesia berbanding Malaysia? Kalau kita tengok sebelum ini kenapa banyak orang datang melabur di Malaysia, sebab political stability, kerajaan itu stabil 60 tahun, easy to make business di negara kita. Sekarang ini orang tak nak datang sebab tidak ada kestabilan, kerajaan itu tidak stabil. Di Melaka juga banyak yang nak melabur, tetapi mereka tarik hand brake dulu, dia tak berani. Dia kata dalam penggal yang ke-14, belum sampai tiga tahun, tiga perdana menteri bertukar. Agak-agak orang nak datang? Di Indonesia mereka pergi stabil. Kalau tempat itu politiknya stabil, percayalah kita boleh buat macam dahulu balik.
Datuk Seri yakin keputusan PRN Melaka akan berulang pada PRU15?
Waktu PRN Melaka, Undi18 tidak ada lagi, kali ini pengundi 18 tahun di seluruh negara ada tujuh juta. Di Melaka waktu PRN tempoh hari, lebih kurang dalam 500,000 pengundi di seluruh negeri. Hari ini pengundi di Melaka kalau ikut statistik terbaharu lebih kurang 650,000 orang. Saya percaya sehingga September 2022 akan pergi sehingga 700,000 orang.
Jadi, kalau saya kata kita ambil reference PRN Melaka dengan sekarang, berbezalah, sebab jumlah yang keluar undi hari itu dalam 65 peratus sahaja. Dengan pengundi baharu yang tambah ini, di kawasan saya sudah tambah hampir 5,000 orang. Semua mereka adalah anak-anak muda. Jadi, insya-Allah macam mana pun saya yakin, mereka mahukan sebuah kerajaan stabil. mereka pun mengikuti perkembangan semasa lebih-lebih lagi mahasiswa, semua maklumat di hujung jari. Insya-Allah kalau kita kerja kuat sikit, kita lebih mendekati pengundi-pengundi muda ini, saya yakin kita boleh dapat banyak kerusi di Parlimen nanti.
Ramai mendakwa peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRU14 tidak akan berulang pada PRU15. Komen?
Pada saya kali ini mesti ada kesedaran daripada rakyat, kita ambil iktibar seperti mana yang berlaku pada PRU14. Saya mahukan rakyat ada kesedaran supaya perkara sama tidak berulang dan kali ini jangan salah pilih. Cuma apa yang saya harapkan, mereka yang akan menentukan masa depan negara. Keluarlah, gunakan hak sebagai pengundi.
Bagaimana Datuk Seri melihat formula meletakkan muka baharu berbanding otai sedia ada?
Insya-Allah, ini terbukti di PRN Melaka tempoh hari, ada 86 peratus muka baharu. Kita tampilkan muka-muka baharu yang datang daripada pelbagai latar belakang, bentuk dan rupa. Saya lihat anak-anak muda melihat muka-muka baharu. Contoh, saya sekolah dulu saya dah kenal orang ini, sejak sekolah rendah. Di alam persekolahan menengah, orang politik itu masih ada lagi. Sampailah saya bekerja, saya punya anak, hari ini saya dah Ketua Menteri, orang itu ada lagi.
Sudah-sudahlah pada saya, bagilah peluang. Enough is enough, bila masa kita nak bagi muka baharu naik? Sayang mereka yang ada bakat, mereka yang talented akhirnya usia habis, bakat dimamah usia. Mungkin dia lebih baik daripada kita. Pada saya, bagi peluang kepada muka baharu. Macam saya sendiri, kalau saya nampak saya tiada potensi lagi ke depan, saya turun, buat apa saya nak bertanding lagi? Tiga penggal tak nampak saya boleh bawa apa, i better step down. – UTUSAN









