Rekod baik Ismail Sabri cerahkan peluang UMNO, BN

Rekod baik Ismail Sabri cerahkan peluang UMNO, BN

REKOD baik Ismail Sabri Yaakob (tengah) sebagai ketua eksekutif kerajaan dan pengumuman beliau sebagai calon Perdana Menteri UMNO dan BN menjadikan peluang parti itu untuk memenangi PRU15 kelihatan lebih cerah. – IHSAN PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 21 Ogos 2021 sekitar 2.30 petang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara. Selepas setahun lebih, Ismail Sabri kelihatannya semakin selesa dengan peranan sebagai Perdana Menteri. Kelihatannya juga beliau berjaya mengemudi negara dengan baik sejak mengambil alih jawatan itu.

Agenda vaksinasi negara berjaya dilaksanakan dengan baik dan cepat. Kes Covid-19 berjaya diturunkan dengan jumlah kematian semakin rendah. Pandemik ditamatkan dan era endemik bermula. Tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua sektor ekonomi kembali dibuka. Pertumbuhan ekonomi mula dicatatkan. Kehidupan seharian rakyat mula kembali ke era pra Covid-19. Sebahagian besar pekerja sektor awam dan swasta kembali ke pejabat atau tempat kerja masing-masing. Sekolah dan institusi pengajian tinggi kembali dibuka seperti biasa.

Paling penting, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selaku pembangkang berjaya dimeterai sebaik sahaja beliau mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri. Ini juga satu sejarah baharu kepada politik negara bagi memastikan kerajaan tidak dijatuhkan sekali lagi dan kestabilan politik dapat diwujudkan bagi menguruskan negara tanpa gangguan politik berterusan pasca pandemik, khususnya mengurus ekonomi negara yang terjejas teruk semasa pandemik.

Malahan, Ismail Sabri dengan tegas menyebut beliau akan membubarkan Parlimen jika ada pihak yang mahu cuba menjatuhkan kerajaannya seperti mana berlaku kepada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelumnya. Penegasan ini jelas memperlihatkan Ismail Sabri sendiri tidak khuatir untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana beliau yakin dengan apa yang telah dilakukannya sejak kembali ke dalam Kabinet baik sebagai Menteri Kanan, Timbalan Perdana Menteri waima Perdana Menteri sekalipun.

Beliau sedar dan akur dengan realiti politik dalam sebuah sistem demokrasi bahawa akhirnya rakyat perlu kembali dirujuk bagi mendapatkan mandat baharu setelah tempoh penggal pemerintahan sesebuah kerajaan berakhir. Slogan dan pendekatan Keluarga Malaysia yang beliau perkenalkan semakin popular dan mendapat perhatian masyarakat. Bantuan-bantuan kebajikan kepada rakyat yang terkesan dengan kadar inflasi meningkat sudah dan sedang dipergiatkan.

Bantuan kepada para usahawan dan peniaga terjejas dengan keadaan ekonomi yang suram juga sudah banyak dihulurkan. Kenaikan harga makanan sudah dan sedang dikawal serta dipantau dengan rapi.

HIERARKI

Selain itu, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti juga berjaya dibentang dan diluluskan oleh Parlimen. Ini adalah satu lagi kejayaan besar bagi demokrasi di negara ini kerana tiada kerajaan sebelum ini yang bersungguh-sungguh menangani isu berkenaan dengan sempurna berbanding apa dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri sendiri.

Satu dua kelemahan yang wujud dalam pentadbiran adalah lumrah dan tidak mencacat-celakan prestasi kerajaannya. Kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) pimpinan Ismail Sabri kelihatannya lebih stabil dan semakin diterima oleh rakyat. Hanya di dalam UMNO kelihatannya kemelut politik belum selesai sepenuhnya. Ini kerana Ismail Sabri merupakan Naib Presiden UMNO pertama berjaya menjadi Perdana Menteri.

Situasi ini tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO. Bererti dari segi hierarki, masih ada dua orang lagi yang berada di atas beliau dalam kedudukan senioriti parti.

Hal inilah yang memberikan cabaran bukan sedikit kepada Ismail Sabri. Di ketika UMNO berjaya kembali ke Putrajaya dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menterinya, beliau tidak berupaya sepenuhnya untuk membawa UMNO bersama-sama dalam semua perkara dan keputusan dibuatnya dalam kerajaan. Hal ini tidak sukar difahami kerana terdapat pihak yang mahu beliau campur tangan dalam hal ehwal perundangan negara bagi membantu beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang sedang menghadapi kes masing-masing di mahkamah.

Sementara semua orang sedar kerajaan pimpinan Ismail Sabri bukanlah dikuasai oleh UMNO/BN sepenuhnya, sebaliknya turut mendapat dukungan PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli Parlimen lain, sebahagian pimpinan dalam UMNO terus memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk mengambil beberapa langkah dan tindakan yang mungkin tidak dipersetujui oleh rakan-rakan parti lain dalam kerajaan.

Ini termasuklah mengharapkan beliau campur tangan atau melakukan sesuatu dalam perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan konsep pengasingan kuasa dalam kerajaan antara eksekutif, kehakiman dan legislatif. Beliau harus mengurus keadaan ini semua dengan sebaik-baiknya. Selain itu di mata rakyat, beliau juga harus dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang menghormati keluhuran undang-undang dan tidak bersifat semberono campur tangan dalam hal ehwal perundangan negara.

Syukurlah kerana Ismail Sabri kelihatan berjaya melaksanakan peranannya sebagai ketua eksekutif kerajaan yang tidak mencampuri tugas dan urusan badan kehakiman. Hal ini penting kerana nama baik UMNO dan BN sendiri akan terjejas di mata rakyat jika perkara ini tidak diberikan perhatian. UMNO dan BN mungkin terjejas teruk dalam PRU15 sekiranya keluhuran undang-undang tidak dipelihara dengan baik oleh kerajaan.

Rekod baik Ismail Sabri sebagai ketua eksekutif kerajaan dan pengumuman beliau sebagai calon Perdana Menteri UMNO dan BN sekali gus menjadi faktor penting menjadikan peluang UMNO dan BN untuk memenangi PRU15 kelihatan lebih cerah. – UTUSAN

DATUK Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak ialah Profesor Emeritus di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (mulai 2019). Beliau juga bekas Naib Canselor UUM (2010-2018) dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (2020-2021).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×