Politik perkauman gugat keharmonian rakyat

Politik perkauman gugat keharmonian rakyat

KETUA Polis Negara memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang situasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial berikutan keputusan PRU15. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN, 196 orang mati, 439 cedera, 39 hilang, 9,143 ditahan dan 211 kenderaan musnah ketika episod hitam 13 Mei 1969. Bayangkan pula apabila terjaga daripada tidur untuk ke pejabat, tiba-tiba lihat banyak mayat dan ada di antaranya yang dikenali terbaring kaku dibaluti darah akibat tidak sehaluan dalam berpolitik.

Mungkin juga boleh bayangkan bagaimana dahulunya kita mesra berbual dengan jiran berlainan bangsa, bertukar tidak bertegur sapa akibat sentimen perkauman yang disuntik dalam kalangan rakyat.

Sepanjang perjalanan ke pejabat, masing-masing saling memandang kerana risau ‘diserang.’ Tiba-tiba semua yang di sekeliling berada dalam bahaya. Mereka mula bergaduh, mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya.

Walaupun tidak hidup lagi ketika detik 13 Mei 1969, namun tragedi tumpahan darah yang mengorbankan ramai mangsa menjadi igauan buruk buat rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang pernah berdepan situasi tersebut. Dan sudah pasti kita semua tidak mahu peristiwa hitam tersebut berulang kerana itu petanda buruk bahawa rapuhnya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Episod gelap yang menjadi sebahagian lipatan sejarah mempunyai kaitan secara langsung dengan keputusan pilihan raya umum (PRU) 1969 selepas lonjakan pengaruh sebuah parti berlandaskan kaum serta hilang majoriti dua pertiga Parti Perikatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Sejak kebelakangan ini, semasa musim berkempen PRU15 dan sementara menunggu kerajaan baharu terbentuk, terdapat banyak isu terutama berkaitan kaum dan etnik di negara kita dimainkan dalam media sosial terutama TikTok amat merunsingkan rakyat. Malah, ada dalam kalangan mereka memuat naik semula video tragedi 13 Mei sebagai amaran kemungkinan tragedi buruk itu boleh berulang.

Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini melahirkan kebimbangan melihat sentimen dan retorik perkauman yang terus diapi-apikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan terutama di saat sekarang (proses pembentukan kerajaan baharu).

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah pula menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial berikutan pengumuman keputusan PRU15 selepas mengesan pelbagai bentuk kandungan yang menyentuh sentimen perkauman, agama dan penghinaan institusi diraja.

Bagi Profesor Antropologi Sosial, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Sarjit Singh, masyarakat sebenarnya cintakan kedamaian dan hidup dalam suasana harmoni. Namun ‘kebusukan’ politik menyebabkan rakyat berpecah apabila orang politik memilih untuk berkempen secara melampau sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Saya perhatikan kempen PRU15 kali ini sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada hubungan sosial sama ada intra-etnik mahupun inter-etnik.

RUKUN NEGARA

“Perkara ini perlu ditangani dengan segera kerana Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan menjamin masyarakat hidup secara kolektif dan makmur bersama,” katanya.

Tambah Sarjit, percaturan politik dan kempen politik berbaur perkauman telah menjejaskan hubungan etnik.

“Ia perlu ditangani secara kolektif oleh pemimpin politik, pemimpin agama dan pihak berkuasa. Perlu ditegaskan bahawa Dasar Perpaduan Negara dengan jelas menekankan perpaduan dalam kepelbagaian serta bersifat inklusif. Justeru, masyarakat perlu kembali fokus untuk membina persefahaman dan hidup bersatu padu.

“Dalam masa sama, ahli politik juga perlu menunjukkan teladan yang baik dengan menghormati kepelbagaian kerana ia kekuatan negara kita terutama yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum serta penghinaan institusi beraja perlu dielakkan kerana ia akan memudaratkan hubungan masyarakat serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Maka dalam hal ini, peranan media khususnya media sosial amat penting agar masyarakat meluaskan mesej perpaduan supaya kita terus meraikan kepelbagaian untuk memajukan masyarakat dan negara tercinta,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Raqib Mohd. Sofian menyifatkan tindakan memuat naik provokasi berunsur rasis sebagai tindakan tidak matang serta ‘buta’ politik terutama dalam kalangan belia.

“Pertama sekali, hal yang berlaku ini amat mendukacitakan kerana 13 Mei adalah peristiwa hitam yang sangat memberi kesan kepada hubungan rakyat Malaysia sehingga kini. Maka naratif membabitkan 13 Mei sangat tidak wajar untuk dimainkan oleh golongan muda.

“Saya merasakan hal ini berlaku disebabkan ketidakmatangan golongan belia dalam membicarakan hal-hal politik dan juga hubungan antara kaum. Undi18 adalah langkah yang baik sebenarnya, namun literasi golongan muda ini perlu ditingkatkan terutama oleh golongan cendekiawan dan pendidik di universiti. Oleh itu, saya mengharapkan golongan pendidik diberikan lebih ruang dan peluang untuk membicarakan mengenai politik dengan pelajar secara matang dan adil,” jelasnya.

Malah Muhammad Raqib berpandangan, naratif 13 Mei ini dimainkan oleh golongan muda kerana terpengaruh dengan ceramah-ceramah yang berbentuk ekstrem oleh sesetengah ahli politik.

“Lihat sahaja isu-isu yang timbul ketika musim berkempen berlangsung. Begitu banyak isu sensitif dimainkan oleh ahli-ahli politik tanpa mengira parti. Oleh itu, selain literasi golongan muda ditingkatkan, ahli-ahli politik juga perlu berjaga-jaga ketika melontarkan pandangan dan berceramah mengenai politik.

“Saya juga mengalu-alukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga boleh menimbulkan ketidakselesaan dan kesangsian dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×