BIJAK sekali keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan. Daripada menyertai sebuah kerajaan campuran gergasi yang mungkin ditempuh dengan persengketaan dalaman, lebih baik PN berfungsi sebagai pembangkang yang profesional, matang dan bertanggungjawab.
PN boleh menandatangani suatu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sepertimana PH mendapat manfaat daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Berikut 12 perkara boleh dipertimbangkan untuk CSA jika ia berlaku:
1. Kabinet bayangan
Ia harus diiktiraf dengan gaji, sumber dan akses maklumat yang setimpal dengan fungsinya. Pembangkang rasmi seharusnya dibenarkan untuk setiap kementerian atau portfolio menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (JPM), melantik seorang menteri bayangan yang dibayar mungkin separuh gaji menteri dan disokong pegawai penyelidik tetapi tiada elaun selebihnya.
2. Penubuhan JPKP
Untuk setiap kementerian dan portfolio menteri, sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) harus ditubuhkan dan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen yang bukan ahli pentadbiran atau ahli Kabinet bayangan. JPKP juga harus ditubuhkan untuk isu-isu penting yang merentasi kementerian.
3. Tempoh sidang Parlimen tidak kurang 100 hari
Hari sidang harus dipanjangkan kepada sekurang-kurangnya 100 hari daripada purata 60 hari untuk 20 tahun sebelum pandemik Covid-19 (2000-2019). Lebih penting lagi, seperempat daripada masanya, misalnya setiap Khamis harus dikhaskan untuk urusan bukan kerajaan.
4. Akta Perkhidmatan Parlimen
Ini boleh memperkasakan Parlimen dengan autonomi pentadbiran dan kewangan untuk memberikan semakan dan imbangan lebih berkesan kepada kerajaan. Ini perkara kedua tidak dikotakan di bawah MoU sebelum ini dan harus dilaksanakan segera.
5. Jaminan peruntukan kawasan secara saksama
Menganaktirikan wakil rakyat pembangkang dalam peruntukan kawasan dengan tujuan mengalahkan mereka dalam pilihan raya adalah amalan kolot di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri. PN harus menuntut akta Parlimen dan enakmen/ordinan untuk menjamin peruntukan kawasan yang saksama untuk semua wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
6. Akta pendanaan politik
Ia bukan sahaja perlu dikawal, lebih penting lagi pembiayaan parti-parti politik dengan dana awam mengikut peratusan undi harus diperuntukkan. Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia atas Pendanaan Politik dalam penggal Parlimen lalu telah mengemukakan cadangan lengkap untuk pembiayaan sebanyak RM130 juta setahun bagi semua parti.
7. Pemisahan Jabatan Pendakwa Raya
Pendakwa raya mesti dipisahkan daripada Peguam Negara untuk memastikan tiada fenomena ‘dua darjat’ antara golongan kayangan dan rakyat kebanyakan serta juga ahli politik parti kerajaan dan pembangkang.
8. Had 10 tahun untuk Perdana Menteri
Ini dapat mengurangkan pemusatan kuasa di tangan seorang pemimpin sehingga wujud dinasti politik dan mengurangkan insentif untuk perang politik habis-habisan. Janji MoU ketiga yang tidak dikotakan ini harus direalisasikan pada 2023 tanpa lengah lagi.
9. Jawatankuasa untuk perundingan desentralisasi
Parti-parti Borneo dalam Kerajaan Persekutuan akan menekan desentralisasi yang mungkin langsung mengecualikan negeri-negeri Semenanjung atas dalih bahawa mereka tidak terlibat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
PN boleh menuntut jaminan bahawa perubahan kepada pengagihan kuasa Persekutuan-negeri akan ditentukan sebuah Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 2.0 bermodelkan IGC asal yang syornya menjadi asas kepada MA63 tetapi kali ini merangkumi semua kerajaan negeri.
10. SPR
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukan diletak di bawah JPM untuk menjamin keberkecualian dan kewibawaan. Ia juga harus mengambil alih kuasa pendaftaran parti-parti politik.
11. Hak mengundi di luar negeri
Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak bermastautin di kawasan pilihan raya dan terpaksa berjalan jauh untuk balik mengundi. PN harus menuntut SPR memberikan kemudahan untuk mengundi awal sebelum perjalanan pilihan raya negeri (PRN) untuk Kelantan, Terengganu dan Kedah selewat-lewatnya September 2023.
12. SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diletakkan di bawah Parlimen untuk memastikan keberkecualian, ketelusan dan kebertanggungjawaban, bebas daripada pengaruh kerajaan atau mana-mana parti.
BUDAYA POLITIK BERSAING
Parti-parti politik di negara ini tidak bersaing secara profesional seperti ahli sukan, tetapi saling memusuhi. Perkembangan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membawa hikmah bahawa penentu peluang menerajui kerajaan tidak terhad kepada berapa sokongan yang boleh didapati tetapi berapa tentangan yang dihadapi.
PN boleh menampilkan diri sebagai pembangkang matang yang bertanggungjawab, adil dan tidak menganaktiri atau memusuhi mana-mana rakyat kerana warna parti atau kulit. – UTUSAN
Jangan berkasut di atas tikar,
Jangan berjelajah tanpa peta,
Kerajaan pembangkang saling bertukar,
Semua untung bila gelanggang rata.
PROFESOR Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN) di Universiti Sunway.








