PELANCARAN Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021 merakamkan dua perkara penting sebagai terasnya.
Pertama, kefahaman terkini berkait konsep tiga serangkai perpaduan yang sudah diterima rasmi oleh kerajaan.
Kedua, pendekatan dan konsep tersebut diterapkan dalam Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang disediakan Kementerian Perpaduan Negara dan dilancarkan oleh Ismail Sabri pada 28 November 2021.
Untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia baru-baru ini diisytiharkan cogan kata Keluarga Malaysia: Teguh Bersama selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia. Frasa Keluarga Malaysia dalam cogan kata ini merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kukuh kuat dan erat dicapai secara kolektif serta mampan.
Ini tidak bererti sebuah masyarakat dicirikan kepelbagaian yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran wujud dalam bentuk unggul dan sempurna. Apa yang dinyatakan adalah suatu harapan. Dalam beberapa aspek, masih ada cabaran-cabaran perlu diurus.
Dalam ucapannya pada 22 Ogos 2021 di Parlimen, Ismail Sabri menyeru, “Marilah kita dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.”
Menurutnya, Malaysia sarat dengan perbezaan mencabar. Namun, beliau menyeru kelompok kerajaan dan parti pembangkang di Parlimen mencari persamaan dan tidak menekankan perbezaan yang boleh ditafsir sebagai perlunya mencari satu titik pertemuan dan membina tapak integrasi.
Harapan ini menjadi kenyataan apabila Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan parti pembangkang terbesar, iaitu Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 90 kerusi Parlimen ditandatangani pada 13 September 2021, kira-kira sebulan selepas Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.
Memorandum ini menganjurkan konsep kesepaduan, bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju, dengan erti kata ia menjadi wahana mencari ruang muafakat, tolak ansur, tawar-menawar dan mediasi. Ini adalah satu peristiwa bersejarah dalam politik governans Malaysia semenjak merdeka pada 1957, sebuah MoU seperti ini diwujud dan dilaksanakan.
WARAS
Impak segera pertama MoU ini adalah kembalinya kestabilan di peringkat politik elit, khusus di Parlimen dengan perdebatan kelihatan lebih waras dan sama-sama berhujah logik dan seimbang. Malah dalam tempoh kurang dari setahun (September 2021-Julai 2022), tiga rang undang-undang (RUU) diluluskan oleh Parlimen dengan undi majoriti dua pertiga. Ini satu pencapaian agak luar biasa.
Bukti kejayaan tapak integrasi binaan Ismail Sabri:
1. RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkait Perjanjian Malaysia 1963 pada 14 Disember 2021.
2. RUU Antigangguan Seksual 2021 pada 20 Julai 2022.
3. RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Anti Lompat Parti pada 28 Julai 2022.
Selain yang berlaku dan dipersetujui di Parlimen, di bawah payung Keluarga Malaysia, beberapa program dilaksanakan dan menerima sambutan baik orang ramai. Kerajaan-kerajaan negeri turut terlibat dalam penganjuran dan menjayakan program-program tersebut iaitu 100 Hari Keluarga Malaysia, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, Semarak Uniti Keluarga Malaysia, Jual Murah Keluarga Malaysia, Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan Bantuan Keluarga Malaysia.
Tiga perkara utama boleh dirumuskan berdasarkan pemerhatian dibuat yang mencorakkan kepimpinannya dan proses pelaksanaan pendekatan Keluarga Malaysia.
Pertama, dari segi latar belakang politik, Ismail Sabri berpengalaman luas di dalam dan luar kerajaan; menjadi ahli Parlimen semenjak 2008 sehingga sekarang; menjawat enam kali jawatan menteri di kementerian berbeza; dan dipilih sebagai Ketua Pembangkang (2019-2020). Apabila menjawat Timbalan Perdana Menteri pada 9 Julai 2021, kira-kira sebulan kemudian pada 21 Ogos, beliau menjadi Perdana Menteri.
Apabila Ismail Sabri mengambil alih tampuk pemerintahan, negara berdepan krisis pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan pimpinan elit politik yang melimpah serta turut mengesankan kedudukan ekonomi negara. Keadaan ini menuntut segala kekuatan pengalamannya untuk memegang teraju pimpinan negara.
Kedua, perawakan peribadi beliau cukup sederhana, sabar, pemurah dan rendah diri. Namun, bukan kelemahan seperti dakwaan setengah pihak, malahan inilah senjata senyap beliau yang membawa ketenangan kepada lawan sekalipun.
Kesediaan Ismail Sabri mengamalkan ciri-ciri bertolak ansur, tawar-menawar dan sanggup bermediasi dalam banyak hal, bukan hanya dengan pembangkang bahkan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri adalah satu keistimewaan beliau sebagai pemimpin dan pentadbir. Beliau rata-rata mengutamakan konsensus, bukan konflik.
Ketiga, pendekatan Keluarga Malaysia diisi dan didukung oleh faktor-faktor luaran dan peribadi tersebut. Konsep Keluarga Malaysia dengan mudah diterap dan diterima dalam Dasar Pembangunan Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Negara dan Indeks Perpaduan Nasional sedia ada. Dengan sendirinya Keluarga Malaysia mempunyai saluran pelaksanaan dari paras Pusat, ke negeri, daerah dan komuniti akar umbi.
Tiga perkara ini juga menjadi landasan terpenting meluncur licin usaha beliau pada masa depan, menuju ke arah pelanjutan jawatannya sebagai Perdana Menteri ke-10. – UTUSAN
PROFESOR Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin ialah Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Penyandang Kursi UNESCO@UKM; Penasihat Perpaduan di Kementerian Perpaduan Negara; Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN).










