PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menyaksikan lebih 21 juta pengundi berdaftar termasuk 7.8 juta pengundi baharu layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia. Bertunjangkan kepada sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, PRU dan mengundi adalah elemen penting yang mencorakkan pemerintahan di negara kita. Melalui undi, gerangan gabungan parti yang manakah akan membentuk kerajaan kita untuk lima tahun mendatang akan terjawab pada 19 November ini.
Setiap kali PRU tiba, pasti setiap gabungan parti, parti atau orang perseorangan akan menguar-uarkan manifesto masing-masing. Mereka menawarkan manifesto, lebih tepat lagi, janji atau hasrat kepada rakyat bagi meraih undi untuk menjamin kemenangan.
Boleh dikatakan manifesto ini menyerupai sistem barter. Apa yang diperlukan oleh golongan rakyat ditawarkan oleh pihak bertanding dengan balasannya, pihak yang menang akan memenuhi apa terkandung dalam manifesto. Kitab ataupun bukan kitab, manifesto sangat penting dalam sesebuah PRU. Manifesto menjadi rangka utama bagi mana-mana gabungan parti atau parti untuk memandu pentadbiran selepas sesebuah kerajaan dibentuk.
Dalam pada itu, kita tidak boleh memandang enteng terhadap manifesto yang dikeluarkan. Hal ini kerana para pengundi turut meneliti perincian yang termaktub dalam manifesto-manifesto pilihan raya di samping logo atau calon bertanding. Manifesto ini menjadi cermin bagi pengundi untuk melihat bayangan kerajaan yang mentadbir negara. Maka tidak hairanlah jika dikatakan manifesto adalah antara penentu kejayaan sesebuah gabungan parti atau parti dalam PRU.
Jika diimbau sejarah awal negara kita, PRU pertama diadakan pada 1955. Ketika ini, beberapa gabungan parti, parti dan calon Bebas bertanding untuk memenangi 52 kerusi yang dipertandingkan di Persekutuan Tanah Melayu. Antaranya Parti Perikatan dengan gabungan UMNO, MCA dan MIC; Parti Negara; Parti Buruh Malaya; Parti Islam Se-Tanah Melayu; Parti Progresif Perak; Liga Melayu Perak; Persatuan Kebangsaan Perak dan beberapa calon Bebas.
Parti Perikatan meletakkan 52 calon dengan pecahan 35 Melayu, 15 Cina dan dua India, manakala Parti Negara bertanding 30 kerusi; Parti Islam Se-Tanah Melayu (11); Parti Kebangsaan Perak (9); Parti Buruh (4); Liga Melayu Perak (3); Parti Progresif Perak (2) dan Bebas (8). Dalam PRU1 ini, seramai 1.28 juta pengundi berdaftar dengan pecahan 1.08 juta pengundi Melayu (84.2%), 143,000 pengundi Cina (11.22%) dan 50,000 pengundi India (3.9%), manakala selebihnya 9,000 (0.7%) adalah lain-lain.
CINA, TAMIL
Dalam PRU ini, setiap satu daripada mereka mengeluarkan manifesto sendiri dengan tawaran-tawaran berbeza. Namun, antara manifesto yang menyerlah ialah Parti Perikatan. Gabungan parti tersebut meletakkan beberapa aspek penting seperti mencapai kemerdekaan dalam tempoh empat tahun; mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan; menamatkan darurat secepat mungkin; bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Cina dan bahasa Tamil dipelihara mengikut undang-undang, memantapkan kemudahan-kemudahan sosioekonomi dan kebajikan penduduk.
Manifesto Parti Perikatan yang bertemakan Menuju Ke Arah Kemerdekaan menambat hati pengundi sehingga Parti Perikatan berjaya membolot 51 kerusi pada 27 Julai 1955. Kejayaan Parti Perikatan menggambarkan manifestonya berjaya menyakinkan penduduk Tanah Melayu yang pada ketika itu sedang dahagakan sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Manifesto parti-parti lain yang menampakkan kelompangan menyebabkan hampir kesemuanya kecundang dengan hanya Parti Islam Se-Tanah Melayu meraih sebuah kerusi. Saingan utama Parti Perikatan, iaitu Parti Negara gagal untuk meraih satu kerusi pun kerana hanya menjanjikan kemerdekaan pada 1960.
Dalam peredaran masa, inti pati yang dimasukkan dalam manifesto turut berubah. Manifesto pilihan raya diolah dan disesuaikan dengan cara pemikiran, kehendak dan keperluan yang wujud bagi memenangi hati pengundi. Bagi PRU15, rata-rata golongan rakyat mahu melihat manifesto yang mampu memacu pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur serta menjamin kelestarian alam sekitar, pendidikan, golongan berpendapatan rendah, kaum wanita di samping mengukuhkan kestabilan politik.
Bahkan rakyat mahukan sebuah manifesto perlulah bersifat menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat tanpa ada golongan terpinggir. Perlu diingat juga, manifesto seharusnya lebih realistik dan terperinci selari dengan kedudukan dan keupayaan kewangan negara. Manifesto yang berlebih-lebihan hanya mengundang kemudaratan kerana segala maklumat sudah sedia ada di jari-jemari pengundi.
Pengundi pada masa kini lebih arif dan bijak serta mampu meneliti manifesto sehingga ke lubang cacing. Mereka tidak mahu lagi manifesto yang hanya indah khabar daripada rupa. Pendek kata, manifesto yang komprehensif dan pragmatik akan menjadi panduan untuk para pengundi memangkah kotak mana. Jangan dijadikan manisfesto sebagai retorik politik semata-mata yang akan memakan diri sendiri kelak. Selamat mengundi. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Darulaman, Kedah.











