APABILA dibuat perbandingan dan analisis manifesto-manifesto kesemua parti, manifesto Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berteraskan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran disifatkan sebagai sesuatu yang mampu dilakukan. Ia sesuai dengan kapasiti dan kemampuan negara daripada janji-janji manifesto yang tidak berunsur praktikal dan realistik.
Rakyat harus membuat perbandingan terbaik dalam menilai manifesto kesemua parti sama ada benar-benar praktikal untuk dilaksanakan atau hanya menjanjikan bulan bintang iaitu janji kosong untuk meraih undi.
Apabila dianalisis dengan teliti, manifesto PN dilihat adil dan saksama dari segi penyambungan dasar-dasar yang dibuat ketika bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan itu.
Saya percaya, bukan hanya pengalaman beliau sebagai ahli politik diambil kira. Malahan faktor dan pengalaman memegang jawatan Perdana Menteri selama 18 bulan ketika krisis kesihatan Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik yang berlaku waktu itu berserta pengalaman sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) banyak membantu beliau untuk mengeluarkan tawaran manifesto seumpama itu apabila digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara dianggap penting.
Satu kelebihan besar yang dicengkam oleh PN berbanding manifesto parti-parti lain ialah rata-rata janji manifestonya adalah satu fakta hasil kesinambungan yang dibuat selama ini sewaktu mengambil alih tampuk pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada waktu krisis pandemik Covid-19, waktu krisis politik dan krisis ekonomi.
Walaupun dilihat PN ini sebuah parti yang baharu, namun pengalaman yang menguji mereka mentadbir negara mampu meraih sokongan kuat daripada para pengundi.
Saya berpendapat, kejayaan PN dalam Program Imunisasi Kebangsaan adalah satu fakta yang tidak boleh dielak dan harus diterima umum. Ini kerana hari ini kita bersiap sedia berhadapan PRU15 dengan tahap kesihatan yang baik adalah hasil program berkenaan yang mencapai 100 peratus dengan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Timur mendapat bekalan vaksin berbanding Australia.
Dari aspek seterusnya, hampir kesemua manifesto parti politik menekankan faktor bread and butter, iaitu kos sara hidup yang mana rata-rata kesemua parti membuat tawaran masing-masing untuk menangani isu ini.
Kita lihat pelbagai pakej menarik ditawarkan tetapi persoalan utama di sini, adakah tawaran-tawaran dibuat itu secara surface iaitu penilaian secara atasan untuk menanganinya secara sekali (one-off) atau adakah ia relevan atau selaras dengan jurang pemulihan ekonomi yang harus dicapai oleh setiap kementerian sebelum ini berdasarkan isu kos sara hidup rakyat?
Contohnya, kita lihat 95 keputusan yang telah dibuat oleh MPN untuk kerajaan bertindak sebelum ini. Sejak penubuhan majlis itu pada 21 Julai 2021 hingga mesyuarat terakhir 29 Ogos lalu, sebanyak 95 keputusan dikemukakan kepada kerajaan.
Daripada jumlah itu, 69 berkaitan isu ekonomi dan sosial yang mana diseru untuk mempercepatkan kadar pemulihan ekonomi negara. Persoalannya, adakah manifesto-manifesto parti lain tawarannya sejajar dengan status dan perkembangan semasa dalam menangani krisis ekonomi?
DOLAR
Maka, manifesto PN dilihat mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu direalisasikan berikutan rekod prestasi status perkembangan setiap sektor yang diperhatikan dan dinilai selama ini menerusi MPN. Manifesto PN adalah lebih jelas dan relevan mengikuti landasan berkenaan yang mana menjadi keperluan utama rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah inflasi, kenaikan harga barang dan lain-lain yang berkaitan.
Manifestonya jelas tampilkan resolusi kepada kenaikan harga barang disebabkan oleh beberapa faktor termasuk gangguan bekalan dan kos bahan import yang tinggi. Jika bekalan tidak mencukupi atau kos import meningkat, harga akan naik.
Resolusi manifesto jelas dilihat untuk mengatasi isu kenaikan harga barang, isu gangguan bekalan dan kos import dengan lebih serius terutama sekali dalam keadaan nilai ringgit yang jatuh menjunam berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat.
Ini tidak terkecuali isu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan produktiviti dan mengganggu rantaian bekalan juga mesti diselesaikan segera. Kejayaan Majlis Pekerjaan Negara yang menetapkan sasaran untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada 2021 diakhiri dengan 558,000 peluang pekerjaan adalah fakta yang harus diterima.
Soal ketiga adalah integriti dan ketelusan. Soal integriti dan ketelusan ini tidak banyak disentuh oleh mana-mana pihak atas aspek tuntutan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus baik.
PN mempunyai rekod prestasi kejayaaan dalam menghapuskan elemen rasuah di mana beberapa kes mahkamah berjaya dilaksanakan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Sehubungan itu, lanjutan manifesto mewujudkan Pelan Anti Rasuah Nasional, Mahkamah Anti Rasuah, larangan sumbangan dana politik luar negara menjadikan tadbir urus kukuh.
Seterusnya, manifesto PN untuk menangani rasuah dan soal integriti adalah satu perkara yang harus disambut bersama. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Sara Chinnasamy ialah penganalisis politik & media sosial.










