Legasi Malaysia di Bosnia-Herzegovina

Legasi Malaysia di Bosnia-Herzegovina

SEBATANG jalan sepanjang lima kilometer terletak di Cerik-Brcko dinamakan Jalan Malaysia. - IHSAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH hubungan Malaysia dan Bosnia-Herzegovina tidak perlu diperjelaskan lagi memandangkan rakyat di negara ini sudah cukup arif tentangnya. Namun, apa yang diketahui oleh kita tidak lebih sekadar umum sahaja, iaitu bantuan Malaysia dari segi ketenteraan dan sumbangan wang ringgit. Sedangkan bantuan yang dijalankan baik oleh pihak kerajaan mahupun rakyat pada waktu itu mencakupi semua aspek.

Selama setahun berkelana di bumi Balkan itu, saya menemukan banyak peninggalan atau legasi Malaysia di Bosnia-Herzegovina. Maklumat-maklumat tersebut saya kumpulkan dan kongsikan kepada masyarakat menerusi penulisan sebuah buku kanak-kanak, Jejak Malaysia di Bosnia-Herzegovina.

Mengapa kanak-kanak? Kerana pada saya, anak-anak perlu tahu tentang dunia luar apatah lagi apabila membabitkan negara kita sendiri. Antara bantuan tersebut termasuklah pembinaan Masjid Malaysia di Breka, Sarajevo, ibu kota Bosnia-Herzegovina yang siap dibina pada 2002, selain menyiapkan pembinaan bahagian hadapan Pusat Klinik Universiti Sarajevo termasuk di Blok C dan F pada 2001.

Apa yang lebih mengejutkan saya sebenarnya adalah penemuan sebatang jalan yang diberi nama Jalan Malaysia sepanjang lima kilometer di Cerik-Brcko, terletak agak jauh dari Sarajevo.

Malah kawasan ini didominasi oleh etnik Croat Bosnia. Jalan ini dikatakan telah wujud di situ sejak 2000.

Mereka yang berkunjung ke Sarajevo sudah semestinya perlu mengunjungi Sekolah Camil Sijaric yang dibina semula oleh Malaysia. Sekolah moden yang terletak di lokasi Drobinja ini sebenarnya adalah sumbangan individu, pelajar, guru, sekolah dan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Sekiranya sudah bosan melihat kereta kebanggaan negara kita di merata negara seperti di United Kingdom dan Turkiye, maka pasti akan berasa teruja tatkala terserempak dengan Proton di Bosnia-Herzegovina walaupun ia model lama, iaitu Proton Wira. Lebih unik lagi, dikatakan hanya terdapat tujuh buah kereta Proton di sana dan ia merupakan hadiah kepada Pejabat Presiden Bosnia-Herzegovina pada 1990-an dahulu.

Sumbangan lain termasuklah pembinaan Tugu Peringatan Potocari di Srebrenica, sebuah wilayah penuh dengan kisah suka-duka yang tidak perlu lagi diungkapkan.

Dalam sekian banyak pembinaan masjid oleh tangan-tangan kita di Bosnia-Herzegovina, saya lebih tertarik dengan sumbangan pembinaan Masjid Ferhadija di Banja Luka, ibu kota Republik Srpska yang didominasi oleh etnik Serb Bosnia. Pembinaan semula masjid ini dikatakan didanai oleh kerajaan negeri Melaka dan kerajaan Malaysia.

Selain itu, ramai dalam kalangan pelancong kita yang gemar melawat Sarajevo pasti tidak sedar, laluan di Ferhadija yang mereka selalu gunakan itu sebenarnya turut mendapat sentuhan dari Malaysia dalam pelapisan semula jalan dan ia merupakan sumbangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sumbangan komputer oleh Felda kepada Masjid Malaysia di Breka juga antara yang perlu diberi perhatian kerana ia telah memudahkan urusan orang ramai di situ.

Sewaktu kunjungan ke Sekolah Camil Sijaric, hati saya tersentuh membaca karangan sebuah puisi yang ditulis oleh Jahovic Suana, seorang pelajar yang pada ketika itu berusia 11 tahun. Puisi itu ditulis untuk menghargai sumbangan Malaysia:

Semasa peperangan berlaku,
Kalian bersama-sama kami,
Kalian memberi bantuan kepada kami,
Hampir setiap hari.

Terima kasih
warga yang prihatin,
Kerana menghantar bantuan,
Bantuan yang tidak mementingkan diri sendiri,
Dan dengan cinta.

Sekolah kami
telah kembali dibina,
Cantik dan besar,
Setiap pelajar,
Boleh merasa bangga.

Belajarlah dengan baik rakanku,
Kami telah memberikan sumpah kami,
Malaysia sebuah negara yang aman,
Telah menganugerahi kami dengan sekolah ini.

Walau apa pun, di sini saya ingin mengingatkan kepada semua pembaca bahawa situasi di Bosnia-Herzegovina pada hari ini cukup berbeza. Rakyat mereka tidak lagi hidup susah seperti dahulu kala. Keamanan telah pun dikecapi, tidak ada lagi kes-kes pergaduhan etnik berlaku.

Etnik Serb, Croat dan Bosniak sekalipun tidak bersepakat dalam banyak perkara, namun mereka tidak lagi bertelagah secara fizikal. Dalam erti kata lain, Bosnia-Herzegovina tidak lagi memerlukan bantuan dan sumbangan berupa wang ringgit sebaliknya memerlukan moral, sahsiah dan kepimpinan.

Wajib diambil perhatian juga bahawa ramai dalam kalangan orang Bosnia-Herzegovina sebenarnya adalah ‘scammer’ yang berselindung di sebalik jubah agama. Mereka sentiasa membawa naratif-naratif zaman perang dahulu hanya semata-mata ingin mendapat sumbangan wang ringgit daripada kita. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN