Keputusan PRU15, PRU14 pasti jauh berbeza

Keputusan PRU15, PRU14 pasti jauh berbeza

KETIADAAN gelombang kemarahan ke atas kerajaan dijangka membolehkan Barisan Nasional (BN) menang selesa, apa lagi dengan rekod negatif Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sewaktu memerintah dahulu. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH hampir ke garisan penamat tempoh 14 hari berkempen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Banyak sekali badan kaji selidik termasuk yang tidak pernah didengar namanya sebelum ini, membuat ramalan masing-masing mengenai keputusan PRU15 ini.

Saya dan rakan-rakan ahli akademik lain di beberapa universiti tempatan turut tidak terlepas daripada membuat tinjauan sendiri ke atas perjalanan PRU15 di mana pemerhatian dan dapatan kami agak berbeza daripada apa diperoleh beberapa badan kaji selidik lain. Secara umumnya, kami mendapati suasana di lapangan jauh berbeza daripada apa yang berlaku dalam PRU14 dahulu. Dalam PRU14 terdapat emosi kemarahan rakyat membuak-buak terhadap kerajaan pada waktu itu yang mencetus satu gelombang.

Dalam PRU14, kempen utama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) pada waktu malam yang disiarkan secara dalam talian mendapat sehingga ratusan ribu tontonan. Ditambah pula mereka yang hadir sendiri secara fizikal berbanding suasana sekarang, sedikit lesu.

Begitu juga perbualan di kedai kopi, pasar awam mahupun tempat terbuka yang tidak menggambarkan wujud sentimen kebencian kuat terhadap mana-mana gabungan parti politik yang bertanding atau pemimpin mereka. Ini berbeza dengan suasana dalam PRU14 di mana rakyat menunjukkan kemarahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak atas isu-isu hangat seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Kini semuanya sudah tiada lagi dengan Najib pun sudah berada di dalam Penjara Kajang dan isu-isu bersangkutan dengan beliau juga sudah tidak lagi dibicarakan. Begitu juga dengan GST yang sudah tidak kedengaran lagi setelah ia dihapuskan selepas berakhirnya PRU14.

Kecaman pemimpin pembangkang mahupun daripada rakyat biasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku penyandang Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri dari BN juga tidak begitu kedengaran. Sebaliknya ia lebih ditumpukan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pemimpin pembangkang tidak mempunyai modal untuk menyerang Ismail Sabri kerana sewaktu zaman pentadbirannya, tiada kontroversi berlaku malah banyak perkara dilakukan oleh beliau yang didukung oleh parti pembangkang khususnya PH. Inilah hikmah kebijaksanaan Ismail Sabri dan rakan-rakan beliau dalam kerajaan Keluarga Malaysia sehingga termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dengan PH pada 13 September 2021.

Hampir kesemua butiran yang dijanjikan dalam MoU tersebut terlaksana dengan sebahagian kecil sedang berada dalam perancangan atau tidak terlaksana setelah terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober lalu menyebabkan PH sukar menyerang Ismail Sabri. Begitu juga dengan pengumuman dan tindakan Ismail Sabri sewaktu menjadi Perdana Menteri sementara yang dilihat masih berada dalam lingkungan bidang kuasa sebuah kerajaan sementara dengan tidak ada apa-apa keputusan membabitkan dana kerajaan dibuat.

Masih kita ingat lagi bagaimana rakyat rata-rata meluahkan kemarahan mereka bila kerajaan pada waktu itu dilihat mahu menyukarkan mereka daripada keluar mengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Rabu, 9 Mei sebagai hari mengundi dalam PRU14. Sebaliknya kerajaan pimpinan Ismail Sabri dilihat mahu memudahkan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dengan menetapkan Sabtu, 19 November ini sebagai hari mengundi dan ini disambut dengan gembira oleh mereka.

Paling mutakhir adalah pengumuman Ismail Sabri bahawa hari Jumaat dan Sabtu, 18 dan 19 November ditetapkan sebagai hari kelepasan am. Begitu juga pemberian tol percuma oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya dari 12.01 tengah malam, 18 November hingga 11.59 malam, 19 November.

Kesemua ini, selain pemberian gaji penjawat awam dan bayaran pencen untuk pesara bagi bulan ini lebih awal sudah semestinya akan memudahkan urusan rakyat, khususnya yang terpaksa balik kampung untuk mengundi, juga menceriakan mood mereka.

Kritikan kononnya kerajaan pimpinan Ismail Sabri sekarang gagal memulihkan ekonomi negara juga mudah dipatahkan bila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pada 11 November lalu bahawa ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 14.2 peratus di suku tahun ketiganya.

Satu-satunya senjata utama dimainkan oleh lawan-lawan politik bagi menggesa rakyat tidak mengundi BN ialah isu kononnya jika BN menang PRU15, maka yang akan naik menjadi Perdana Menteri adalah Ahmad Zahid dan bukannya Ismail Sabri. Begitupun perkara ini yang cuba dikaitkan kononnya rasuah akan berleluasa dalam kerajaan jika BN kembali berkuasa juga gagal mempengaruhi rakyat kerana berkali-kali ia dinafikan oleh Top 5 UMNO, dari presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden parti itu.

Kesemua mereka, juga pemimpin UMNO dan BN lain mengulangi kenyataan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN menetapkan calon perdana menteri adalah Ismail Sabri di mana keputusan ini tidak boleh diubah sesuka hati. Dari sudut lain, BN juga mempunyai kelebihan kerana tawaran-tawaran menarik yang realistik dan boleh dilaksanakan kepada semua golongan pengundi termasuk kanak-kanak, belia, wanita, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU).

Kesimpulannya, keputusan PRU15 dijangkakan oleh kami akan jauh berbeza daripada keputusan PRU14, di mana ketiadaan gelombang kemarahan ke atas kerajaan akan membolehkan BN menang selesa, apa lagi dengan rekod negatif PH dan Perikatan Nasional (PN) sewaktu memerintah. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×