SETIAP laluan pasti ada liku-likunya. Jalan yang membawa kami kali ini dari Tawau ke Kampung Tagupi Laut di Lahad Datu, Sabah mengambil masa hampir enam jam dan sebahagiannya tidak berturap di dalam estet kelapa sawit.
Namun di sebalik liku-liku tajam laluan ini, ada kegembiraan dan rindu yang tidak dapat digambarkan. Ini adalah kali ketiga saya bersama delegasi pasukan #TagupiMembaca berkunjung ke Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) di Kampung Tagupi Laut.
PPMI tersebut ialah sekolah alternatif usaha Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Sabah bagi menyediakan pendidikan untuk golongan kanak-kanak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri rasmi yang juga merupakan simbol kewarganegaraan mereka. Ketiadaan dokumen ini lantas menidakkan mereka ruang di kelas-kelas sekolah kebangsaan.
Ada sesuatu di Kampung Tagupi Laut yang sering memanggil saya untuk kembali di sini. Jika digasak untuk memberikan jawapan, mudah untuk saya gambarkan keindahan surut matahari di ufuk langit yang melakar senja dan mewarnai keramat Pantai Tagupi.
Mungkin boleh dikisahkan rintik hujan yang membasahi atap-atap mengkuang mengubah rentak ralit dan aman. Namun di jurang abjad dan prosa kata itu, mungkin tercicir ketepatan jawapan yang diberikan.
Rintik pecah hujan di langit Kampung Tagupi Laut gugur pada ubun-ubun dan larut dalam keringat penghuni dan pelajar. Mereka yang tidak pernah serik memikul kesaratan beban orang yang tidak bernegara (OTB) dan segala implikasinya.
Inilah keindahan dan daya tarikan sebenar Kampung Tagupi Laut. Penderitaan yang ditanggung oleh golongan OTB sering dibincangkan, mereka boleh dikategorikan sebagai golongan miskin kronik.
Rafael Ribas dan Ana Machado yang merupakan sarjana ekonomi dari Brazil telah menjelaskan kemiskinan kronik merujuk kepada individu yang hidup di bawah paras kemiskinan dalam jangka masa panjang. Kemiskinan sementara pula adalah disebabkan naik turun pendapatan isi rumah yang bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
Lebih teruk lagi, status tanpa kerakyatan mereka juga menjadi hambatan terhadap peluang saksama bagi mendapat akses kepada pendidikan yang secara tidak langsung menghalang hak asasi untuk belajar, bekerja, mendapatkan khidmat kesihatan dan sebagainya.
UNESCO
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengambil langkah untuk mengira kemiskinan berdasarkan petunjuk pelbagai dimensi bagi memahami makna dan realiti kemiskinan temasuk isu tempat tinggal, rumah, kesihatan, masa, hak asasi dan pendidikan.
Faktor kemiskinan bergenerasi dan hambatan yang wujud meletakkan golongan OTB sebagai antara kalangan paling rentan di negara ini.
Ketika 50 tahun lalu, Micheal Harrington dalam bukunya, The Other America menghujahkan kemiskinan bukan sahaja melibatkan kekurangan sumber tetapi budaya yang berakar dalam diri menerusi sifat dan sikap.
Senarai sifat dan tingkah laku budaya kemiskinan melibatkan beberapa kategori termasuk struktur sosial yang lemah, keadaan keluarga yang tidak stabil, orientasi masa depan yang rendah, tiada keupayaan untuk merancang masa depan, jati diri yang rendah dan jurang pandangan mengenai nilai hidup yang besar perbezaannya.
Merujuk kembali kepada pencerahan Harrington, saya teringat kepada perbualan dengan beberapa pegawai kebajikan di Kuala Lumpur di mana mereka menyuarakan kekecewaan terhadap sesetengah golongan gelandangan di Jalan Chow Kit.
Mereka menyuarakan bagaimana telah membantu golongan gelandangan untuk mendapatkan rumah sewa yang murah dan pekerjaan. Namun selepas seminggu, golongan tersebut kembali mengemis di tepi jalan sehingga pekerja sosial merasakan kerja-kerja mereka hanya sia-sia.
Sikap golongan ini menyokong pendapat Harrington yang menghujahkan bahawa manusia tidak mudah melunturkan atau menghilangkan budaya kemiskinan yang telah berakar erat dalam diri.
Berbeza pula di Kampung Tagupi Laut. Walaupun pelajar-pelajar ini menggendong pelbagai rintangan, mereka tidak pernah mengeluh sebaliknya berusaha sedaya upaya untuk menyahut cabaran bagi memecahkan stereotaip kitaran kemiskinan bergenerasi ini.
Seorang bapa pelajar PPMI berkata kepada saya, “Saya asalnya tidak boleh membaca. Nak mengaji al-Quran pun tak pandai. Lepas anak saya bersekolah di sini, dialah yang mengajar saya. Alhamdulillah, sekarang saya boleh jadi imam bagi keluarga saya.”
Maka semasa kita memilih pemimpin negara nanti, kita bukan hanya perlu memikirkan individu yang mampu menaikkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga pembangunan sosial negara.
Jika hanya keperluan fizikal dipenuhi dan berkembang pesat, namun keperluan insani tidak diisi, maka kita akan terus dikekang masyarakat terbeban dengan kitaran kemiskinan yang enggan membangun sama.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Walau beratap mengkuang dan berlantai tanah, saya percaya PPMI Kampung Tagupi Laut dan banyak lagi sekolah alternatif sebegini merupakan langkah terbaik bagi mencabar polemik budaya kemiskinan. – UTUSAN
PENULIS ialah peguam litigasi beramal di Kuala Lumpur dan aktivis #TagupiMembaca.











