Awas ‘cinta palsu’ menjelang hari mengundi

Awas ‘cinta palsu’ menjelang hari mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH negara bernama Malaysia yang stabil dan makmur menjadi idaman semua. Bertanyalah kepada sesiapa dalam kalangan warganya, mereka tentu menuturkan tentang cintakan damai, maju dan membangun. Mereka cintakan suasana kehidupan selesa, selamat dan sejahtera.

Cinta perlu diterjemahkan pada tindakan, bukan cukup dengan hanya memasang impian. Dan cinta tidak memadai sekadar terluah pada sebutan.

Dalam konteks kenegaraan Malaysia, rakyat memiliki kuasa memilih. Setiap lima tahun sekali mereka berpeluang menentukan siapa dan parti mana boleh menerajui pemerintahan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jadi, jika benar cintakan kestabilan dan kemakmuran, pilihlah yang terbaik.

Tegasnya, jangan ada resah dan kesal di hati rakyat kalau terbentuknya sebuah kerajaan baharu yang kurang menepati aspirasi mereka sebaik berlangsungnya pilihan raya umum (PRU). Ini kerana segala keputusan yang hadir bertolak daripada pilihan rakyat sendiri. Berfikir secara bijak, menilai secara objektif dan tentukan matlamat yang jelas.

Sebuah cinta murni perlu bersifat fokus penuh kesedaran. Cinta yang bersalut niat hanya untuk melangsai kepentingan diri atau puak akan berakhir dengan kepincangan dan tidak bertahan lama. Bagi rakyat pula, cinta yang hanya terpengaruh dengan janji manis dan terpesona dengan ungkap kata retorik bererti meniti penghujung yang rapuh dan musnah.

Dunia politik bukan suatu perkara baharu bagi rakyat. Hampir tujuh dekad mereka hidup di atas tapak sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan. Mereka ‘masak’ dan memahami secara mendalam dengan keperluan corak politik yang boleh menelusuri semangat Perlembagaan Persekutuan. Strukturnya lengkap dan sudah diterima serta dihormati sejak sekian lama. Merubahnya hanya mengundang kepincangan dan menggugat perpaduan.

Justeru, jangan tenggelam dengan cinta palsu. Usah hanya pandai menyebut ‘cinta’, namun di hati lain bicara. Biasalah, di musim pilihan raya ke sana ke mari dijaja 1,000 janji bertujuan semata-mata memikat hati. Ada pihak yang sengaja mencari sokongan umum hanya berharap atau bersandarkan kelemahan pihak lain. Lalu, segala bentuk tohmahan dan ciptaan fitnah dilemparkan terhadap pihak lawan. Malah ada yang terang-terang menyebut, “Kerja kita adalah menghasut.” Wadah utama adalah dengan menggunakan media sosial.

Banyak negara runtuh disebabkan lemparan fitnah dan tohmahan. Rakyat dilemahkan dengan sogokan hasutan cemuhan dan kebencian. Negara yang tegak stabil, runtuh dalam tempoh singkat. Kemakmuran menjadi musnah. Penyesalan di kemudian hari sudah tidak membawa makna apa-apa. Meruntuh lebih mudah daripada membina.

PRIVASI

Janji? Berapa kali PRU dibawa janji yang serupa? Malah, rakyat pernah memberi peluang kepada kelompok politik tertentu untuk membuktikan keupayaan mengurus tadbir negara dan melunas segala janji. Malangnya, cakap tidak serupa bikin. Lain diharap, lain pula alasan untuk sekadar menimbus kegagalan. Wajarkah golongan begini diundi lagi?

Tanamkan cinta suci demi menggapai kehidupan yang harmoni, menyenang hati. Malaysia yang melalui pendekatan berkonsensus, bersederhana, inklusif dan adil saksama, terbukti berjaya mewujudkan suasana stabil, makmur, progresif. Tidak wajar konsep demikian diubah dan dipertikai. Sebaliknya, konsep liberalisme atau pluralisme yang keterlaluan tentu tidak dapat diterima dan tidak sesuai di negara ini. Malaysia berpijak pada landasan acuan tersendiri.

Umat Islam dan orang Melayu tidak suka privasi mereka diganggu atau ‘diprovokasikan.’ Namun, pada masa sama bukan bermakna mereka berniat memusuhi sesiapa. Semua pihak cintakan aman tenteram sebagaimana seadanya. Elak meniup sentimen perkauman. Harganya murah mengaut sokongan, tetapi terlalu mahal mengurus keterlanjuran.

Cintakan Malaysia bermakna turut menaruh harapan tinggi agar moral dan kredibilitinya berada pada tahap terbaik di mata dunia. Elemen ini membantu meletakkan suara negara dihormati dan disenangi. Ada nilai tambah bagi menggamit pelaburan asing ke negara ini.

Cintakan bangsa bermaruah tinggi boleh diterima dan direalisasikan. Yang penting, perlu disusuli usaha agar matlamatnya tercapai. Ke arah itu, politik negara perlu stabil dan tadbir urus negara sentiasa lancar, kemas dan tersusun. Parti yang diberi mandat memerintah negara perlu diberi kemenangan dengan majoriti besar, sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Tentukan pemegang mandat yang bakal diserahkan nanti hanya kepada pihak yang benar-benar berupaya, matang dan berpengalaman. Jangan lagi timbul situasi ugut-mengugut atau ancam-mengancam menggoncang kerajaan.

Malu, apabila berlakunya tiga kali pertukaran perdana menteri hanya pada satu penggal pemerintahan. Belum berlaku perkara seumpama ini dalam sejarah pemerintahan negara. Segala ketentuan berada di tangan rakyat selaku pengundi. Belajar daripada pengalaman, ambil iktibar daripada kesilapan. Jangan remehkan hak dan tanggungjawab.

Juga, jika benar cintakan harmoni, stabil dan kekuatan bangsa, ketepikan soal mengkhianati kawan dan elak wujudnya sikap suka memboikot jika calon yang terpilih tidak berkenan di hati.

Utamakan kepentingan parti, bukan kehendak diri.

Cinta sejati, biar mulut menyebut, telinga mendengar, akal memahami, hati merasa. – UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×