Akur, yakin ‘wali’ dipilih

Akur, yakin ‘wali’ dipilih

UMNO-BN sering mengutarakan kriteria ‘wali’ dalam soal pemilihan calon pilihan raya umum pada kali ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIUH-rendah bila diuar-uarkan nama calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk UMNO-Barisan Nasional (BN) kebelakangan ini. Ada yang tersenyum riang dan ada berwajah muram.

Situasi ini asam garam setiap kali pilihan raya. Ia bukan sahaja terjadi kepada UMNO-BN semata-mata, bahkan berlaku kepada semua parti politik tanah air.

Mungkin kerana perasaan ke‘aku’an yang tinggi mengatasi realiti. Tidak kira kepada yang dipilih dan kepada yang tidak terpilih dan yang digugurkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

UMNO-BN sering mengutarakan kriteria ‘wali’ dalam soal pemilihan calon pada kali ini. Wali merujuk kepada ciri boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.

Namun, adakah kriteria ini 100 peratus diguna pakai atau sebaliknya, hanya dapat dinilai hasil daripada pengumuman calon kelmarin.

Bagaimanapun, daripada maklum balas dan cerita di kedai kopi yang saya dapat, apabila diteliti tidak semua wali yang dipilih. Mungkin kepimpinan menyatakan inilah wali yang dicari, namun persoalannya adakah yang dipilih ini wali pucuk pimpinan ataupun wali pengundi? Persoalan ini hanya akan terjawab pada 19 November nanti.

Wali sebenarnya tidak mengaku dirinya wali tetapi diangkat oleh pengundi dan jentera parti sebagai wali. Karomah wali memenangi parti dan menyantuni pengundi bukan sekadar menabur janji.

Tetapi selalu terjadi setelah menjadi wali, lupa pula asal usul dan lupa diri. Namun, walaupun diketahui segala liabiliti ini, ia masih diangkat sebagai wali oleh kepimpinan parti. Alamat kalahlah kali ini! Kerana itu, janganlah disalahkan kepada akar umbi kerana kepimpinan parti yang mengangkatnya sebagai wali sekali lagi.

Ada juga yang ingin menjadi wali, tetapi sayangnya tidak sedar diri. Empunya diri terpalit pula dengan pelbagai kontroversi yang diketahui oleh seluruh pengundi, namun peliknya berjaya menambat hati pimpinan parti. Wali siapakah ini? Jangan disalahkan jentera parti dan akar umbi yang luluh hatinya mendapat wali yang tidak diingini. Risikonya, ada kemungkinan tidak mengundi dan berpaling hati.

Ada juga yang ingin menjadi wali tetapi ditempatkan di kerusi yang dirasakan selamat untuk diri walaupun tidak pernah menabur budi. Pejuang apakah ini? Belum apa-apa sudah cabut lari.

Meninggalkan tempat sendiri hanya ingin menjadi YB (Yang Berhormat). Kesian pemimpin dan jentera di situ yang telah bekerja selama ini mengharapkan anak negeri menjadi wali. Jangan salahkan akar umbi sekiranya keputusan sebaliknya terjadi.

Di saat-saat yang getir ini, pimpinan parti perlulah muhasabah diri. Mana yang lebih penting, kemenangan parti atau kepentingan diri? Yang tidak disenarai juga perlu berlapang dada dan berjiwa besar. Bantulah parti yang menaikkan nama kamu selama ini. Jangan dikhianati parti hanya kerana tidak terpilih pada kali ini. Kesetiaan akan diuji seperti mana sahabat-sahabat kamu yang pernah tidak disenaraikan sebelum ini.

NYAMUK

Ingatlah kata-kata yang pernah kamu nasihat kepada mereka, “Kita mesti berjiwa besar, kita mesti pentingkan parti, kita mesti utamakan perjuangan parti, jangan pentingkan diri sendiri, jangan sabotaj parti, kita kena akur keputusan pucuk pimpinan, kita kena beri peluang kepada muka baharu.” Jadi, buktikanlah pula kata-kata itu kepada diri sendiri.

Senarai calon sudah diumumkan. Yang penting muhasabah diri dan yakinkan pengundi sama ada terpilih atau tidak, masing-masing ada tanggungjawab kepada parti. Jangan kerana seekor nyamuk, habis kelambu dibakar. Jangan kecewa dan jangan pula berbangga. Kepada yang tidak terpilih, inilah masanya menunjukkan khidmat bakti kepada parti. Tunjukkan kesetiaan dengan berkhidmat bukan untuk diri sendiri.

Bersatulah dengan jentera parti bagi memenangi kawasan yang ditandingi. Sebelum ini kita disokong, kali ini kita menyokong pula dengan sesungguh hati. Kita bekerja kerana parti, bukan untuk diri sendiri.

Kepada kepimpinan 191 bahagian UMNO seluruh negara, masing-masing harus berlapang dada dan berjiwa besar soal pemilihan calon PRU15. Sekalipun calon dipilih di luar kepimpinan bahagian pun, mereka harus akur dengan kriteria wali ditetapkan UMNO iaitu boleh menang, diterima dan disukai komuniti.

Demikian juga kriteria dan syarat sama harus diterima oleh tiga lagi parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). BN tidak memerlukan ‘calon kabel, cium tangan dan pegang kaki presiden’ tetapi calon perlulah ada ciri wali ini.

Kepada yang terpilih, santunilah jentera parti. Yakinkan ahli akar umbi dan pengundi. Jangan leka dibuai mimpi. Tanggungjawab besar menanti anda untuk membawa amanah parti.

Semua pihak perlu berjiwa besar dan berlapang dada bagi memastikan tidak berulang episod duka dan sengsara. Semua perlu duduk bersama bersolidariti bagi memastikan kemenangan parti.

Ayuh! Buktikan BN mampu mewujudkan kestabilan dan kemakmuran di negara tercinta. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×