SEBENARNYA sudah banyak kali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertegaskan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri mewakili Barisan Nasional (BN) jika gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Januari lalu dan sekali lagi pada 14 April lalu, MKT sebulat suara membuat ketetapan Ismail sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang. Malah, difahamkan ketetapan tersebut dibuat tanpa perlu sebarang perjanjian ditandatangan antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri.
Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti pada 15 Mei lalu dan dipertegaskan beliau sekali lagi ketika berucap di majlis pelancaran Briged MIC Kebangsaan pada 18 September lalu yang memberi bayangan bahawa jawatan Perdana Menteri kekal digalas Ismail Sabri dan beliau juga kekal menjadi poster boy untuk BN pada PRU15.
Terbaharu pada Ahad lepas ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, Ahmad Zahid menegaskan pendirian berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN berjaya menawan Putrajaya.
Tegas beliau, perkara itu tidak boleh dipertikaikan lagi, malah tidak timbul isu seperti dakwaan pembangkang yang beliau akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali mentadbir Kerajaan Persekutuan.
“Kita berpegang kepada prinsip bahawa UMNO telah mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, itu tidak boleh dipertikai lagi.
“Namun, kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka juga mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan,” katanya.
Menyebut tentang kuasa Seri Paduka adalah realistik jika dilihat apa yang berlaku di Johor apabila BN mengemukakan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebagai poster boy sekali gus bakal dilantik Menteri Besar sekiranya BN menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 21 Mac lalu.
Tetapi yang berlaku sebaliknya apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menjadi pilihan Istana Johor.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat bagi mengulas keputusan majoriti UMNO bahagian seluruh negara termasuk Bagan Datuk yang diterajuinya yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri. Bahagian lain yang menyokong ialah Arau, Ketereh, Pontian, Kuala Terengganu, Jelebu, Kota Bharu, Alor Gajah, Tampin, Jasin, Sepang, Padang Terap dan Bera.
Difahamkan, perwakilan di sebanyak 151 daripada 191 UMNO bahagian seluruh negara sebulat suara menyokong usul Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mewakili BN jika membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.
STABIL
Walaupun Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian telah ditetapkan pada 14, 15 dan 16 Oktober lalu, masih terdapat dua bahagian lagi di Perak yang belum bermesyuarat iaitu Taiping dan Bukit Gantang.
Usul tersebut selaras dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh UMNO sendiri apabila parti itu menetapkan tiada pemilihan jawatan di semua peringkat termasuk persidangan cawangan, mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung UMNO (PAU).
UMNO meminda perlembagaan menerusi EGM agar pemilihan parti diadakan selepas enam bulan PRU dan langkah itu telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Dalam pada itu, UMNO bahagian yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri juga membuat usul yang sama menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Antaranya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Kedah), Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang), Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak), Tan Sri Noh Omar (Selangor), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (Melaka), Hasni (Johor), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Sabah).
Pendirian UMNO itu turut menarik perhatian para penganalisis politik yang melihat langkah itu menunjukkan wujud kestabilan politik dalam parti itu sekali gus menolak tohmahan dari luar bahawa berlaku pergeseran antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, walaupun Ismail Sabri diangkat sebagai poster boy BN, kuasa menentukan pelantikan Perdana Menteri adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Tidak salah UMNO mencalonkan siapa, sesuai dengan prinsip berparti, prinsip berpolitik dan sebagainya tetapi akhirnya ada ruang dalam perlembagaan negara yang perlu dipatuhi iaitu budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Jika tiada sebarang perubahan pada saat-saat akhir, insya-Allah PAU 2022 telah ditetapkan dari 23 hingga 26 November ini. Kita akan melihat sekali lagi, PAU diadakan dalam keadaan Presiden parti bukan seorang Perdana Menteri.
Presiden parti tidak semestinya menjadi Perdana Menteri atau Presiden negara. Misalnya, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang menang pada pilihan raya 2019 mencalonkan Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia dan bukan Ketua Umumnya, Megawati Soekarnoputri.
Perdana Menteri India sejak 2014, Narendra Modi juga bukan Presiden Parti Bharatiya Janata (BJP) yang kini disandang oleh J. P. Nadda.
Saya teringat kenyataan penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini bahawa dalam UMNO, seseorang yang diangkat sebagai Perdana Menteri akan seterusnya diberi endorsement (sokongan) oleh parti untuk mengambil alih kepimpinan sebagai Presiden UMNO.
Peralihan kepimpinan utama UMNO sentiasa berlaku secara berhemah dan penuh kebijaksanaan. Demi perpaduan dan kestabilan, tradisi itu harus diteruskan. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










